Memulakan Tanaman Gaharu

2

Labels:

Ramai yang sering bertanya apakah langkah pertama yang perlu dilakukan sebelum memulakan tanaman gaharu atau karas ini. Mereka berminat untuk melibatkan diri dengan penanaman karas namun buntu langkah seterusnya yang perlu dilakukan.
      
         Kepada siapa perlu mereka rujuk untuk dapatkan maklumat ?
        Sesuaikah tanah yang dimiliki bagi tanaman karas ?
        Berapakah modal permulaan untuk perladangan karas (skala kecil)?
        Bagaimana dengan pasaran gaharu ini? Dah tanam nanti tak de pembeli kan rugi...


Pelbagai-bagai soalan menerpa ke fikiran. Internet pula memberikan lambakan maklumat sehinggakan tidak tahu mana yang perlu diikuti. Fikiran makin berserabut dengan sembang-sembang kosong bersama teman-teman tentang potensi perladangan karas ini.

Pada pendapat saya, memiliki ilmu berkaitan gaharu sangatlah penting sebelum kita melibatkan diri dalam sesuatu perkara terutamanya melibatkan pelaburan jangka masa panjang. Pasti kita tidak mahu menyedari kesilapan yang dilakukan setelah hampir masa untuk menuai hasil kelak. Walaupun itu merupakan satu pengalaman berharga, namun berapa orang yang mampu bersabar apabila pelaburan yang ditunggu akhirnya tidak mendatangkan hasil. Kalau kita telah kaya raya mungkin pelajaran ini mampu dihadapi dengan hati yang lebih tenang. Namun jika segala masa, tenaga dan wang ringgit telah dicurahkan untuk perkara tersebut pasti kesabaran sangat teruji.

Jadi cadangan saya kepada sesiapa yang berminat untuk memulakan perladangan karas/gaharu, peruntukanlah modal yang terawal sekali adalah dengan menghadiri mana-mana bengkel atau seminar yang dianjurkan oleh badan-badan kerajaan atau syarikat-syarikat persendirian. Dengan menghadiri seminar ini, anda akan menjiwai perkara yang bakal anda lakukan. Anda dapat mempertimbangkan bahawa adakah ia bersesuaian dengan anda. Dan yang paling penting anda dapat bertemu dengan peserta lain yang mungkin telah terlibat dengan perladangan karas dan bolehlah anda mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang perladangan karas ini.


 Terdapat pameran produk dan anda boleh lihat sendiri produk dari gaharu.

Contoh anak pokok karas. Anda boleh pegang dan lihat secara real kepada yang belum mengenali pokok karas.

Lawatan ke tapak tanaman. Jika bernasib baik anda akan ditunjukan teknik inokulasi yang digunakan (bergantung kepada penganjur seminar yang anda hadiri)

Anda juga sesetengah penganjur membuat lawatan ke kilang memproses. Jadi anda boleh melihat sendiri bagaimana gaharu diekstrak menjadi minyak gaharu.


Jika sekadar anda mengumpul maklumat daripada internet, saya khuatir anda tidak mendapat gambaran sebenar keadaan yang bakal dilalui. Adalah lebih baik anda menghadiri mana-mana bengkel supaya segala persoalan boleh anda lontarkan agar anda dapat meyakinkan hati anda bahawa "ya, ia memang sesuai dengan diri saya, saya mahu lakukan dan saya sudah bersedia untuk melakukan".

Kepada mana-mana pihak yang menganjurkan bengkel atau seminar gaharu, anda bolehlah emailkan maklumat berkaitan dengan seminar anda untuk saya umumkan dilaman blog ini. Secara percuma. Sekurang-kurangnya ia boleh menjadi rujukan kepada pengunjung yang ingin menghadiri seminar gaharu. Saya juga akan cuba mendapatkan maklumat terkini berkaitan seminar dan bengkel yang akan diadakan. Semoga ia dapat membantu kepada sesiapa yang bakal memulakan perladangan gaharu.

p/s : kursus gaharu bukan hanya untuk yang baru ingin memulakan perladangan karas sebaliknya yang telah memulakan juga kerana disetiap kursus pasti ada kelebihan dan ilmu baru yang akan dipelajari :)

p/p/s : Pihak saya tidak menganjurkan sebarang kursus gaharu. Pada masa akan datang insyaAllah.

