Faktor Awal Meningkatkan Peratus Kejayaan Ladang Gaharu

Labels:

Assalamualaikum dan Salam Ramadhan,

Semoga kita yang sedang menjalani ibadah berpuasa ini dapat menjalaninya dengan penuh kesungguhan. Kepada yang diuji dengan kesakitan akibat berpuasa diharap teruslah bersabar kerana ganjaran besar pasti menanti orang-orang yang bersabar :)

Pada hari ini saya ingin menulis tentang tajuk yang nampak mudah namun amat penting iaitu berkenaan biji benih. Alaaa...boring la tajuk macam ni kan? Saya tahu ramai sangat yang berminat jika saya menulis mengenai pasaran, pulangan kewangan, inokulan yang terbaik dan segala yang dapat terus dikaitkan dengan pulangan RM. Namun saya tetap rasa perkara asas ini sangat penting dalam menyumbang kepada peningkatan hasil dikemudian hari. Dalam kehidupan juga begitu, jika perkara asas dipandang mudah pasti memberikan kesan yang tidak terjangkau dikemudian hari. Ketika itu, apa sahaja usaha yang dilakukan sudah tidak bermakna lagi. Nasi sudah menjadi bubur lambok :)

Walaupun saya memang telah pernah menulis berkenaan hal ini di sini . Pastinya ia suatu perkara yang tidak boleh dipandang sebelah mata kan sebab kini saya menulis lagi mengenainya :)

Pemilihan anak benih yang baik adalah salah satu faktor penting dalam pembangunan ladang. Tidak kiralah ia perladangan gaharu, getah, kelapa sawit atau apa jua jenis tanaman. Tanpa anak benih yang berkualiti pasti tidak dapat menghasilkan pokok yang berkualiti dikemudian hari kelak. Memandangkan perladangan gaharu ini merupakan satu pelaburan wang, masa dan tenaga yang panjang maka pemilihan anak benih yang baik perlulah sentiasa menjadi keutamaan sebelum kita meneruskan penanaman.Walaupun kita telah menyediakan kawasan yang tip top tiada tandingan dan pengurusan perladangan yang terbaik namun jika kita tersalah memilih anak benih hasilnya sudah tentu tidak sama dengan usaha yang dilakukan dengan teliti bagi pemilihan anak benih yang berkualiti. 


Kajian-kajian yang dilakukan diseluruh dunia membuktikan pemilihan anak benih yang baik adalah sangat penting dalam usaha meningkatkan penghasilan pelaburan kita dikemudian hari. Anak benih yang berkualiti dapat tumbuh dengan baik (ditambah dengan kawasan tip top dan pengurusan ladang yang terbaik) seterusnya menghasilkan pulangan yang juga baik apabila proses tuaian dilakukan kelak. Bukan sekadar tangkap muat apa yang ada didepan mata. Asalkan namanya pokok gaharu kita tidak kisah ia berkualiti atau tidak, yang penting orang lain tanam maka saya juga perlu tanam. Tidak cuba mencari ilmu yang berkaitan bidang yang bakal diceburi. Mungkin sudah terlebih duit barangkali maka hasil pelaburan bertahun-tahun tidak kisah ia mendatangkan hasil atau tidak. 


Namun tidak dapat dinafikan, kesalahan begini sering berlaku juga kepada orang yang berusaha mencari ilmu dan membuat penyelidikan bagi mendapatkan kualiti biji benih yang terbaik. Ia perkara normal dalam setiap yang kita lakukan. Kadang kala kita tetap akan tersalah pilih walaupun sudah begitu teliti bukan??

Kepada para pemilik Nursery, marilah kita sama-sama berusaha untuk membekalkan anak-anak benih yang berkualiti kepada para pengusaha yang ingin terlibat dalam bidang ini. Jangan terlalu kejarkan kuantiti sehinggakan kualiti tidak lagi menjadi keutamaan. Saya tahu ia terpulang kepada individu, tetapi saya yakin jika kita sama-sama berganding bahu dalam menghasilkan anak benih yang berkualiti di Malaysia ia pasti akan meningkatkan industri ini ke peringkat yang lebih tinggi.

