Review Trip Ke TPM Raub

0

Labels:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua,

Salam Jumaat yang penuh barakah. Semalam (20 Disember 2012) merupakan hari terakhir bagi seminar gaharu iaitu lawatan ke Technology Park Malaysia, Raub. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam dengan menaiki bas. Alhamdulilah semuanya berjalan lancar. Pada hari ini saya berkesempatan untuk berkenalan dgn beberapa orang peserta kerana tugasan sudah berkurangan berbanding 2 hari lepas ketika sesi pembentangan berlangsung.


Antara peserta yang hadir pada lawatan ke Raub.

Saya sendiri tidak punya koleksi gambar yang banyak sempena seminar kali ini. Mungkin pada para peserta yang membaca ini dan ingin berkongsi gambar dengan saya sangat saya alu-alukan. Boleh email ke saya seperti yang tertera di sebelah kanan sidebar blog ini. 

Di sini, peserta diperkenalkan dan diberi taklimat ringkas berkenaan dengan fasiliti yang ditawarkan oleh pihak TPM, Raub. Dengan pembangunan mesin berkapasiti yang tinggi, ia dapat memberikan kemudahan kepada para pengusaha yang menghadapi masalah untuk menghasilkan produk untuk dikomersilkan. Penerangan diberikan bermula daripada bahan mentah sampai sehinggalah ke proses pemotongan, pengeringan, penghancur dan seterusnya proses tekanan bagi menghasilkan ekstrak dalam bentuk cecair atau serbuk. Kemudahan sudah disediakan, tak perlu lagi kita membina kilang yang pastinya menelan belanja yang bukan sedikit.




Ok, nanti saya sambung lagi. Tak sempat nak mengulas lanjut kerana ada urusan lain. Jumpa lagi.

(saya, PM Dr Azani, En Ismail, En Megat Md Yusof)

*tengok dari gambar ini terfikir...ohhh bila sy nak kurus ni...?


Kredit Gambar daripada FB : Megat Md Yusof


Wslm.

Aminah Saad

Sesi Pembentangan Tamat

0

Alhamdulilah dah berakhir sesi pembentangan sempena Seminar Kebangsaan dan Pameran Gaharu 2012. Kepada para peserta saya wakil daripada seketariat seminar kali ini mengucapkan ribuan maaf atas banyak kelemahan daripada pihak kami. Kami telah berusaha untuk memberikan yang terbaik. Semoga hubungan yang terjalin antara kita akan dipanjangkan dalam usaha meningkatkan industri gaharu ke peringkat yang lebih tinggi.

Saya tidak sempat merakamkan gambar dan juga tidak dapat menghadirkan diri pada sesi-sesi pembentangan yang disampaikan. Namun begitu, saya berharap anda mendapat sesuatu daripada sesi kali ini. InsyaAllah.


PERHATIAN : SEMINAR GAHARU 2012

0

Labels:

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia,

Semoga anda semua dalam keadaan sihat sejahtera. Terdapat beberapa tajuk yang masih tergendala dan tidak sempat untuk dijadikan entri di blog ini . Saya akui minggu ini memang saya sangat sibuk dengan pelbagai aktiviti luar menyebabkan saya tidak dapat menulis. Ini pun masih di luar sedang menyiapkan beberapa perkara yang masih belum selesai berkaitan dengan Seminar Kebangsaan dan Pameran Gaharu 2012. Di kesempatan ini saya ingin menjemput tuan/puan semua untuk mengambil peluang menyertai Seminar Gaharu Penutup bagi Tahun 2012 ini. Jangan lepaskan peluang ini jika anda orang-orang industri, ahli akademik, berminat dengan gaharu tetapi masih mencari ilmu, dan juga untuk orang-orang yang berpengetahuan luas dalam bidang ini. Dengan berkumpulnya semua daripada pelbagai kumpulan ini, kita akan dapat bertukar-tukar pandangan dalam bidang ini.

