Pembelian Gaharu/Kayu Racik/Minyak

0

Labels:

Assalamulaikum dan Salam Ramadhan,

Semoga semua sihat sejahtera dalam menjalankan ibadah puasa ini. Banyak cabaran dan dugaan kepada yang menjalankan ibadah berpuasa ini. Perut kosong mendidik kita agar merasai keperitan dan kesusahan yang dialami oleh saudara-saudara seislam yang mungkin sedang dalam kelaparan. Ujian kesabaran. Ujian ketaatan. Di bulan yang mulia inilah kita diuji dengan pelbagai kesulitan yang tentunya jika kita berjaya menghadapinya maka ganjaran yang diberikan juga pasti berlipat kali ganda :)

Ok, berbalik kepada topik kita hari ini iaitu berkenaan dengan pasaran gaharu di Malaysia. Faktor pasaran memang sering menjadi kerunsingan kebanyakkan daripada para pengusaha gaharu. Tidak kira penanam, pengilang, pengeluar produk. Tetapi selalunya yang paling risau ialah orang yang belum menanam pun dan terlalu risau dengan pasaran yang tidak pasti ini. Memang wajar kepada yang terlibat untuk merasa risau apabila memikirkan satu pelaburan yang telah dilaburkan tidak mendatangkan pulangan seperti yang diharapkan. Bisik-bisik tanam gaharu boleh jadi jutawan tinggal kenangan apabila pokok yang sudah besar dengan baik, disuntik dan ditebang akhirnya tiada pembeli. Benarkah akan jadi begitu? Hanya masa yang akan menentukannya.

Senario yang sedang dilalui sekarang  memang terbukti bahawa hasil-hasil gaharu di Malaysia adalah sangat berkurangan bermula dari kayu racik, teras dan juga minyak jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini. Hal ini kerana kebanyakkan hasil yang diperolehi adalah daripada hasil hutan, dengan kekurangan dan undang-undang yang semakin ketat menyebabkan hasil yang diperolehi daripada sumber semulajadi ini menjadi semakin berkurangan. Mungkin dalam masa 3 tahun akan datang, masalah ini dapat dikurangkan dengan sokongan bahan mentah daripada hasil perladangan walaupun ada yang risau akan kualitinya yang mungkin tidak setara dengan kualiti hasil yang diperolehi daripada hutan. Belum cuba belum tahu kan? Tiada yang mustahil yang penting kita sentiasa cuba memperbaiki hasil yang diperoleh daripada perladangan dari masa ke semasa. Doa banyak2 di bulan Ramadhan ini :)




Baiklah, sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, saya ingin membuka peluang kepada para pengusaha, penanam, pengilang, pencari gaharu yang masih tidak mempunyai pasaran agar berhubung dengan Gaharu Lestari Resources untuk perbincangan lanjut. Kami berminat untuk membeli dan mengumpul :-

1) Kayu racik bagi tujuan penyulingan minyak
2) Teras ( sebarang gred diterima)
3) Minyak

Kepada yang berminat boleh berhubung dengan saya melalui email, aminah.mdsaad@gmail.com atau SMS saya.
Taipkan (nama)(lokasi)(kayuracik/teras/minyak) dan hantar ke 0182306585.
Perbincangan secara lanjut akan dilakukan selepas Ramadhan dan akan disusun mengikut lokasi.

Buat masa ini, kami tidak membeli pokok karas yang masih sihat sejahtera, pokok yang sudah disuntik tetapi tidak tahu ada gaharu atau tidak, pokok yang hampir mati kerana suntikan kecuali kayu yang diperolehi boleh digunakan dan dikelaskan sebagai kayu racik.

Saya juga ingin membuat sedikit survey kepada individu/syarikat yang ingin terlibat untuk penanaman gaharu. Anda boleh menjawab dengan hanya SMS seperti dibawah :-

SMS (nama)(lokasi)(jawapan) hantar ke 0182306585
A : Berminat untuk terlibat sebagai penanam tetapi tiada tanah dan kurang modal
B : Berminat untuk terlibat sebagai penanam ada tanah tetapi tiada modal permulaan
C : Berminat untuk terlibat sebagai penanam ada modal tetapi tiada tanah

Jawapan anda mungkin dapat membantu anda untuk terlibat dalam bidang ini kelak. Survey ini diperlukan bagi menjayakan projek GLR yang akan datang. Semoga segala usaha yang dirancang akan membuahkan hasil. InsyaAllah.

Terima kasih.

