Ladang Lenggong & Temoh

0

Labels:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Musim cuti sekolah dah bermula. Pasti ramai yang sedang menghabiskan masa cuti sekolah dengan keluarga tercinta :)

Ambil masa sikit untuk update lawatan ke Lenggong dan Temoh tempoh hari. Tak adalah maklumat penting pun. Sebenarnya saya menulis di sini salah satunya sebagai "diari online" untuk saya tuliskan perjalanan saya dalam bidang gaharu ini. Apa yang boleh diambil sebagai manfaat bolehlah digunakan. Mana yang tidak tinggalkan. Manusia tidak sempurna. Ada kelebihan pasti ada kekurangan :)

Ok, balik dari Kelantan hari tu saya sempat singgah ke Lenggong dan ke Temoh sebelum menghantar adik yang membantu sebagai pemandu untuk trip kali ni. Memang saya sangat tak larat nak drive jauh-jauh. Lagipun kalau saya yang drive dua hari kot baru sampai :P

Jom layan sedikit gambar :)

Lenggong, Perak

Sebelum ke kebun gaharu, kami singgah ke ladang rusa milik sahabat saya, Encik Wafi. Konsep ternakan rusa liar ini merupakan yang terbesar di Malaysia. Kepada yang berminat untuk membeli daging rusa liar bolehlah beli dari sahabat saya ini. Terima kasih kepada Wafi and the geng kerana sudi menerima kehadiran kami.



* Rusa yang terdapat di ladang ini. Nampak orang mesti lari, kena menyorok dulu baru boleh tengok rusa-rusa ini. 


*Pokok gaharu bersama dengan pokok buah-buahan



*Berbaju kurung ke site, memang sangat praktikal :P


Temoh, Perak

Setelah selesai segala urusan di Lenggong, perjalanan bersambung ke kebun gaharu yang terletak di Temoh milik Dr Mahmud. Kawasan dibiarkan agak semak bagi mengelakkan perhatian daripada pihak yang tidak diundang. Terima kasih kepada Doc dan isteri atas kesudian menerima kehadiran kami. Semoga ukhwah yang terjalin berkekalan. InshaAllah :)






Ok, setakat ini dulu perkongsian saya pada hari ini.

Ikhlas,
Aminah Saad

p/s : Pendaftaran ke seminar di Pekan Baru bagi peserta dari Malaysia akan ditutup apabila kuota penuh. Kepada yang berminat untuk menyertai tetapi masih belum membuat pendaftaran harap dapat bertindak dengan segera.

Update Tebang Pokok 21 Mei 2013

8

Labels: ,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua,

Hari jumaat penghulu segala hari. Semoga hari ini mendapat keberkatan yang berlipat kali ganda. Baru tiba di rumah malam tadi selesai perjalanan pulang dari Kelantan dan singgah di beberapa lokasi di Perak. Maaf yang minta datang ke Pulau Pinang dan Kedah kerana masih tidak berkesempatan.

Walaupun agak penat saya ingin update sedikit berkenaan proses penebangan pokok yang dilakukan di Kelantan. Mungkin ramai ternanti-nanti berapa kilo la cik Aminah dapat teras kali ini. Hehe. Pokok yang disuntik adalah pokok liar yang mungkin berusia ratusan tahun. Memang agak liat. GLR menggunakan beberapa jenis ubat suntikan memandangkan sejak awal proses suntikan kita juga masih baru dan mencuba pelbagai jenis suntikan. Saya yakin ramai juga pengusaha gaharu yang telah berhabis untuk mencari formula yang terbaik bagi menghasilkan teras gaharu :)

Sabar ok, just enjoy the process (ayat mengubat hati).


* Team GLR yang terlibat dengan penebangan pokok :)

* Cabangan pokok yang pertama telah ditebang pada hari pertama 


 
* Orang kuat GLR yang sibuk mengangkat kayu. Terima kasih banyak2 kerana bertungkus lumus bekerja :)

* Cik Aminah hanya mampu mengutip habuk kayu. Angkat kayu tak larat :P


* Stok kayu bagi proses penyulingan minyak 

*Penebang pokok profesional. Lilitan pokok 12 kaki. Terima kasih.