Ikhlas,
Aminah Saad

Inokulan Gaharu Biotech

2

Labels:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua,

Dengan lafaz bismillah saya mulakan entri pada hari ini. Semoga mendapat keberkatan dari Yang Maha Esa. Pada hari ahad yang lepas saya telah ke Lanchang, Pahang untuk bertemu dengan pencipta Inokulan Gaharu Biotech iaitu En Jamar ( http://gaharucandanku.blogspot.com/). Terima kasih buat En Jamar dan keluarga kerana telah menerima kehadiran kami dengan baik :)

Secara peribadinya, saya juga tidak berniat untuk komen banyak lagi berkenaan dengan inokulan ini kerana saya juga baru ingin mencubanya. Anda boleh lihat dengan lebih jelas update-update terkini berkaitan dengan Inokulan Gaharu Biotech di sini.


Persediaan sebelum melakukan suntikan inokulan :)


Proses pemasangan tiub bagi memasukkan inokulan ke dalam pokok

Taddaa, sudah siap...inokulan yang telah siap diisi ke dalam botol khas


Kesan-kesan positif inokulan Gaharu Biotech di ranting-ranting kecil pokok gaharu 

Selepas suntikan

Kita nantikan kesan-kesan yang lebih menakjubkan dari Inokulan Gaharu Biotech ini. Jika anda berminat untuk mencuba inokulan ini, sila berhubung dengan En Jamar atau lawati blog beliau untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan terkini. 

Saya juga akan mencuba inokulan ini dan insyaAllah akan saya update kesannya di sini. Semoga mendapat manfaat bersama.

Sekian, wassalam.

Ikhlas, 
Aminah Saad

Entri Santai

1

Labels:

Assalamualaikum buat semua pembaca,

Semoga anda ceria dan sihat2 selalu. Alhamdulilah, sy juga dalam keadaan yang baik, semoga nikmat kesihatan yang dianurgerahkan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya ke arah kebaikan :)

Pertamanya, pada hari ini sy tidak berniat untuk menyentuh sebarang topik berkaitan gaharu secara spesifiknya. Sekadar satu entri ringkas secara santai.

Untuk pengetahuan semua saya bukanlah pakar dalam bidang gaharu sehinggakan setiap topik dan perkara berkaitan gaharu mampu sy jelaskan dengan baik. Ilmu ini terlalu luas dan saya masih dalam proses belajar dan mencari ilmu ini. Blog ini merupakan satu platform untuk saya berkongsi sekadar ilmu yang saya tahu dengan semua pembaca dengan harapan perkongsian itu dapat memberi manfaat kepada sesiapa yang memerlukan. Pada yang sudah tahu, mungkin sekadar peringatan semula. Kepada pembaca yang ingin berkongsi ilmu yang anda ada, saya sentiasa mengalu-alukan kerana secara tidak langsung anda dapat mengembangkan ilmu yang ada miliki.

Saya yakin terdapat banyak pembaca yang lebih arif berkaitan dengan ilmu gaharu ini dan mungkin menganggap tulisan saya ini sekadar satu entri yang tidak banyak memberi manfaat. Walaupun begitu, saya akan terus menulis. Walaupun saya hanya tahu sedikit tapi saya tetap akan kongsikan apa yang saya tahu. Jika menunggu saya menjadi "expert", mungkin blog ini hanya akan wujud dalam 10,20 tahun akan datang. Entah-entah langsung tidak akan wujud. Lebih baik suatu yang sedikit itu saya kongsikan sekarang daripada suatu yang banyak tapi saya tidak mampu untuk kongsikan dengan yang lain.

Keduanya, saya ingin maklumkan bahawa saya bukanlah penulis yang baik. Satu entri yang pendek juga kadang kala mengambil masa yang agak lama untuk saya siapkan terutama jika tidak mempunyai mood untuk menulis. Tapi saya anggap ini sebagai satu latihan untuk saya menjadi seorang penulis yang baik suatu hari nanti. Saya sentiasa cuba untuk menulis satu entri yang baik, informatif dan juga bermanfaat untuk blog ini walaupun kadang kala ia nampak tidak selayaknya untuk dikategorikan dalam kategori tersebut ( baik, informatif dan bermanfaat).

Ketiganya, memang benar industri ini masih baru dan masih terdapat terlalu banyak gap untuk dipenuhi. Masih banyak kajian yang sedang dilakukan dan masih banyak juga peluang kajian yang perlu dilakukan. Walau setinggi manapun kita belajar, pasti banyak lagi cabang ilmu yang kita tidak tahu. Ilmu itu luas, lagi banyak kita mencari lagi banyak yang kita tidak ketahui. Dan kerana itu, apa jua ilmu yang saya perolehi walaupun kecil, walaupun simple, walaupun "kacang" tetap ada nilainya. Mungkin orang yang expert terlepas pandang perkara yang kecil sehinggakan dia tidak menyedari bahawa dia tidak tahu perkara yang mudah. Manakala kita yang biasa-biasa ini terlampau mencari ilmu yang susah sehingga tidak sedar ilmu yang mudah pun kita tidak tahu. Ketika itu segala ilmu yang senang pun akan jadi susah kerana kita tidak tahu.

