Kenapakah Gaharu Mahal?

0

Labels:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Semoga dalam keadaan sihat sejahtera dan diberikan kekuatan untuk meneruskan hari ini dengan lebih baik. Sudah agak lama saya tidak menulis sesuatu di sini, sibuk barangkali :) Alasan mudah untuk melepaskan diri.

Pada hari ini, saya ingin berkongsikan satu persoalan yang mungkin sering berlegar-legar dikepala kita tentang gaharu ini iaitu kenapakah harganya begitu mahal sehingga mencecah RM30,000 sekilo bagi gaharu bergred yang terbaik. Walaupun pada masa sekarang, gaharu dengan gred super A semakin sukar didapati namun harga bagi minyak gaharu yang terhasil daripada proses penyulingan juga tidak kurang mahalnya.

Secara alaminya, setiap yang Allah ciptakan pasti bermanfaat agar boleh digunakan oleh yang lainnya. Gaharu menjadi semakin popular apabila manfaatnya dalam bidang kosmetik dan perubatan mula dikenalpasti. Dengan populasi dari hutan yang semakin di ancam kepupusan dan kesukaran mendapatkan gaharu bergred tinggi menjadikan harga gaharu sebegini mahal. Walaupun banyak pihak sudah mula menjalankan perladangan gaharu namun kita masih belum nampak hasilnya. Penanaman gaharu secara berleluasa mungkin akan menganggu keselesaan gaharu dengan harga yang tinggi, namun disebabkan harganya yang sudah sedia mahal mungkin ia tidak akan jatuh ke tahap yang begitu rendah. Jangan jadikan isu ini untuk tidak mula menanam gaharu kerana gaharu merupakan sumber alam yang amat berharga.

" Masa yang terbaik untuk menanam gaharu ialah 20 tahun dahulu, dan masa yang kedua terbaik ialah menanamnya sekarang !"

( Peribahasa yang saya ubahkan sedikit :) )

Secara peribadinya, gaharu juga menjadi mahal kerana ia menjadi satu keperluan yang penting bagi orang-orang Arab. Seperti juga pentingnya sarang burung walit kepada orang Cina sehingga membuatkan harganya amat mahal.

Penanaman gaharu berbeza dengan penanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan yang lainnya kerana bagi sayuran dan buah-buahan hasilnya mempunyai tarikh luput yang mana akan rosak jika tidak dijual dalam sela masa yang tidak panjang. Sebaliknya, gaharu menjadi semakin mahal jika ia dibiarkan terbentuk dalam jangka masa yang lama. Namun, jangan pernah menyesal berbudi kepada tanah. Ia dijamin memberikan pulangan yang lumayan. Setiap tumbuhan diberikan kelebihan dan keistimewaan tersendiri yang tidak ada pada yang lainnya.

Saya rasa cukup setakat ini perkongsian pandangan peribadi saya. Semoga terus bertahan dalam industri yang cukup mencabar ini.


Ikhlas,
Aminah Saad