Lesen & Kawalan Karas

9

Labels:

Hari ini saya ingin berkongsikan tentang Kaedah Perlesenan dan Pemantauan/ Kawalan Pengusahasilan Karas di Malaysia yang diuruskan oleh Jabatan Perhutanan negeri. Semoga mendapat sesuatu yang bermanfaat dari perkongsian ini. Kaedah pengawalan ini berkaitan dengan penuaian hasil gaharu yang tumbuh secara semulajadi.


Permohonan


1.1 Pengusaha/ kontraktor yang berminat untuk mengusahahasilan kayu gaharu dikehendaki berdaftar dengan Jabatan menggunakan borang yang ditetapkan dalam kaedah-kaedah hutan di negeri masing-masing yang boleh diperbaharui dari tahun ke tahun.

1.2 Permohonan untuk mengusahahasilan kayu gaharu perlu menggunakan borang yang ditetapkan dengan mengemukakan butir-butir pelan kawasan dan keluasan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), Tanah Kerajaan (TK) atau Tanah Bermilik (TM) yang dipohon.

1.3 Pengusaha perlu mempunyai pengalaman dalam bidang ini.

1.4 Keutamaan untuk mendapatkan lesen boleh diberi kepada orang asli samada secara perseorangan atau melalui Jabatan/ Koperasi.


Perlesenan

2.1 Lesen Untuk Mengambil Kayu Gaharu

i. Permohonan yang diluluskan untuk mengusahasilan kayu gaharu akan dikeluarkan Lesen Kecil ( Borang 3) bagi kawasan dalam HSK/TK dan lesen pemindah ( Borang 5) bagi TM.

ii. Wang cagaran sebanyak RM10,000 akan dikenakan bagi setiap lesen.

iii. Setiap lesen dihadkan pengeluaran sebanyak 30 kg kayu gaharu dan 1000 kg kayu karas racik sebulan.

iv. Setiap lesen akan dikenakan bayaran royalti mengikut gred yang ditetapkan oleh Jabatan pada kadar 10% ad valorem.

v. Sebarang perlanggaran syarat lesen akan diambil tindakan undang-undang termasuk membatalkan lesen dan menyenarai hitamkan pengusaha.

vi. Perlesenan akan dikenakan syarat tambahan seperti berikut :

- Dikehendaki membekalkan sebanyak 3000 anak benih tabung karas kepada Jabatan setahun
- Perlesenan dan pencari mestilah terdiri dari warganegara Malaysia
- Had diameter pokok karas yang boleh diusahasilan ialah dari saiz 20 cm dan ke atas
- Pokok karas yang sedang berbunga dan berbuah dilarang usahasilan
- Pembinaan jalan tidak dibenarkan
- Dikehendaki menghantar ' shuttle return' pada setiap bulan kepada Pejabat Perhutanan Negeri mengenai maklumat pengeluaran kayu gaharu

2.2 Lesen Untuk Berniaga Gaharu

i. Peniaga/ agen hanya boleh membeli gaharu/karas dari pemegang lesen yang diluluskan oleh Jabatan.

ii. Dikehendaki menyelenggara buku log dengan mencatatkan kemasukan dan pengeluaran (penjualan) kayu gaharu kepada pekilang atau untuk dieksport.

iii. Mengemukakan 'shuttle-return' pembelian dan penjualan kayu gaharu ke Pejabat Perhutanan setiap bulan.

iv. Mendapatkan permit CITES dari MTIB ( jika dieksport ke luar Negara).


2.3 Lesen Kilang Memproses Gaharu

i. Pengilang dikehendaki mendapatkan lesen memproses kayu gaharu mengikut peruntukan di bawah Kaedah-Kaedah Hutan untuk tujuan penukaran kepada serbuk kayu atau minyak gaharu.

ii. Dikehendaki menyenggarakan buku log dengan mencatatkan kemasukan kayu gaharu, jumlah kayu gaharu yang diproses, penghasilan serbuk/ minyak gaharu yang diproses.

iii. Mengemukakan ' shuttle return' menunjukkan jumlah kemasukan dan penjualan kayu gaharu/ serbuk/ minyak gaharu ke Jabatan Perhutanan negeri.

iv. Mendapatkan permit CITES dari MTIB dengan mengemukakan lesen kilang yang diluluskan/ resit Kew. 38/ pas pemindah ( jika dieksport).