* Tunjang Belakang Gaharu Lestari Resources

*Kesan daripada beberapa suntikan menggunakan beberapa jenis inokulan. Banyak faktor yang mempengaruhi pembentukan teras pada pokok gaharu. Namun untuk penyulingan minyak tiada masalah. Masa yang tepat untuk penebangan pokok juga penting bagi memastikan hasil yang dimahukan berkualiti. 

*Sebahagian bongkah kayu yang telah dipindahkan ke dalam stor sebelum proses meracik dan penyulingan di lakukan. 

*Sumber kayu racik daripada penduduk setempat 

* Bakal Production Manager Gaharu Lestari Resources..Haha :)

Ok lah, sampai sini dulu. Update selanjutnya berkenaan dengan lawatan ke ladang gaharu di Lenggong dan Temoh akan saya update nanti. 

Terima kasih kerana membaca.

Salam Jumaat,
Aminah Saad



Bangkok Trip 14-17 May 2013

2

Labels:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Alhamdulilah selamat tiba di KLIA dari Suvarnabhumi Airport jam 9 pagi Jumaat. Kali ini saya rasa sangat penat dan pening kepala walaupun aktiviti tak padat seperti sebelum ini. Memang saya ini jenis yang tak berapa tahan lasak kot, badan tak tahan. Mungkin kekuatan semangat sahaja yang mendorong saya untuk meneruskan sesuatu urusan.

Malam tadi menyambung perbincangan dengan seorang sahabat sehingga jam 2 pagi memandangkan beliau ingin terus ke JB. Banyak urusan yang perlu saya siapkan dengan segera memandangkan pada esok hari (ahad), akan bertolak ke Tanah Merah sehingga khamis bagi menyelesaikan beberapa urusan di sana. Saya berharap semuanya berjalan lancar. Mohon maaf sangat-sangat jika email/sms yang tidak dapat saya balas kerana kekangan waktu. I will try my best.

Ok, sedikit perkongsian gambar dari lawatan ke Bangkok tempoh hari.


* At shopping complex for lunch :)

*Lawatan ke tempat pemprosesan minyak gaharu di Nakhon Nayok.



*Ladang gaharu dengan jarak 1mx1m (memaksimumkan penggunaan tanah)

 
* A very happy and cheerful family. Will be missing them but will met again at Pekan Baru Workshop on 29-30 June 2013

*Nana street 

*Gaharu collection at Nakhon Nayok

*Pokok yang ditebang terlalu rendah dari paras yang sepatutnya ia tidak dapat menghasilkan tunas/pucuk baru. 

Ok, itu saja perkongsian hari ini. Nanti saya update proses penebangan pokok yang akan dilakukan di Kelantan. Mudah-mudahan ada rezeki sinking wood. Amin.

Kenapa ya trip kali ni saya asyik jatuh je? Kat airport saje berapa kali tergolek jatuh. Clumsy sgt kot. Haha. Tapi tak malu sangat sebab tak de orang yang kenal pun. Haha. 


Ok, sekian dari tergolek girl.

Aminah Saad.

Workshop Cara Cepat & Tepat Berkebun Gaharu Emas

0

Labels:

Perhatian kepada semua,


Kepada peserta dari Malaysia yang berminat untuk menyertai sila berhubung dengan saya di talian 018-2306585 atau email aminah.mdsaad@gmail.com. Memandangkan pada 14-17hb ini saya akan ke Bangkok jadi saya lebih prefer anda menghubungi saya melalui email.

Yuran RM 300 termasuk penginapan satu malam. Murah kan? Jadi jangan lepaskan peluang ini. Anda berpeluang bertemu dengan pengusaha2 gaharu dari Indonesia, Malaysia dan Brunei. Jemputan juga ada dari Thailand, UAE dan Singapore.