Saya rasa cukup setakat ini luahan hati saya sebagai gaharu blogger yang masih terus mencari ilmu berkaitan gaharu ini.

Good luck semua !!


Ikhlas,
Aminah Saad

Pemilihan Anak Pokok Yang Berkualiti

0

Labels:

Assalamualaikum,

Dengan lafaz bismillah saya mulakan post pada hari ini. Semoga ia menjadi permulaan kepada penulisan entri  yang lebih konsisten pada masa akan datang. Saya akui agak lama tidak megupdate blog ini. Sudah hampir bersawang dan perlu dibersihkan kembali dengan entri-entri yang lebih segar dan informatif.

Merujuk kepada tajuk entri pada hari ini iaitu pemilihan anak pokok yang berkualiti. Bagaimanakah kita ingin mengenalpasti anak pokok yang berkualiti untuk ditanam diladang bagi menghasilkan pokok yang benar-benar baik dan dapat memberikan hasil yang lumayan pada masa akan datang. Secara logiknya, tidak mungkin pokok yang terbantut dan sakit dapat memberikan hasil yang lumayan bagi seorang pengusaha ladang karas. Namun insyaAllah dengan sedikit ilmu pengetahuan berkaitan pemilihan anak pokok pada peringkat awal, anda dapat mengurangkan sedikit risiko yang mungkin akan anda hadapi bukan sekadar membuat pemililhan pokok berdasarkan semata-mata kepada harga yang ditawarkan bukan kepada kualitinya.



Kualiti anak pokok disini merujuk kepada keadaan anak pokok pada peringkat ketika masih didalam Nursery. Pokok yang segar, akar yang baik, dan pucuk tumbuh dengan baik.  Antara kaedah pemilihan anak pokok ialah ;

1.      1.Saiz polibeg : Saiz polibeg boleh mempengaruhi pertumbuhan akar anak pokok karas tersebut. Jika anak pokok sudah tinggi namun pengusaha masih mengekalkan penggunaan polibeg yang sama ketika ia dipindahkan kedalam Nursery, mungkin akan terdapat masalah pembentukan akar. Pembentukan akar amat penting kepada pertumbuhan pokok. Tanpa sistem akar yang baik, pokok mungkin tidak akan mendapat sumber nutriet dan air yang secukupnya untuk pertumbuhan yang sihat. Ini akan menyebabkan pertumbuhan pokok terbantut. Selain itu, disebabkan sistem akan yang tidak berkembang, ia akan menjadi faktor kepada pokok mudah tumbang apabila semakin dewasa.

2.     2.Susunan anak pokok yang terlalu rapat  ketika didalam Nursery menyebabkan pokok yang ditengah tidak dapat dibaja dengan baik. Jika kita tersalah pilih mungkin akan mendapat pokok-pokok yang tidak sihat sejak dari Nursery lagi. Daun-daun yang hijau mungkin kerana disembur baja foliar untuk daun.

3.     3.Serangan kulat sejak didalam Nursery. Apabila susunan dan sistem siraman yang tidak betul diamalkan oleh pengusaha Nursery menyebabkan air bertakung dan mungkin menjadi punca kepada serangan kulat kepada akar anak pokok karas ini. Akar yang rosak juga menjadi punca kepada masalah-masalah diladang kerana sejak awal akar tidak sihat. Pengusaha mungkin tidak menyedari dan menganggap ia merupakan serangan di ladang. Jika pemilihan dilakukan dengan lebih teliti masalah ini mungkin dapat dielakkan.

Untuk hari ini, rasanya cukup dulu saya kongsikan 3 kriteria ketika membuat pemilihan anak pokok di Nursery.  Semoga anda mendapat manfaat dari entri pada hari ini. Jika anda pengusaha Nursery pokok karas, diharap anda dapat melihat semula dan memantau keadaan anak pokok di Nursery anda. Semoga anda dapat memberikan anak pokok yang paling berkualiti kepada pelanggan anda. Dan jika anda seorang bakal pengusaha ladang gaharu, semoga anda dapat membuat pilihan yang bijak ketika membuat pemilihan anak pokok.


Semoga Berjaya.

Ikhlas,
Aminah Saad