Semaian Biji Benih

3

Labels:

Assalamualaikum wbt,

Pada hari ini, saya akan kongsikan dengan anda semua kaedah menyemai biji benih gaharu bagi yang berminat untuk menyemai biji benih gaharu ini. Walaupun anda boleh terus mendapatkan bekalan anak-anak pokok ini, anda boleh jadikan entri ini sebagai tambahan ilmu. Kini, anak gaharu juga boleh didapati dengan menggunakan teknologi keratan tisu, namun terdapat beberapa pendapat yang mengatakan bahawa penyemaian dari biji benih akan menghasilkan anak pokok yang lebih berkualiti. Oleh itu, mari kita lihat langkah-langkah yang terlibat dalam penyemaian anak pokok gaharu ini.



1. Rendamkan biji benih selama lebih kurang setengah jam, buangkan air dan letakkan ditempat yang teduh. Boleh juga letakkan dirumah semaian.

2. Sediakan multi pots dengan menggunakan medium peatmoss. Letakkan satu biji benih untuk setiap satu pot dengan ekor menghala ke atas.



3. Siram dengan kerap iaitu 3 kali sehari pagi, tengahari dan petang. Namun begitu, perlu di siram dengan kadar yang sederhana sahaja.

4. Biarkan selama 30 hari sebelum boleh dialihkan ke polibeg iaitu dengan ketinggian lebih kurang 3 inch.

 * 1 minggu

 * 2 minggu

 * 3 minggu

*4 minggu 

5. Anak pokok sedia dialihkan ke polibag dan diletakkan di bawah teduhan agar tidak terdedah terus kepada cahaya matahari. Kadar hidup anak benih ini ialah 80% daripada jumlah semaian biji benih yang dilakukan.




6. Biarkan selama lebih kurang 6 bulan anak pokok tersebut didalam polibag sebelum boleh dialihkan ke ladang untuk penanaman.


Selamat Mencuba.

Salam Hormat,
Aminah Saad

Motivasi 2011

0

Labels:

Tahun baru 2011 bakal menjelma tiba. Segala perancangan untuk tahun hadapan perlu dirancang teliti. Sama ada anda ingin ianya lebih baik dari tahun 2010 atau tidak, semuanya terletak di tangan anda. Saya mendoakan agar hidup kita lebih baik dari segala aspek untuk tahun hadapan. Jadikanlah hari ini lebih baik dari semalam, dan pastikan tahun hadapan lebih baik dari tahun ini. Renung-renungkan dan selamat beramal :) Sedikit perkongsiaan kata-kata semangat untuk kita mengharungi tahun yang pastinya lebih mencabar dan insyaAllah penuh dengan kejayaan.







Semoga berjaya kepada semua tidak kiralah dalam bidang apa pun anda berada. Jumpa lagi tahun depan dengan informasi yang lebih padat dan terkini. Wasalam.


Ikhlas,
Aminah Saad

Pulangan Gaharu

0

Labels:


Assalamualaikum wbt buat semua,

Selepas menulis entri berkenaan modal beberapa hari yang lepas,saya telah menerima 2 maklum balas yang nyata iaitu,

Maklum balas yang pertama menyatakan bahawa kos untuk memulakan perusahaan gaharu adalah terlampau tinggi. Sudah la lama untuk menunggu hasilnya….Jadi tidak mahu mengambil risiko terlibat dengan perusahaan ini ( terus memberikan pendapat begini tanpa membuat timbang tara dengan hasil yang akan diperolehi kemudian nanti).

Maklum balas kedua bertanya apabila kita sudah melabur sedemikian rupa jadi berapakah pulangan yang akan diperolehi? Inilah persoalan yang akan saya jawab pada entri kali ini. Semoga dapat memberi manfaat kepada semua, insyaAllah.


Mengikut perkiraan modal yang diperlukan dalam masa 6 tahun ialah RM 221,640.00, modal yang agak tinggi iaitu bersamaan dengan kos RM1694 sebulan untuk 5 tahun pertama dan RM 120,000 untuk tahun terakhir bagi kos inokulasi. Daripada anggaran 1000 pokok yang ditanam pada tanah berkeluasan 1 ekar, dianggarkan hanya 80% sahaja yang menghasilkan gaharu menjadikan jumlah pokok yang berjaya mengeluarkan hasil ialah 800 pokok ( namun dengan menggunakan kaedah suntikan inokulan dijangkakan semua pokok yang disuntik akan menghasilkan gaharu). 