Rindu geng bas sekolah. InshaAllah berjumpa di Pekan Baru nanti :)


Tahniah buat salah sorang geng bas sekolah, Adi atas pelancaran dan pembukaan gaharu shop di Brunei (Oudh Al-Aswad). Kepada sahabat-sahabat di Brunei, jemputlah singgah kedai beliau di Airport Mall.



Jumpa lagi semua.

Oh lupa, kepada yang tidak berkesempatan untuk hadir ke Workshop di atas anda bolehlah datang ke Seminar Gaharu Anjuran MTIB pada 14,15 Mei ini bertempat di Bangunan PGRM Cheras. Ikutkan perancangan awal saya memang nak hadir ke seminar ini namun kerana ad hoc program ke Bangkok maka saya tidak dapat hadir. Saya yakin Allah aturkan yang terbaik utk kita.

Ikhlas,
Aminah Saad

Pembajaan Pokok Gaharu

1

Labels: ,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua,

Mungkin ada yang masih demam PRU 13. Ada yang gembira dan tak kurang juga yang kecewa. Namun kehidupan perlu diteruskan seperti biasa. Yang bekerja, teruskan bekerja dengan penuh komitmen dan bersungguh-sungguh. Kepada yang berniaga, carilah peluang sebanyak mungkin dan berniagalah dengan jujur. Di harap selepas tempoh 21 hari dari 5 Mei 2013 ini kita redha dengan apa jua keputusan yang telah ditetapkan. Teruskan kehidupan dengan lebih baik. Allah sedang menguji kita :)



Ok berbalik kepada tajuk entri kita pada kali ini ialah berkenaan dengan pembajaan pokok gaharu. Pembajaan merupakan satu aspek yang penting dalam pembangunan ladang gaharu. Penggunaan baja secara tepat dan bijak dalam pengurusan perladangan dapat memberikan pulangan yang baik (hasil yang baik, kos yang rendah). Ada beberapa persoalan yang perlu kita tanyakan dalam aspek pembajaan ini iaitu :-

1) Kenapakah kita perlu menggunakan baja?

Penggunaan baja adalah penting kepada pertumbuhan pokok. Tidak kira pokok apa pun, penggunaan baja dapat membantu pertumbuhan pokok dengan lebih baik. Bagaimana baja dapat membantu pertumbuhan? Sifat tanah merupakan antara faktor yang sangat berkait rapat dengan pembajaan. Baja dapat menambah nutrien dan elemen yang diperlukan kepada pokok apabila tanah tersebut tidak dapat memberikan nutrien yang diperlukan.

Namun begitu, sebagai petani kecil kita jarang mengambil berat terhadap hal ini. Dan bagi saya, selagi baja yang digunakan memberikan kesan yang baik kepada pertumbuhan pokok gaharu tersebut, jadi anda tidak perlu risau. Dan belilah baja yang tidak terlalu mahal. Kerana ia akan mengurangkan kos pengurusan ladang yang saya amat faham bukan sedikit jumlahnya. Namun begitu dalam keadaan tertentu contohnya penggunaan baja yang mahal dapat menghasilkan buah yang baik dan dapat meningkatkan kualiti buah dan harganya.Walaupun harga baja tersebut mahal namun ia memberikan hasil yang terbaik maka ia adalah satu pilihan yang bijak. Contohnya pokok kelapa sawit.

Dalam konsep penanaman gaharu, ia terlalu subjektif. Kerana kita bukan hanya mengharapkan pertumbuhan pokok bersaiz besar (kerana ia tidak dijual sebagai log seperti kayu balak) dan tidak juga mengharapkan penghasilan buah seperti kelapa sawit dan juga tidak mengharapkan kepada penghasilan getah yang banyak seperti getah. Penggunaan baja kepada pokok gaharu masih dalam kajian terhadap kesan kepada pembentukan gaharu. Ada pihak yang mendakwa penggunaan baja "A" dapat membantu dalam pembentukan gaharu kelak, alhamdulilah ia satu perkembangan yang sihat dan perlu dikembangkan dengan lebih meluas. Tapi saya berharap suatu hari nanti satu pembangunan baja yang diformulasi sekali dengan inokulan dapat dihasilkan. Jadi kita tidak perlu lagi menyuntik pokok tersebut. Proses pembentukan bermula sedari awal kita memulakan proses pembajaan dan ia dapat mengurangkan kos suntikan inokulan kelak.