Tips buat pemilik Nursery 

1. Jika anda mengutip biji benih daripada pokok (secara ladang atau dihutan) pastikan pemilihan anak benih itu daripada banyak sumber induk bagi memastikan diversiti anak benih yang diperolehi kelak. Jika diambil daripada satu induk sahaja berkemungkinan apabila diserang penyakit maka keseluruhan anak benih akan mati secara serentak. Kelak anda boleh membuat pemilihan benih berkualiti daripada sumber yang anda perolehi itu.

2. Jika anda menjalankan teknik tisu kultur bagi menghasikan anak benih, anda perlu memastikan bahawa bahagian yang dipilih bagi tujuan tisu kultur adalah daripada induk yang baik dari segala segi. Daripada segi pokok gaharu, jika kita dapat memperolehi daripada induk yang sudah terbukti menghasilkan gaharu secara semulajadi maka ia adalah lebih baik.

3. Pemilihan anak benih perlulah bersesuaian dengan kawasan yang bakal dihuninya kelak. Sebagai pembekal anak benih, anda perlulah bertanggungjawab memberikan maklumat yang terbaik kepada penanam agar mereka mendapat anak benih yang bersesuaian dengan kawasan yang akan ditanam. Contohnya jika mereka ingin tanam dikawasan tanah pamah (rata) anda janganlah mencadangkan mereka untuk membeli spesis bukit/gunung (cth : hirta) yang sudah semestinya tidak sesuai dengan keadaan tersebut.

4. Pastikan anak benih ini dijaga, disiram dan dibajai mengikut yang sepatutnya. Kualiti anak benih merangkumi tahap kesihatannya, ketinggian, diameter dan nutrisi yang diperolehi daripada peringkat awal. Jadi jangan abaikan penjagaan-penjagaan ini. Bila pembeli ingin membeli anda terus menyemburkan baja daun untuk menjadikan daun segar bugar dan seolah-olah ia sihat. Hanya anda yang mengetahui kebenarannya. Letakkan rasa tanggungjawab, insyaAllah segala yang diperolehi akan lebih diberkati.

5. Pastikan anda meletakkan anak benih didalam polibeg yang bersesuaian. Jika ia semakin membesar tetapi masih dibiarkan didalam polibeg yang kecil sudah tentu ia tidak bersesuaian dengan keadaan tersebut. Walaupun anda mungkin akan berjimat dengan penggunaan polibeg kecil ini (jimat duit dan tenaga untuk menukar polibeg yang lebih besar) tetapi kesannya kelak kepada penanam. Saya rasa lebih baik anda naikkan harga anak benih yang berpolibeg lebih besar daripada ingin mengekalkan harga tetapi memberi kesan kepada pertumbuhan pokok itu kelak. Walaupun pembeli untung RM 2 contohnya sekarang namun ia akan merugikan penanam untuk jangka masa panjang apabila menghadapi masalah seperti akar bergulung.

Alternatif kerana masalah akar bergulung (coiling root) ada 2 iaitu tukarkan anak benih tersebut dengan anak benih lain apabila dikesan ia menghadapi akar bergulung. Yang mana ketika ini penanam akan kerugian 2x ganda iaitu kos membeli anak benih semula, kos menanam dan yang jelas nyata kos masa yang terlibat. Mungkin ketika itu anda sudah rugi 2 tahun. Hmmmm......

Alternatif kedua ialah anda tidak menggantikan anak benih tersebut sebaliknya membiarkan pokok terus hidup walaupun pertumbuhannya adalah super extreme lambat dengan kepercayaan bahawa pokok gaharu memerlukan stress bagi penghasilan gaharu. Mungkin ada benarnya namun saiz pokok yang sepatutnya anda perolehi dalam tempoh 5 tahun sahaja tetapi disebabkan masalah ini anda mungkin perlu menunggu 10 tahun..Jika anda rasa berbaloi memang tidak menjadi kesalahan pun :)

Ohh, saya rasa cukup setakat ini dulu dan saya ingin sambung kerja saya dahulu. Semoga apa yang saya tulis pada hari ini memberi manfaat kepada anda, jika tidak berguna pada hari ini mungkin anda memerlukan info ini dimasa akan datang. Saya akhiri entri saya hari ini dengan ucapan Wassalam.

Ikhlas,
Aminah Saad


*Tiada gambar sebab saya malas nak masukkan gambar

Comments (0)

Post a Comment