Pembajaan Pokok Gaharu

Labels: ,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua,

Mungkin ada yang masih demam PRU 13. Ada yang gembira dan tak kurang juga yang kecewa. Namun kehidupan perlu diteruskan seperti biasa. Yang bekerja, teruskan bekerja dengan penuh komitmen dan bersungguh-sungguh. Kepada yang berniaga, carilah peluang sebanyak mungkin dan berniagalah dengan jujur. Di harap selepas tempoh 21 hari dari 5 Mei 2013 ini kita redha dengan apa jua keputusan yang telah ditetapkan. Teruskan kehidupan dengan lebih baik. Allah sedang menguji kita :)



Ok berbalik kepada tajuk entri kita pada kali ini ialah berkenaan dengan pembajaan pokok gaharu. Pembajaan merupakan satu aspek yang penting dalam pembangunan ladang gaharu. Penggunaan baja secara tepat dan bijak dalam pengurusan perladangan dapat memberikan pulangan yang baik (hasil yang baik, kos yang rendah). Ada beberapa persoalan yang perlu kita tanyakan dalam aspek pembajaan ini iaitu :-

1) Kenapakah kita perlu menggunakan baja?

Penggunaan baja adalah penting kepada pertumbuhan pokok. Tidak kira pokok apa pun, penggunaan baja dapat membantu pertumbuhan pokok dengan lebih baik. Bagaimana baja dapat membantu pertumbuhan? Sifat tanah merupakan antara faktor yang sangat berkait rapat dengan pembajaan. Baja dapat menambah nutrien dan elemen yang diperlukan kepada pokok apabila tanah tersebut tidak dapat memberikan nutrien yang diperlukan.

Namun begitu, sebagai petani kecil kita jarang mengambil berat terhadap hal ini. Dan bagi saya, selagi baja yang digunakan memberikan kesan yang baik kepada pertumbuhan pokok gaharu tersebut, jadi anda tidak perlu risau. Dan belilah baja yang tidak terlalu mahal. Kerana ia akan mengurangkan kos pengurusan ladang yang saya amat faham bukan sedikit jumlahnya. Namun begitu dalam keadaan tertentu contohnya penggunaan baja yang mahal dapat menghasilkan buah yang baik dan dapat meningkatkan kualiti buah dan harganya.Walaupun harga baja tersebut mahal namun ia memberikan hasil yang terbaik maka ia adalah satu pilihan yang bijak. Contohnya pokok kelapa sawit.

Dalam konsep penanaman gaharu, ia terlalu subjektif. Kerana kita bukan hanya mengharapkan pertumbuhan pokok bersaiz besar (kerana ia tidak dijual sebagai log seperti kayu balak) dan tidak juga mengharapkan penghasilan buah seperti kelapa sawit dan juga tidak mengharapkan kepada penghasilan getah yang banyak seperti getah. Penggunaan baja kepada pokok gaharu masih dalam kajian terhadap kesan kepada pembentukan gaharu. Ada pihak yang mendakwa penggunaan baja "A" dapat membantu dalam pembentukan gaharu kelak, alhamdulilah ia satu perkembangan yang sihat dan perlu dikembangkan dengan lebih meluas. Tapi saya berharap suatu hari nanti satu pembangunan baja yang diformulasi sekali dengan inokulan dapat dihasilkan. Jadi kita tidak perlu lagi menyuntik pokok tersebut. Proses pembentukan bermula sedari awal kita memulakan proses pembajaan dan ia dapat mengurangkan kos suntikan inokulan kelak.


2) Apakah jenis baja yang perlu digunakan?

Seperti yang saya maklumkan pada soalan pertama tadi, anda boleh menggunakan apa jua jenis baja. Saya tidak mahu meletakkan satu jawapan yang rigid menyebabkan anda terlalu terikat untuk menggunakan baja jenis tertentu. Saya hanya menggunakan NPK pada peringkat awal dan kemudian menggunakan baja organik. Kepada anda yang menjalankan kajian baja terhadap pertumbuhan pokok gaharu, harap dapat berkongsi dengan penanam yang lain. Mungkin dapat membantu mereka.

Jika anda dapat menjalankan analisis tanah dan mengenalpasti kekurangan nutrien tertentu maka anda bolehlah memilih baja yang lebih bersesuaian dengan kawasan anda. Penggunaan baja menyebabkan beberapa situasi :-

i )Secukup rasa (macam masak-masak pulak) - penggunaan baja adalah bersesuaian dengan keperluan pokok yang ditanam

ii) Terlebih baja - pokok menerima baja yang terlalu banyak. Ia mungkin memberikan kesan yang tidak baik kepada pokok selain ia meningkatkan kos pengurusan perladangan. Baja yang berlebihan mungkin mengalir keluar ke tempat lain dan menyebabkan kerugian.

iii) Terkurang baja - Jika pokok anda menerima kurang baja dan kekurangan nutrien yang diperlukan bagi pertumbuhan maka mungkin akan mengganggu pertumbuhan pokok. Mungkin ada yang mati dan memberi kesan kepada jumlah produktiviti hasil kelak.

iv) Tidak seimbang - ini juga berlaku apabila jumlah nutrien yang diperlukan tidak seimbang. Contohnya, pokok memerlukan sumber N yang tinggi dan tanah sudah memiliki elemen N yang tinggi. Bila membaja kita juga memilih baja dengan elemen N yang tinggi menyebabkan keperluan adalah tidak seimbang. Jika kita membuat tanaman integrasi adalah penting juga kita perlu mengenalpasti keperluan setiap pokok yang ditanam.

3) Bilakah masa yang sesuai untuk pembajaan?

Anda bolehlah membuat pembajaan 3 kali setahun tetapi masih bergantung kepada jenis baja yang anda gunakan. Baja organik digunakan dalam kuantiti yang lebih banyak namun dengan kekerapan yang kurang kerana ia memberikan kesan yang lebih lambat berbanding baja tidak organik. Selain itu, masa yang terbaik untuk menjalankan pembajaan ialah selepas hujan. Ini bagi mengelakkan air hujan membawa baja yang telah diaplikasikan kepada pokok mengalir ke tempat lain.

4) Bagaimanakah kaedah yang terbaik pembajaan?

Saya pernah tulis kaedah pembajaan disini  Boleh rujuk semula ya :)


Ok rasanya setakat ini dulu tulisan pada hari ini. Yang baik boleh dijadikan rujukan, jika ada tersalah tulis mohon dibetulkan dan dikongsikan dengan yang lain. Saya sentiasa terbuka untuk menerima teguran. Semoga kita dapat mempelajari sesuatu pada hari ini.

Wassalam.

Aminah Saad


Comment (1)

Assalammualaikum. Nama sy shah. Disini sy ingin memperkenalkn produk yg trbaik yg tdk membebankn kewangan anda. Produk RISBIO gaharu super khas untuk mempercepatkn pertumbuhan, meningkatkn kualiti,merawat,dan lain2.

Harga seekar:RM20

money back guaranty kalau x brpuas hati

hubungi sy /whatsapp
0194613165
Pasti tdk mengecewakan
hubungi sy skrg

Post a Comment