2) Apakah jenis baja yang perlu digunakan?

Seperti yang saya maklumkan pada soalan pertama tadi, anda boleh menggunakan apa jua jenis baja. Saya tidak mahu meletakkan satu jawapan yang rigid menyebabkan anda terlalu terikat untuk menggunakan baja jenis tertentu. Saya hanya menggunakan NPK pada peringkat awal dan kemudian menggunakan baja organik. Kepada anda yang menjalankan kajian baja terhadap pertumbuhan pokok gaharu, harap dapat berkongsi dengan penanam yang lain. Mungkin dapat membantu mereka.

Jika anda dapat menjalankan analisis tanah dan mengenalpasti kekurangan nutrien tertentu maka anda bolehlah memilih baja yang lebih bersesuaian dengan kawasan anda. Penggunaan baja menyebabkan beberapa situasi :-

i )Secukup rasa (macam masak-masak pulak) - penggunaan baja adalah bersesuaian dengan keperluan pokok yang ditanam

ii) Terlebih baja - pokok menerima baja yang terlalu banyak. Ia mungkin memberikan kesan yang tidak baik kepada pokok selain ia meningkatkan kos pengurusan perladangan. Baja yang berlebihan mungkin mengalir keluar ke tempat lain dan menyebabkan kerugian.

iii) Terkurang baja - Jika pokok anda menerima kurang baja dan kekurangan nutrien yang diperlukan bagi pertumbuhan maka mungkin akan mengganggu pertumbuhan pokok. Mungkin ada yang mati dan memberi kesan kepada jumlah produktiviti hasil kelak.

iv) Tidak seimbang - ini juga berlaku apabila jumlah nutrien yang diperlukan tidak seimbang. Contohnya, pokok memerlukan sumber N yang tinggi dan tanah sudah memiliki elemen N yang tinggi. Bila membaja kita juga memilih baja dengan elemen N yang tinggi menyebabkan keperluan adalah tidak seimbang. Jika kita membuat tanaman integrasi adalah penting juga kita perlu mengenalpasti keperluan setiap pokok yang ditanam.

3) Bilakah masa yang sesuai untuk pembajaan?

Anda bolehlah membuat pembajaan 3 kali setahun tetapi masih bergantung kepada jenis baja yang anda gunakan. Baja organik digunakan dalam kuantiti yang lebih banyak namun dengan kekerapan yang kurang kerana ia memberikan kesan yang lebih lambat berbanding baja tidak organik. Selain itu, masa yang terbaik untuk menjalankan pembajaan ialah selepas hujan. Ini bagi mengelakkan air hujan membawa baja yang telah diaplikasikan kepada pokok mengalir ke tempat lain.

4) Bagaimanakah kaedah yang terbaik pembajaan?

Saya pernah tulis kaedah pembajaan disini  Boleh rujuk semula ya :)


Ok rasanya setakat ini dulu tulisan pada hari ini. Yang baik boleh dijadikan rujukan, jika ada tersalah tulis mohon dibetulkan dan dikongsikan dengan yang lain. Saya sentiasa terbuka untuk menerima teguran. Semoga kita dapat mempelajari sesuatu pada hari ini.

Wassalam.

Aminah Saad


Berapa harga bagi sebatang Pokok Gaharu?