Setelah suntikan inokulan pada tahun ke-5, sela masa yang diberikan sebelum pokok ditebang ialah satu tahun. Ini akan menghasilkan gaharu yang bergred baik walaupun mungkin tidak sampai kepada gred super A atau A kerana menggunakan inokulan yang berkesan. Di anggarkan harga bagi sepokok adalah dalam lingkungan RM1000 hingga RM3000 paling minima ( merangkumi keseluruhan teras dan juga kayu untuk pemprosesan minyak). InsyaAllah, hasil yang mungkin diperolehi adalah lebih.

Jumlah pokok
800
Hasil bagi sepokok gaharu
1000
JUMLAH
800000




Modal
221640
Keuntungan
578360




 Jadi daripada seekar tanah yang diusahakan dengan dengan anggaran 800 pokok yang akan menjadi pada harga yang paling minimum iaitu RM 1,000 anda boleh menjana keuntungan RM 578,360. Walaupun masih belum boleh menjadi jutawan seperti yang mungkin anda dengar sebelum ini, saya rasa pelaburan untuk perusahaan ini sudah agak berbaloi. 




Jika anda ada sebarang persoalan yang belum jelas, sila emailkan pada saya di aminah.mdsaad@gmail.com, mungkin penulisan saya kurang jelas atau ada keraguan di mana-mana. Saya mengalu-alukan komen anda untuk penambahbaikan.

Sekian, wassalam.

Ikhlas, 
Aminah Saad

Pembukaan Tirai 2011

0

Labels: ,

Assalamualaikum wbt buat semua,

Pada hari ini saya ingin berkongsi maklumat berkenaan satu "talk" yang akan diadakan di Annexe Hall, UiTM Shah Alam bertajuk " Enhancing the World of Fragrance Through Malaysian Bio-Gaharu". Program ini akan berlangsung pada 12 Januari 2011 ini bermula jam 8.30 sehingga 11.30 pagi. Ucapan ini akan disampaikan oleh Prof Dr Ku Halim Ku Hamid. Kepada sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan isi kandungan ucapan pada hari ini, anda dijemput hadir.


 Pada pengakhiran program ini, akan diadakan pelancaran Gaharu Booster iaitu salah satu inokulan hasil ciptaan Malaysia. Mungkin inilah jawapan kepada pencarian anda selama ini. Semoga program ini dapat memberikan sesuatu kepada anda seterusnya menambahkan pengetahuan anda dalam bidang gaharu ini.

 * 1 bulan suntikan

Jangan lepaskan peluang ini untuk sama-sama mendengarkan ilmu-ilmu baru dari yang pakar. InsyaAllah, disamping mendapat ilmu baru kita juga akan berpeluang untuk berkenal-kenalan dengan rakan-rakan dalam industri yang sama.

Jika anda berminat untuk menyertai program ini, anda dikehendaki mendaftarkan nama dengan menghubungi 03-5543 6350 ( Pn Hamiza Ab Hamid) atau 03- 5543 6545 ( En Mohd Faizul Hassan) sebelum 29 Disember 2010 ini. Jangan lepaskan peluang keemasan ini !!

p/s : Maaf, saya tidak pasti sama ada pgrm ini open kepada semua atau tidak, jadi anda call untuk dapatkan kepastian bahawa anda boleh sertai atau tidak. Jika tempat sudah penuh, mungkin lain kali boleh sertai lagi. 


Sekian, Terima Kasih.


Ikhlas,
Aminah Saad

Pengiraan Modal

1

Labels:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Pada hari ini saya ingin berkongsi secara ringkas pengiraan modal bagi melaksanakan projek perusahaan gaharu di atas tanah seluas 1 hektar untuk 6 tahun. Anda boleh menyesuai padankan dengan jumlah keluasan sebenar tanah yang akan anda usahakan. Namun ia bukanlah satu pengiraan muktamad, jika modal yang anda miliki kecil maka anda boleh usahakan secara berperingkat. Jika anda mempunyai modal yang besar dan ingin membuat dengan kaedah yang paling terkini, juga terpulang kepada anda. Di sini saya sediakan pengiraan modal bagi memberikan gambaran kasar dan sebagai tambahan maklumat anda.