Yang berpengalaman luas, kongsikan dengan yang tidak mengetahui.
Yang punya kajian saintifik kongsikan dengan yang tidak melakukan kajian saintifik
Yang punya kajian lapangan kongsikan dengan yang masih baru
Yang menanam kongsikan permasalahan dan kelebihan anda dengan yang lain.
Indahnya ILMU jika semuanya ikhlas berkongsi antara satu sama lain.


Ada sesetengah yang mempersoalkan kenapa beliau perlu hadir lagi ke Seminar ini kerana beliau sudah tahu semuanya berkaitan gaharu. Ya, saya yakin pasti mereka orang yang hebat mungkin kerana telah berpuluh tahun terlibat dalam bidang ini. Segala berkaitan gaharu ibarat dihujung jari. Namun ilmu Allah itu terlalu luas, jika tidak masakan masih begitu banyak misteri gaharu yang belum terungkai walaupun telah dikenali beribu tahun dahulu :)


Cuma satu pesanan saya kepada anda yang diluar sana,

Ilmu yang sama disampaikan daripada orang yang berlainan memberikan kesan yang berbeza !!

Jika anda peruntukkan masa anda untuk hadir, insyaAllah saya yakin anda akan berpuas hati dengan ilmu yang bakal diperolehi dengan SYARAT jangan blok fikiran dari awal. Ikhlaskan diri untuk mencari ilmu. Anda adalah apa yang anda fikirkan. Lagi satu, saya memang tidak RUGI jika anda memilih untuk tidak hadir. Tetapi saya sangat UNTUNG jika anda hadir kerana saya dapat berjumpa dengan lebih ramai lagi yang punya minat yang sama dengan saya iaitu GAHARU. Saya beruntung kerana dapat memberi peluang untuk anda berjumpa dengan lebih ramai lagi sahabat-sahabat yang berada dalam satu kapal. Bersama kita berbincang untuk meningkatkan industri ini. Keuntungan disini bukan dikira berdasarkan material kerana saya tidak untung sesen pun untuk penganjuran seminar ini. Tetapi saya sangat gembira terlibat dengan penganjuran seminar ini.

Kenapa seminar ini mahal sangat ???
RM 600 untuk program 3 hari bagi saya adalah sangat berbaloi. Namun saya tidak katanya ianya murah tetapi itulah yang telah ditetapkan. Saya tidak punya kuasa untuk memberi diskaun kerana melibatkan begitu banyak pihak. Fikirkan secara positif saya yakin ilmu yang anda perolehi jika diaplikasikan berharga lebih daripada nilai RM600 itu. 

Akhirnya, saya berharap kepada yang masih berfikir-fikir untuk menghadiri atau tidak kursus ini, bulatkan tekad dan hadir. InsyaAllah, jika anda dapat hadir itulah yang terbaik untuk anda. Waktu saya membuat keputusan ke Bali tempoh hari juga, saya agak ragu-ragu adakah patut saya hadir atau tidak. Alhamdulilah, diberi kemudahan satu persatu dan akhirnya saya sampai disana. Saya sangat bersyukur kerana hadir kesana. Ilmu yang diperolehi tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. 




Entri Bali Part II akan saya tulis nanti ye. Alamak nanti bertambah la entri untuk seminar gaharu kebangsaan 2012 pula. Harap saya tetap terus menulis. Saya menulis untuk rujukan saya dimasa depan :)

Ikhlas,
Aminah Saad



Didik Tanam Pokok Sejak Kecil (KOSMO)

0

Labels:


Didik tanam pokok sejak kecil

AIMRAN menyiram pokok yang baru ditanam sambil dibantu kedua-dua ibu bapanya.


