Didik Tanam Pokok Sejak Kecil (KOSMO)

Labels:


Didik tanam pokok sejak kecil

AIMRAN menyiram pokok yang baru ditanam sambil dibantu kedua-dua ibu bapanya.


PAGI itu, ‘Aimran Hakimi Abdullah, dua tahun, telah berkumpul seawal pukul 7.30 pagi di Taman Wawasan, Presint 2, Putrajaya bersama ibu bapanya untuk menyertai Program Greener Earth anjuran Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd.
Bapanya, Abdullah Borhanuddin dan ibu, Samsinahajar Mohd. Ibrahim masing-masing berumur 28 tahun, membantu ‘Aimran menyiram pokok yang telah ditanam oleh ibu bapa.
Mungkin kanak-kanak tersebut masih kecil tetapi dengan dorongan ibu bapa dan inisiatif pihak Tesco memperkenalkan program bersifat kekeluargaan seperti itu diharap dapat mendidik anak-anak sekecil itu mengenai peri penting menjaga alam sekitar.
Selain ‘Aimran, ramai lagi kanak-kanak sebayanya menyertai ibu bapa masing-masing menanam pokok jenis karas di taman tersebut.
Seramai 300 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan umur menyertai aktiviti tersebut tanpa menghiraukan gigitan nyamuk mahupun kepenatan mencangkul tanah.
Tunjuk ajar
Pada hari itu, mereka yang datang sekeluarga di kawasan berdekatan dengan pintu masuk taman manakala bagi kumpulan yang terdiri daripada orang persendirian atau berkumpulan ditugaskan ke bahagian yang lebih dalam lagi.
Dalam pukul 10 pagi, keluarga ‘Aimran telah menanam sebanyak tiga batang pokok. Semua peserta mendapat tunjuk ajar sebelum dan sepanjang program menanam pokok berlangsung oleh pihak Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB)
Program kali ini menyaksikan semua pokok yang ditanam adalah daripada jenis pokok karas atau nama saintifik, Aquilaria malaccensis yang mampu menghasilkan sejenis herba dipanggil gaharu.
Gaharu telah terbukti mampu menjana ekonomi pada harga yang berpatutan iaitu antara kurang AS$10 (RM31.50) setiap kilogram untuk kualiti paling rendah sehingga lebih AS$30,000 (RM94,650) untuk minyak dan damar yang berkualiti tinggi.
“Tetapi, pokok yang ditanam pada hari ini tidak akan dituai untuk mendapatkan keuntungan. Ia bertujuan untuk pemeliharaan spesies tersebut.
“Menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta mendidik para pengunjung ke Taman Wawasan, Putrajaya mengenai pokok tersebut,” kata Ketua Setiausaha, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datin Paduka Nurmala Abdul Rahim.
Dalam acara tersebut, turut diadakan kaunter yang memperkenalkan kebaikan dan kegunaan pokok karas dalam kehidupan harian.
Pokok karas
Johar Ahmad yang mempunyai sebuah kafe berasaskan minuman daripada pokok tersebut di Kota Damansara berkata, setiap inci pokok karas boleh memberikan hasil kepada manusia.
“Daunnya boleh dibuat teh manakala kayunya boleh dijadikan bahan aromaterapi,” ujarnya yang mengakui bahawa gaharu telah digunakan orang Melayu sejak dahulu lagi.
Selepas sesi tunjuk ajar mengenai kaedah menanam pokok oleh pihak MTIB, acara menanam pokok dirasmikan apabila Nurmala dan Ketua Pegawai Operasi Tesco, Stuart Smith menanam pokok masing-masing sebagai tanda pelancaran acara.
Dalam ucapan perasmian, Smith berkata, pihak mereka meletakkan sasaran untuk menanam sebanyak 500,000 batang pokok untuk tiga tahun akan datang.
“Acara menanam sebanyak 1,000 batang pokok pada hari ini adalah sebagai langkah penting dalam mencapai sasaran tersebut,” katanya.
Selain aktiviti tersebut, pihak Tesco turut membina 17 buah pasar raya yang cekap tenaga dan mengurangkan impak pada persekitaran yang bernilai RM43.3 juta.

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0118&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_02.htm#.UL27YqZD-2Q.gmail#ixzz2E8VZZ1oL 
Hakcipta terpelihara 

Comments (0)

Post a Comment