Minyak Gaharu Beri Hasil Lumayan

Labels:

PEKAN, MALAYSIA: Perusahaan menghasilkan minyak daripada pokok gaharu atau karas (Aquilaris Malascenses) yang digunakan untuk membuat pewangi sebelum ini, ternyata begitu asing bagi penduduk negara ini.

Bagaimanapun, perusahaan itu kini mula bercambah walaupun tidak terlalu menyerlah kerana kesukaran mendapatkan bahan utama iaitu teras pokok karas yang dijual antara RM1,000 hingga RM18,000 sekilogram.

Teras pokok karas berwarna hitam hanya diperoleh daripada pokok matang dan proses mengambilnya memerlukan kepakaran yang boleh dilakukan oleh individu terlatih saja.

Menyedari pulangan lumayan daripada perusahaan itu, Sarina Hussem, 27, dan suaminya, Sakree Salaemae, 39, mengusahakan pengeluaran minyak karas sejak 12 tahun lalu.

Sarina yang mempunyai dua kilang memproses minyak gaharu iaitu di Pekan, Pahang dan Kemboja berkata, kilangnya di Malaysia mampu mengeluarkan kira-kira 10 kilogram minyak gaharu gred A, sebulan.

“Untuk menghasilkan minyak, teras gaharu perlu diracik dan dihancurkan menggunakan mesin sebelum diperam selama seminggu.

“Habuk kayu yang diperam kemudian diasingkan sebelum diwapkan selama seminggu sehingga mengeluarkan minyak,” katanya.

Beliau berkata, warna minyak yang dihasilkan bergantung kepada kualiti kayu gaharu yang diperoleh, warna hitam adalah yang terbaik berbanding jernih kekuningan.

Sarina berkata, beliau menggunakan tiga pekerja untuk menguruskan dan melakukan semua proses di kilangnya dan minyak yang dihasilkan akan dihantar ke pejabatnya di Kuala Lumpur.

"Sehingga kini permintaan terhadap minyak gaharu yang dihasilkan mendapat permintaan menggalakkan daripada pengeluar minyak wangi di Arab Saudi, Dubai, Qatar, Bahrin dan Kuwait.

"Saya hanya mampu mengeluarkan kira-kira 10 kilogram sebulan minyak gaharu gred A yang dijual pada harga RM350 bagi 12 gram atau tola istilah digunakan peniaga Arab Saudi," katanya.

Katanya, permintaan minyak gaharu begitu menggalakkan, tetapi pihaknya tidak dapat memenuhi berikutan bekalan kayu gaharu yang terhad.

Petikan dari akhbar berita harian, 8 Jun 2009.

Comments (0)

Post a Comment