PAGI itu, ‘Aimran Hakimi Abdullah, dua tahun, telah berkumpul seawal pukul 7.30 pagi di Taman Wawasan, Presint 2, Putrajaya bersama ibu bapanya untuk menyertai Program Greener Earth anjuran Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd.
Bapanya, Abdullah Borhanuddin dan ibu, Samsinahajar Mohd. Ibrahim masing-masing berumur 28 tahun, membantu ‘Aimran menyiram pokok yang telah ditanam oleh ibu bapa.
Mungkin kanak-kanak tersebut masih kecil tetapi dengan dorongan ibu bapa dan inisiatif pihak Tesco memperkenalkan program bersifat kekeluargaan seperti itu diharap dapat mendidik anak-anak sekecil itu mengenai peri penting menjaga alam sekitar.
Selain ‘Aimran, ramai lagi kanak-kanak sebayanya menyertai ibu bapa masing-masing menanam pokok jenis karas di taman tersebut.
Seramai 300 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan umur menyertai aktiviti tersebut tanpa menghiraukan gigitan nyamuk mahupun kepenatan mencangkul tanah.
Tunjuk ajar
Pada hari itu, mereka yang datang sekeluarga di kawasan berdekatan dengan pintu masuk taman manakala bagi kumpulan yang terdiri daripada orang persendirian atau berkumpulan ditugaskan ke bahagian yang lebih dalam lagi.
Dalam pukul 10 pagi, keluarga ‘Aimran telah menanam sebanyak tiga batang pokok. Semua peserta mendapat tunjuk ajar sebelum dan sepanjang program menanam pokok berlangsung oleh pihak Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB)
Program kali ini menyaksikan semua pokok yang ditanam adalah daripada jenis pokok karas atau nama saintifik, Aquilaria malaccensis yang mampu menghasilkan sejenis herba dipanggil gaharu.
Gaharu telah terbukti mampu menjana ekonomi pada harga yang berpatutan iaitu antara kurang AS$10 (RM31.50) setiap kilogram untuk kualiti paling rendah sehingga lebih AS$30,000 (RM94,650) untuk minyak dan damar yang berkualiti tinggi.
“Tetapi, pokok yang ditanam pada hari ini tidak akan dituai untuk mendapatkan keuntungan. Ia bertujuan untuk pemeliharaan spesies tersebut.
“Menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta mendidik para pengunjung ke Taman Wawasan, Putrajaya mengenai pokok tersebut,” kata Ketua Setiausaha, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datin Paduka Nurmala Abdul Rahim.
Dalam acara tersebut, turut diadakan kaunter yang memperkenalkan kebaikan dan kegunaan pokok karas dalam kehidupan harian.
Pokok karas
Johar Ahmad yang mempunyai sebuah kafe berasaskan minuman daripada pokok tersebut di Kota Damansara berkata, setiap inci pokok karas boleh memberikan hasil kepada manusia.
“Daunnya boleh dibuat teh manakala kayunya boleh dijadikan bahan aromaterapi,” ujarnya yang mengakui bahawa gaharu telah digunakan orang Melayu sejak dahulu lagi.
Selepas sesi tunjuk ajar mengenai kaedah menanam pokok oleh pihak MTIB, acara menanam pokok dirasmikan apabila Nurmala dan Ketua Pegawai Operasi Tesco, Stuart Smith menanam pokok masing-masing sebagai tanda pelancaran acara.
Dalam ucapan perasmian, Smith berkata, pihak mereka meletakkan sasaran untuk menanam sebanyak 500,000 batang pokok untuk tiga tahun akan datang.
“Acara menanam sebanyak 1,000 batang pokok pada hari ini adalah sebagai langkah penting dalam mencapai sasaran tersebut,” katanya.
Selain aktiviti tersebut, pihak Tesco turut membina 17 buah pasar raya yang cekap tenaga dan mengurangkan impak pada persekitaran yang bernilai RM43.3 juta.