74

Labels:

Assalamualaikum dan Selamat Pagi buat semua,

Hari yang  sangat ceria dan pastikan anda sarapan dulu sebelum melakukan aktiviti hari ini. Eh macam promosi iklan milo yang suruh orang sarapan tu je. Hehe. Bukan apa, hari yang dimulai dengan baik, inshaAllah memberikan kesan yang baik sehingga ke penghujung hari. Jika pagi-pagi dah muka monyok dan marah-marah pasti hari anda pun menjadi tidak indah lagi. Mendung :)

Ok, berbalik kepada topik hari ini, ramai yang menghubungi saya untuk bertanyakan harga bagi sebatang pokok gaharu.Tidak kira yang ladang atau yang tumbuh liar. Soalan ini agak subjektif dan susah untuk dijawab, jika anda betul-betul memahami keadaan sebenar pembentukan gaharu, anda akan faham kenapa saya katakan begitu. Namun tidak dinafikan, terdapat satu anggaran umum yang diberikan pada setiap sebatang pokok gaharu yang telah disuntik. Ini sebagai satu guideline untuk kita menganggarkan berapakan pulangan pelaburan yang telah laburkan.

Terdapat beberapa kaedah saya lihat orang menjual pokok gaharu :-

1) Pokok gaharu yang belum disuntik (Perladangan)

Contohnya pokok berusia 5 tahun dengan harga RM 500 sepokok. Ini bagi memberi peluang kepada sesiapa yang berminat untuk terlibat dengan industri gaharu dan tidak mahu menunggu masa yang panjang untuk menuai hasil. Beliau dapat menjimatkan masa beliau sebanyak 5 tahun walaupun mungkin beliau terpaksa bayar lebih bagi memiliki sebatang pokok gaharu ini. Selepas memiliki pokok ini, pihak pembeli akan diberikan tempoh untuk mengusahakan bagi menghasilkan teras bergantung kepada perjanjian yang ditandatangani dengan pihak penjual. Yang pasti bagi mengelakkan penipuan, pembeli perlu mengambil langkah berhati-hati dengan mengkaji latar belakang penjual, melihat kawasan tanaman, jika melibatkan pembelian dalam jumlah yang banyak penglibatan peguam bagi perjanjian adalah sangat penting.

Namun begitu, saya tidak salahkan anda untuk meletakkan harga yang mahal untuk usaha yang telah anda curahkan namun begitu sedikit sebanyak ia memberikan kesan kepada industri gaharu kita. Ambillah satu pertimbangan sewajarnya bagi setiap keputusan yang kita lakukan.



Dan untuk pengetahuan semua, saya bukanlah pembeli pokok-pokok ini. Saya hanya membantu anda yang ingin menjual pokok ini dengan buyer yang mencari pokok. Buyer akan datang melihat pokok anda, dan jika bersetuju anda boleh berbincang lebih lanjut berkenaan terma dan syarat anda. Walaupun kita sudah ada terma dan syarat secara umum, namun begitu pihak pembeli dan penjual mungkin ada tambahan syarat-syarat lain. Saya tidak memberikan satu kepastian untuk urusan jual beli ini kerana penjual dan pembeli mempunyai kriteria-kriteria tertentu yang mereka mahukan yang kadang kala tidak match.

2) Pokok gaharu yang belum disuntik (Liar)

Kaedah penentuan harga bagi pokok liar yang belum disuntik juga berbeza. Ini kerana bagi pokok perladangan harga adalah diambilkira dari segi usaha penanam dan kos-kos yang terlibat sepanjang tempoh diusahakan. Walaupun pokok liar adalah lebih besar, tetapi harganya tidaklah sampai mencecah puluhan ribu kerana dikira berdasarkan saiznya. Ya, harga pokok liar pasti lebih mahal daripada pokok ladang namun begitu penjual tidak boleh meletakkan harga daripada anggaran hasil yang akan diperolehi.