Kos Tetap
RM
Pembersihan kawasan
380.00
Pemagaran
8,000.00
Sistem Perparitan
760.00
Anak Benih @RM8 termasuk sulaman
8,000.00
Jumlah Kecil
17,140.00

*Pemagaran bergantung kepada kawasan anda sama ada perlu dipagar atau tidak, jika ia tidak terdedah kepada bahaya maka anda tidak perlulah memperuntukkan untuk membuat pagar.


Kos Penyelenggaraan
RM
Racun rumpai
3,600.00
Baja
1,200.00
Kawalan serangga perosak
500.00
Jumlah Kecil
5,300.00

* kawalan serangga perosak hanya diperlukan jika pokok anda diserang serangga perosak. Jika tidak anda boleh keluarkan ia dari pengiraan ini.


Kos pentadbiran dan Operasi
RM
Pengurus ladang
36,000.00
Pekerja ladang
43,200.00
Jumlah Kecil
79,200.00

* Di sini, pengurus ladang merujuk kepada diri sendiri yang memantau perjalanan ladang ( diberi elaun RM500, jika tidak mahu masukkan elaun untuk diri sendiri anda boleh keluarkan ia dari pengiraan ini)
*Untuk tanah 1 hektar anda tidak memerlukan seorang pengurus ladang secara tetap, cukuplah dengan meluangkan masa memantau secara sendiri.


Kos Penuaian dan Inokulasi
RM
Kos tuaian ( RM 50/pokok x 800pokok)
40,000.00
Kos Inokulasi (RM100/pokok x 800 pokok)
80,000.00
Jumlah Kecil
120,000.00





JUMLAH BESAR
221,640.00

*Kos tuaian merujuk kepada upah kerja untuk melakukan proses penuaian/suntikan inokulan
*Kos inokulasi merujuk kepada ubat suntikan yang digunakan dengan kadar 1 liter untuk 3 pokok.

Dari pengiraan ringkas ini, anda sudah boleh membuat pengiraan modal yang anda perlukan untuk peringkat permulaan, peringkat penyelenggaraan dan juga ketika anda ingin membuat suntikan inokulan nanti. Untuk pengiraan hasil, saya akan menulis pada post yang akan datang.

Semoga maklumat yang dikongsikan ini dapat memberi manfaat kepada anda semua.

Salam Hormat,

Aminah Saad

Suntikan Inokulan

0

Labels:

Assalamualaikum wbt,

Pada hari ini saya ingin mengupdate tentang aktiviti suntikan inokulan yang telah dilakukan di Tanah Merah, Kelantan pada 17 Disember yang lalu menggunakan 4-Moon Booster. Saya akan mengupdate tentang kesan ubat tersebut terhadap pokok gaharu tersebut dari masa ke semasa.




Kita nantikan keputusan suntikan pokok gaharu liar ini. Pokok ini agak besar jadi mengambil masa yang agak lama untuk menunjukkan kesan. Namun, nantikan sahaja keputusan suntikan ini ya.

Selamat Maju Jaya.

Ikhlas,
Aminah Saad

Harga Kayu Gaharu

2

Labels:

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua,

Industri gaharu semakin mendapat perhatian ramai kerana harga pasarannya yang sangat lumayan. Pasaran yang masih tidak dapat dipenuhi juga masih besar menyebabkan banyak pihak cuba mengambil peluang ini untuk terlibat dalam industri gaharu.Peluang dalam industri ini masih banyak, namun kita sendiri yang menentukan untuk mengambil peluang tersebut atau melepaskan ia pergi begitu sahaja.

Graf dibawah menunjukkan harga bagi kayu gaharu Gred A bagi tahun 1972-1990 dan 1991-2008 di Semenanjung Malaysia.Saya memperolehi maklumat ini dari Laporan yang dikeluarkan oleh FRIM. Sumber maklumat tersebut diperolehi daripada pedagang iaitu 2 di Perak, 1 di Kelantan, 1 di Terengganu dan 1 di Pahang.



Berdasarkan graf di atas, pada tahun 1972 harga bagi gaharu Gred A ialah RM500 bagi setiap kg. Harga gaharu menunjukkan peningkatan yang baik dari tahun ke setahun. Pada tahun 1990, harga gaharu meningkat sehingga hampir 4 kali ganda iaitu RM 1967 bagi setiap kg.