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0118&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_02.htm#.UL27YqZD-2Q.gmail#ixzz2E8VZZ1oL 
Hakcipta terpelihara 

Business Gathering Bali 27-29 November 2012

0

Labels: ,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua,

Semoga dalam keadaan sihat sejahtera. Agak lama saya tidak menulis entri di blog ini. Seperti biasa alasan saya pastilah masa yang agak terbatas dengan kesibukan tugasan sehari-harian :)

Sepanjang masa yang berlalu itu, banyak perkara yang dilalui yang ingin dikongsikan namun tidak sempat menulis sehingga hilang di angin lalu. Agak rugi jika saya tidak catatkan disini. InsyaAllah, pada hari ini saya ingin menulis sedikit berkenaan penyertaan saya dalam sesi "Business Gathering and Workshop for Agarwood" di Tabanan, Bali pada 27-29 November 2012 yang lalu. Satu pengalaman yang sangat berharga buat saya yang masih baru dalam bidang ini, mencari ilmu, menambah kenalan dan membuka fikiran berkenaan bidang gaharu yang sangat luas dan bersifat internasional ini. Sentiasa mencari ilmu walau harus ke mana jua kerana ilmu Allah ini sangat luas. Tidak mungkin kita mengetahui semua. Rendahkan hati, berjumpa dengan orang dalam bidang ini, pasti kita dapat belajar sesuatu yang baru.


Saya sampai di Denpansar pada 26hb jam 8 malam dengan disambut oleh penganjur iaitu Pak Didik dan Pak Made. Walaupun tiba agak lambat, namun penganjur setia menunggu. Kebetulan pada masa yang sama, peserta dari Medan Ali berserta opungnya tiba bersama jadi kami ke tempat penginapan bersama sahaja. Walaupun ada sedikit permasalahan bahasa namun saya tidak menganggap ia perkara yang besar. Walaupun saya punya saudara di Indonesia, namun saya tetap gagal berbahasa Indonesia dengan baik. Tetapi setiap yang hadir dapat menerima dan berkomunikasi dengan baik sekali dengan saya. Alhamdulilah. Saya sangat berterima kasih kerana layanan yang sangat baik bermula menjejakkan kaki ke Denpansar sehingga berangkat pulang pada 30 November 2012 jam 6 pagi. 


Program bermula pada jam 2petang 27hb dengan kehadiran lebih kurang 30 orang peserta daripada pelbagai daerah/kawasan di Indonesia. Sesi dimulai dengan ice breaking iaitu sesi berkenalan antara peserta. Masing-masing memperkenalkan diri dan tujuan menjejakkan kaki ke program pada hari itu. Bagi saya sendiri, saya ingin mengetahui keadaan industri gaharu di Indonesia, menjalinkan hubungan perniagaan dan berkongsi-kongsi pengalaman. Ya, saya tidak dapat meletakkan harga pada pengalaman ini. Walaupun program agak tidak tersusun kerana ada peserta yang lewat dan kekangan tenaga kerja seketariat. Mungkin seketariat yang terlalu sedikit. Namun tahniah diucapkan kepada Pak Didik kerana komitmen melebihi 100% bagi menjayakan program ini. Pasti segala pengorbanan anda akan terhitung dan memberikan manfaat kepada industri gaharu di Indonesia. 

*Sempat berdiskusi sementara program bermula 

Pada hari pertama, ucapan adalah terbuka kepada mana-mana peserta untuk menyampaikan pembentangan. Acara dimulakan dengan ucapan dari pegawai kehutanan dari Tabanan dengan memberikan serba sedikit latar belakang berkenaan penanaman gaharu di kawasan tersebut. Perkongsian seterusnya dilakukan oleh Bu Galuh dari Kalimantan. Beliau merupakan salah seorang yang telah berkecimpung lama dalam gaharu ini. Dikawasan beliau spesis utama yang ditanam ialah microcarpa. Sehingga ke saat ini, jumlah tanaman dibawah seliaan beliau berjumlah 1.6juta pohon. Sangat banyak jumlahnya kan?? Kalau sudah cinta begitulah. Keyakinan begitu mantap. Seluruh tenaga dan usaha dicurahkan lebih daripada 100%. Saya sangat kagum dengan semangat para peserta yang hadir. Berlatar belakang yang pelbagai namun punya hasrat yang satu, memartabatkan industri gaharu untuk negara tercinta, Indonesia. 