Yang Menulis,
Aminah Saad
Gaharu Lestari Resources

Faktor Awal Meningkatkan Peratus Kejayaan Ladang Gaharu

0

Labels:

Assalamualaikum dan Salam Ramadhan,

Semoga kita yang sedang menjalani ibadah berpuasa ini dapat menjalaninya dengan penuh kesungguhan. Kepada yang diuji dengan kesakitan akibat berpuasa diharap teruslah bersabar kerana ganjaran besar pasti menanti orang-orang yang bersabar :)

Pada hari ini saya ingin menulis tentang tajuk yang nampak mudah namun amat penting iaitu berkenaan biji benih. Alaaa...boring la tajuk macam ni kan? Saya tahu ramai sangat yang berminat jika saya menulis mengenai pasaran, pulangan kewangan, inokulan yang terbaik dan segala yang dapat terus dikaitkan dengan pulangan RM. Namun saya tetap rasa perkara asas ini sangat penting dalam menyumbang kepada peningkatan hasil dikemudian hari. Dalam kehidupan juga begitu, jika perkara asas dipandang mudah pasti memberikan kesan yang tidak terjangkau dikemudian hari. Ketika itu, apa sahaja usaha yang dilakukan sudah tidak bermakna lagi. Nasi sudah menjadi bubur lambok :)

Walaupun saya memang telah pernah menulis berkenaan hal ini di sini . Pastinya ia suatu perkara yang tidak boleh dipandang sebelah mata kan sebab kini saya menulis lagi mengenainya :)

Pemilihan anak benih yang baik adalah salah satu faktor penting dalam pembangunan ladang. Tidak kiralah ia perladangan gaharu, getah, kelapa sawit atau apa jua jenis tanaman. Tanpa anak benih yang berkualiti pasti tidak dapat menghasilkan pokok yang berkualiti dikemudian hari kelak. Memandangkan perladangan gaharu ini merupakan satu pelaburan wang, masa dan tenaga yang panjang maka pemilihan anak benih yang baik perlulah sentiasa menjadi keutamaan sebelum kita meneruskan penanaman.Walaupun kita telah menyediakan kawasan yang tip top tiada tandingan dan pengurusan perladangan yang terbaik namun jika kita tersalah memilih anak benih hasilnya sudah tentu tidak sama dengan usaha yang dilakukan dengan teliti bagi pemilihan anak benih yang berkualiti. 


Kajian-kajian yang dilakukan diseluruh dunia membuktikan pemilihan anak benih yang baik adalah sangat penting dalam usaha meningkatkan penghasilan pelaburan kita dikemudian hari. Anak benih yang berkualiti dapat tumbuh dengan baik (ditambah dengan kawasan tip top dan pengurusan ladang yang terbaik) seterusnya menghasilkan pulangan yang juga baik apabila proses tuaian dilakukan kelak. Bukan sekadar tangkap muat apa yang ada didepan mata. Asalkan namanya pokok gaharu kita tidak kisah ia berkualiti atau tidak, yang penting orang lain tanam maka saya juga perlu tanam. Tidak cuba mencari ilmu yang berkaitan bidang yang bakal diceburi. Mungkin sudah terlebih duit barangkali maka hasil pelaburan bertahun-tahun tidak kisah ia mendatangkan hasil atau tidak. 


Namun tidak dapat dinafikan, kesalahan begini sering berlaku juga kepada orang yang berusaha mencari ilmu dan membuat penyelidikan bagi mendapatkan kualiti biji benih yang terbaik. Ia perkara normal dalam setiap yang kita lakukan. Kadang kala kita tetap akan tersalah pilih walaupun sudah begitu teliti bukan??

Kepada para pemilik Nursery, marilah kita sama-sama berusaha untuk membekalkan anak-anak benih yang berkualiti kepada para pengusaha yang ingin terlibat dalam bidang ini. Jangan terlalu kejarkan kuantiti sehinggakan kualiti tidak lagi menjadi keutamaan. Saya tahu ia terpulang kepada individu, tetapi saya yakin jika kita sama-sama berganding bahu dalam menghasilkan anak benih yang berkualiti di Malaysia ia pasti akan meningkatkan industri ini ke peringkat yang lebih tinggi.

Tips buat pemilik Nursery 

1. Jika anda mengutip biji benih daripada pokok (secara ladang atau dihutan) pastikan pemilihan anak benih itu daripada banyak sumber induk bagi memastikan diversiti anak benih yang diperolehi kelak. Jika diambil daripada satu induk sahaja berkemungkinan apabila diserang penyakit maka keseluruhan anak benih akan mati secara serentak. Kelak anda boleh membuat pemilihan benih berkualiti daripada sumber yang anda perolehi itu.