Harga gaharu terus meningkat dengan mendadak kerana permintaan yang tinggi tetapi keupayaan pengeluaran yang rendah memandangkan pokok gaharu yang semakin diancam kepupusan. Pada tahun 2008, harga gaharu yang dicatatkan ialah RM 14333 bagi setiap kg. Peningkatan dari tahun ke tahun menunjukkan potensi industri gaharu dalam menjana ekonomi individu, syarikat seterusnya Negara.

Namun begitu, Gred A bagi gaharu tidaklah begitu mudah untuk diperolehi. Ia mengambil masa yang agak lama untuk menghasilkan gaharu yang betul-betul berkualiti dan seterusnya dikelaskan dalam Gred A. Teknologi inokulasi yang sering diwar-warkan sehingga ke saat ini masih tidak berjaya untuk menghasilkan gaharu bergred A. Mungkin ada kes-kes terpencil yang dapat menghasilkan gaharu Gred A, namun jumlahnya masih tidak banyak. Usaha keras perlu dilakukan bagi mendalami kajian terhadap inokulan yang digunakan untuk pembentukan gaharu agar hasil yang berkualiti tinggi dapat diperolehi.

Tidak dapat dinafikan kewujudan inokulan telah meningkatkan industri gaharu ke tahap yang lebih baik dari sebelumnya. Gaharu yang terbentuk masih dapat dikelaskan dalam Gred yang lain seperti B, C dan sebagainya dan juga bagi gred yang rendah digunakan untuk penyulingan minyak gaharu. Harga pasaran bagi gaharu gred selain A dan minyak gaharu juga tidak kurang lumayan. Masih sangat berbaloi untuk diusahakan.

Semoga kita sama-sama dapat terus meningkatkan mutu dan kualiti industri gaharu Malaysia ke tahap yang lebih tinggi seterusnya dapat meningkatkan ekonomi penduduk. Kajian yang berterusan dan sokongan padu dari pihak kerajaan mampu merealisasikan hasrat untuk menjadikan Malaysia hub perdagangan gaharu suatu hari nanti. InsyaAllah.

Sekian, Salam Hormat.

Aminah Saad

Persoalan & Jawapan

0

Labels:

Assalamualaikum semua,

Semoga sentiasa sihat dan ceria. Pertamanya, saya ingin memohon maaf kepada anda yang menghantarkan persoalan melalui blog ini menggunakan form Hubungi Kami kerana saya baru membalas persoalan-persoalan anda. Ini atas permasalah yang tidak dapat dielakkan. Selepas ini, insyaAllah saya akan menjawab dengan kadar segera ( selalunya saya akan menjawab paling lambat dalam masa 2 hari jika tiada masalah dan saya dikawasan yang membenarkan saya online.)

Keduanya, jika anda membuat pertanyaan melalui sms saya juga minta maaf mungkin ada yang saya terlepas pandang dan tidak menjawab persoalan anda. Saya berharap agar anda boleh menghubungi saya semula melalui email atau facebook. Saya sedar kelemahan diri yang kadang kala mungkin terlupa atas kesibukan diri.

Ketiganya, kepada sesiapa yang pernah menghubungi saya melalui telefon tetapi tidak mendapat maklum balas dari saya harap masih sudi untuk menghubungi saya semula. Ini kerana, kadang kala saya terlupa untuk SAVE nama anda menyebabkan saya tidak dapat return call anda. Saya mohon maaf yang tidak terhingga. InsyaAllah, selepas ini saya akan lebih berhati-hati terhadap maklumat-maklumat penting ini.

Saya berharap anda masih sudi untuk membaca info dan maklumat-maklumat yang saya kongsikan disini. Dan kepada yang ingin bertanya atau berkongsi maklumat, saya berharap anda emailkan kepada saya di aminah.mdsaad@gmail.com, insyaAllah saya akan balas dan kongsikan maklumat yang ingin anda kongsikan dengan yang lain. Semoga sama-sama mendapat manfaat.

Tahun baru Maal Hijrah baru berlalu, dan tahun baru masihi akan datang. Semoga saya dapat memperbaiki kelemahan diri ini dan seterusnya lebih rajin untuk update maklumat-maklumat berkaitan dengan gaharu disini.


Salam Maal Hijrah,
Aminah Saad