Point penting Bu Galuh :
1) Menggalakkan penanaman gaharu secara perladangan (budidaya)
2) Jangan meneroka hutan lagi bagi tujuan mengambil hasil gaharu. Selamatkan pokok gaharu di hutan dan mulakan perladangan gaharu sendiri.
3) Membuat tanaman spesis local bagi kawasan tersebut. Contohnya, beliau tetap dengan spesis microcarpa walaupun begitu banyak promosi untuk bibit dari spesis lain. Beliau yakin menanam spesis tempatan adalah yang terbaik.
4) Penghasilan bibit daripada pokok induk yang terpilih. Pokok induk dipilih daripada 300 pokok dan hanya 30pokok induk yang terbaik sahaja dipilih bagi proses pembibitan dengan penghasilan 20,000 bibit bagi setiap pokok. Bibit yang dihasilkan telah mempunyai sijil yang diperakui bahawa bibit unggul.
5) Memberikan kesedaran kepada penduduk setempat tentang kepentingan dan potensi penanaman pokok gaharu. Beliau juga membantu para petani yang tidak berkemampuan dengan pemberian bibit secara percuma. Yang paling penting baginya ialah mereka mahu menanam.
6) Beliau juga menghasilkan inokulan sendiri. Tahun depan ada beberapa pohon yang akan dituai daripada inokulan yang dihasilkan. Sama-samalah kita tunggu hasilnya, InsyaAllah jika berhasil pasti lumayan :)

*Bersama Bu Galuh daripada Kalimantan

*Program sedang berlangsung


Dalam program ini, dwibahasa digunakan iaitu B.Inggeris dan juga Bahasa Indonesia kerana terdapat peserta daripada Thailand, UAE dan juga Malaysia yang mungkin tidak memahami Bahasa Indonesia. Pak Didik bertindak secara pengacara Majlis dan juga penterjemah bahasa. 

Speaker utama bagi program kali ini ialah Mr Witsawa daripada Thailand. Antara sebab saya ke sini juga adalah kerana beliau. Hanya mengenali melalui facebook, saya yakin beliau punya ilmu yang luas dalam bidang ini untuk dikongsikan (hanya saya mengenali beliau, beliau tidak mengenali saya..hehe). Alhamdulilah, banyak perkongsian beliau yang memberi semangat untuk saya bertahan dalam industri gaharu yang serba mencabar ini. InsyaAllah, saya akan berjuang untuk memartabatkan industri gaharu di Malaysia. Walaupun saya sedar saya hanya orang kecil yang mungkin tidak bisa memberikan kesan kepada industri gaharu di Malaysia, namun saya akan cuba dulu. Never give up before u try !!



Ok, intipati ucapan Mr Witsawa akan saya kongsikan pada entri akan datang. Nampak sangat saya malas menaip kan. Hehe :)

Saya akan menyambung entri untuk program pada hari kedua..........

*Antara produk yang dibawa oleh Bu Hanny dari Semarang :)

Sabar paling penting. Untuk berjaya, jangan mudah mengalah kerana kejayaan yang diraih dengan susah payah akan lebih manis akhirnya. Saya semakin mencintai bidang ini, semoga Allah tetapkan hati ini. Tidak mudah mengalah dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

Kepada pengusaha gaharu diluar sana,
Jangan give up dulu, tunggu saya jadikan segalanya satu realiti. Tolong beri sokongan kepada saya dan kita sama2 berganding bahu bantu membantu.

Ikhlas Menulis Setulus Hati
Aminah Saad

Nota kaki  - peringatan kepada saya yang pelupa
Lawatan ke RAL Plantation, Tabanan Hari Kedua, Tabanan Hari Ketiga dan Teknik Bamboo Stick, Lawatan ke Lanchang IGB En Jamar, Praktis Suntikan Beberapa Inokulan, Penglibatan Gaharu di MAHA, Ebook Edisi II, Pasaran, Keseragaman Penghasilan Minyak Gaharu :)