Contohnya, hasil yang akan diperolehi bagi sebatang pokok liar ialah RM 20,000. Bersandarkan kepada nilai ini, penjual telah meletakkan harga RM 12,000 bagi pokok liar yang belum disuntik. Ini adalah satu nilaian yang tidak logik. Kenapa saya katakan begitu, hal ini kerana pihak pembeli masih menghadapi risiko-risiko lain dan juga harus mengeluarkan tambahan modal bagi proses suntikan. Dan pembeli juga harus menunggu mungkin sehingga 2 tahun bagi tujuan pembentukan teras.Dan risiko ditanggung oleh pembeli 100% jika tiada teras yang terbentuk.

Lawatan ke Kuala Kangsar beberapa bulan lepas


3) Pokok gaharu yang telah disuntik (Ladang/Liar)

Ini juga menjadi satu pertanyaan ramai pihak. Pokok yang telah disuntik hendak dijual pada suatu harga yang tidak munasabah. Jika anda meyakini bahawa pokok yang disuntik itu memberikan pulangan yang tinggi, jadi kenapa hanya tidak anda yang mengambil risiko dengan menebang pokok tersebut. Teras dan kayu minyak yang terhasil diasingkan untuk dijual. Pihak pembeli tidak tahu berkenaan inokulan yang digunakan, jika pokok mati disebabkan inokulan yang digunakan maka pembeli akan menanggung kerugian.

Ok, saya berharap para penjual dan pembeli yang berkaitan pokok ini buatlah kajian sedikit mengenai keadaan industri gaharu ini. Walaupun harga gaharu terkenal mahal, namun gaharu jenis yang bagaimanakah yang boleh mencapai harga setinggi itu? Jangan mencari jalan mudah sahaja sehingga hilang kepercayaan orang kepada kita. Ok lah, saya rasa setakat ini dulu coretan saya pada hari ini.

Jika anda tidak bersetuju sila kemukakan pandangan dan idea anda? Apa yang saya tuliskan tidak semestinya betul, jadi jika kita boleh berbincang di blog ini. Saya selalu membebel sorang-sorang, boring. Haha.

Sebelum terlupa, marilah ramai-ramai kita memeriahkan program yang akan dijalankan di Pekan Baru 29-30 Jun 2013 akan datang ini. Boleh email saya untuk maklumat lanjut.


Sekian, Wassalam.


Yang banyak membebel,
Aminah Saad

Industri Gaharu di Malaysia

0

Labels:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua,

Semoga dalam keadaan sihat sejahtera tambahan untuk mengundi pada hari Ahad ini. Ini merupakan kali pertama saya akan mengundi. Agak excited jugak tambahan dengan keadaan PRU 13 yang agak panas kali ini. Atau mungkin sebelum ini saya kurang mengambil tahu hal berkaitan politik jadi tidak terasa bahangnya. Namun kali ini, disebabkan bakal terlibat sama dengan proses pengundian maka saya mula mengambil tahu dan membuat kajiselidik tentang siapakah yang bakal saya undi pada 5 Mei 2013 ini (tak boleh cerita panjang-panjang, undi adalah rahsia..hehe)

Ok, walau apa pun keputusannya segala aktiviti dan perancangan perlu diteruskan seperti biasa. Walau siapa pun yang menang, saya berdoa semoga ianya dapat memberikan kebaikan kepada seluruh rakyat dan sudah semestinya dapat memberikan sokongan kepada industri gaharu di Malaysia.

Sokongan yang padu dan menyeluruh daripada pihak kerajaan kepada industri gaharu akan membantu untuk kita pergi lebih jauh. Saya amat yakin tanpa satu gabungan yang kuat dan mantap kita tidak dapat pergi jauh dalam bidang ini. Kita perlukan gabungan kerajaan, agensi, universiti, pengusaha (individu atau syarikat) dan persatuan untuk sama-sama menerajui industri gaharu ini. Kadang kala dengan beberapa kesukaran urusan yang melibatkan pihak-pihak tertentu, ia menyebabkan industri gaharu kita kekal ditakuk yang lama sedangkan Negara jiran kita semakin pantas mengorak langkah. Janganlah kita berfikir untuk kepentingan individu sahaja kerana kita sendiri yang akan rugi.