2. Jika anda menjalankan teknik tisu kultur bagi menghasikan anak benih, anda perlu memastikan bahawa bahagian yang dipilih bagi tujuan tisu kultur adalah daripada induk yang baik dari segala segi. Daripada segi pokok gaharu, jika kita dapat memperolehi daripada induk yang sudah terbukti menghasilkan gaharu secara semulajadi maka ia adalah lebih baik.

3. Pemilihan anak benih perlulah bersesuaian dengan kawasan yang bakal dihuninya kelak. Sebagai pembekal anak benih, anda perlulah bertanggungjawab memberikan maklumat yang terbaik kepada penanam agar mereka mendapat anak benih yang bersesuaian dengan kawasan yang akan ditanam. Contohnya jika mereka ingin tanam dikawasan tanah pamah (rata) anda janganlah mencadangkan mereka untuk membeli spesis bukit/gunung (cth : hirta) yang sudah semestinya tidak sesuai dengan keadaan tersebut.

4. Pastikan anak benih ini dijaga, disiram dan dibajai mengikut yang sepatutnya. Kualiti anak benih merangkumi tahap kesihatannya, ketinggian, diameter dan nutrisi yang diperolehi daripada peringkat awal. Jadi jangan abaikan penjagaan-penjagaan ini. Bila pembeli ingin membeli anda terus menyemburkan baja daun untuk menjadikan daun segar bugar dan seolah-olah ia sihat. Hanya anda yang mengetahui kebenarannya. Letakkan rasa tanggungjawab, insyaAllah segala yang diperolehi akan lebih diberkati.

5. Pastikan anda meletakkan anak benih didalam polibeg yang bersesuaian. Jika ia semakin membesar tetapi masih dibiarkan didalam polibeg yang kecil sudah tentu ia tidak bersesuaian dengan keadaan tersebut. Walaupun anda mungkin akan berjimat dengan penggunaan polibeg kecil ini (jimat duit dan tenaga untuk menukar polibeg yang lebih besar) tetapi kesannya kelak kepada penanam. Saya rasa lebih baik anda naikkan harga anak benih yang berpolibeg lebih besar daripada ingin mengekalkan harga tetapi memberi kesan kepada pertumbuhan pokok itu kelak. Walaupun pembeli untung RM 2 contohnya sekarang namun ia akan merugikan penanam untuk jangka masa panjang apabila menghadapi masalah seperti akar bergulung.

Alternatif kerana masalah akar bergulung (coiling root) ada 2 iaitu tukarkan anak benih tersebut dengan anak benih lain apabila dikesan ia menghadapi akar bergulung. Yang mana ketika ini penanam akan kerugian 2x ganda iaitu kos membeli anak benih semula, kos menanam dan yang jelas nyata kos masa yang terlibat. Mungkin ketika itu anda sudah rugi 2 tahun. Hmmmm......

Alternatif kedua ialah anda tidak menggantikan anak benih tersebut sebaliknya membiarkan pokok terus hidup walaupun pertumbuhannya adalah super extreme lambat dengan kepercayaan bahawa pokok gaharu memerlukan stress bagi penghasilan gaharu. Mungkin ada benarnya namun saiz pokok yang sepatutnya anda perolehi dalam tempoh 5 tahun sahaja tetapi disebabkan masalah ini anda mungkin perlu menunggu 10 tahun..Jika anda rasa berbaloi memang tidak menjadi kesalahan pun :)

Ohh, saya rasa cukup setakat ini dulu dan saya ingin sambung kerja saya dahulu. Semoga apa yang saya tulis pada hari ini memberi manfaat kepada anda, jika tidak berguna pada hari ini mungkin anda memerlukan info ini dimasa akan datang. Saya akhiri entri saya hari ini dengan ucapan Wassalam.

Ikhlas,
Aminah Saad


*Tiada gambar sebab saya malas nak masukkan gambar

Salam Ramadhan

0

Labels:

Salam Ramadhan buat semua pembaca,

Walaupun agak lewat untuk mengucapkannya, namun saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada semua umat islam. Semoga Ramadhan kali ini adalah yang terbaik yang pernah kita jalani. 


Saya agak jarang mengemaskini blog ini sejak akhir-akhir ini kerana keadaan yang tidak mengizinkan. Semoga Allah memberikan kelapangan dan kemudahan untuk saya terus menulis disini. Saya juga ingin memaklumkan bahawa saya telah menukar no telefon dan kepada yang menyimpan no 0175931120 boleh replace dengan 0182306585. Atau lebih mudah untuk menghubungi melalui email yang insyaAllah tidak akan bertukar kecuali ada masalah-masalah mendatang yang tidak diketahui.