Saya tidak menafikan kehebatan penyelidik-penyelidik di Malaysia yang sangat hebat dalam membuat pelbagai kajian berkaitan dengan gaharu. Saya juga tidak menafikan kewujudan pengusaha-pengusaha hebat yang memperjuangkan gaharu sejak berpuluh tahun yang lalu. Agensi kerajaan yang banyak memberikan sokongan dan maklumat kepada pengusaha. Namun mungkin kita terlepas pandang kepada suatu perkara yang penting iaitu "Kerjasama dan Persefahaman". Masing-masing hebat menyebabkan masing-masing terlupa tentang kehebatan orang lain.

Dalam Seminar Kebangsaan Gaharu lepas yang diadakan di Technology Park Malaysia, kita ada membincangkan tentang usaha bagi mewujudkan Lembaga Gaharu Malaysia yang dapat memberikan fokus kepada pembangunan industri gaharu di Malaysia. Dengan pengkhususan seperti ini akan memberikan lebih masa dan perhatian kepada industri gaharu. Industri gaharu adalah industri yang sangat berpotensi untuk dikembangkan dan mempunyai nilai yang tinggi. Semoga usaha demi usaha akan diberikan hasil yang membanggakan.



Jika suatu masa dahulu, industri getah dan kelapa sawit juga menghadapi kesukaran yang sama maka setiap individu yang terlibat dalam gaharu jangan mudah mengalah. Teruskan usaha anda !!

InshaAllah selepas pilihanraya ini, pihak Gaharu Lestari Resources akan bekerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia bagi menggunakan alat autoclaw yang digunakan bagi mengesan pembentukan gaharu pada pokok karas. Disebabkan ia masih diperingkat kajian, maka GLR juga berhasrat dapat menyumbang sesuatu kepada kajian ini. Kami akan menebang pokok yang telah disuntik empat tahun lepas. Jadi sebelum proses tebangan dilakukan, maka data akan diambil terlebih dahulu bagi menguji alat tersebut. Saya yakin suatu hari nanti, ia akan berkembang menjadi satu alat yang mampu memberikan manfaat kepada pengusaha gaharu di Malaysia khasnya.

Saya sudah pernah kongsikan banyak kali berkenaan pokok ini. Dah tak lama lagi pokok ini akan ditebang. Mudah-mudahan berhasil :)


Selain itu, kita juga meminta bantuan pihak FRIM bagi membantu kita dalam beberapa hal berkaitan dengan masalah pereputan kayu karas bagi tujuan ukiran. Perbincangan lanjut juga sedang dilakukan dengan Institut Kraf Negara. Ia penting bagi merealisasikan beberapa projek yang sedang kita rancangkan. Kita berharap dengan usaha-usaha ini dapat memberikan kebaikan kepada industri gaharu di Malaysia.

Saya berharap semua individu dalam industri dapat bergabung dan bersatu hati. Industri kita tidaklah besar mana, jumpa orang yang sama je. Tak payah bergaduh kerana industri gaharu ini cukup untuk setiap orang menikmatinya.


Nyum..nyum...sapa nak??

InshaAllah beberapa produk daripada Gaharu Lestari juga akan dikeluarkan tidak lama lagi. Walaupun proses yang agak lama namun saya sangat gembira. Pasti ada hikmah disebalik semuanya. Ia merupakan satu proses pembelajaran yang tidak diajar di universiti dan tidak boleh dibeli di 7e :P

Ok, setakat ini dulu coretan dimalam hari sambil cari mood untuk study. Best duduk dirumah sambil study ada orang buatkan air dan sediakan kuih..Hehe.

Ikhlas,
Aminah Saad


MAKLUMAN

1) Kursus Gaharu Anjuran MTIB pada 14 Mei 2013 di PGRM, Cheras. Kursus 2 hari hanya RM50.
2) Kursus Cara Cepat dan Tepat berkebun Emas Gaharu di Pekan Baru, Indonesia Kursus 2 hari 950ribu rupiah ALL IN.