Jom Jadi Kaya

Labels:

Definisi kaya berbeza bagi setiap orang. Ada yang menganggap punya wang RM100,000 sudah kaya. Ada yang menganggap punya RM1juta masih tidak lagi kaya. Terpulanglah kepada masing-masing untuk memberi takrifan.

“Wah, kayalah kau nanti kalau sudah tuai hasil gaharu”

“Sudahlah jangan nak berangan tanam gaharu boleh jadi jutawan”

“Nanti dah jadi jutawan jangan lupa tolong aku pulak..Hahahaha”

Bak kata Azizi Ali, jutawan itu seolah-olah dari planet jupiter. Nampak begitu mustahil untuk dicapai. Sukar untuk orang percaya orang biasa-biasa boleh menjadi jutawan. Namun telah terbukti begitu ramai orang biasa-biasa yang menjadi jutawan. Satu kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat menunjukkan 90% billionaire disana merupakan generasi pertama. Iya, mereka bukan dilahirkan dengan kemewahan malahan ada yang hidup lebih melarat dari kita yang biasa-biasa.

Jika kita berusaha dengan bersungguh-sungguh, insyaAllah kejayaan pasti milik kita. Namun kesabaran perlu digarap bersama kerana tanpa sabar kita akan terasa lamanya untuk mencapai kejayaan dan kekayaan.

Jika anda sering dihujani dengan kata-kata perli sebegini, jangan risau kerana itu menunjukkan anda sedang dalam perjalanan untuk berjaya.  Yang berkata-kata itu jika berterusan sikap begitu, lagi sepuluh tahun dia masih ditakuk yang lama. Anda walau dari sudut mana pun pasti lebih lagi pengalaman darinya. Lebih sabar, lebih yakin diri, lebih percaya kepada rezeki. Itukan menunjukkan anda lebih berjaya dari yang mengata.

Kerana takut gagal, orang sanggup tunggu dan lihat kejayaan orang lain.

“Kau buktikanlah dulu projek ni boleh jadi kaya baru aku buat jugak”

Kata-kata sebegini hanya keluar dari mulut orang yang tiada semangat dan kepercayaan dalam diri. Ingatlah hanya 20% orang yang betul-betul berjaya dalam setiap bidang yang ada didunia ini. Dan 80% kekayaan didunia ini dimiliki oleh 20% orang yang berjaya tersebut. Mereka ialah orang yang sanggup bermula dahulu, bersusah payah, dan tahan telinga mendengar kutukan orang lain. Jadi jika ingin menjadi yang 20% tersebut maka mulakanlah sekarang apa jua impian anda/idea perniagaan anda.

Idea jika disimpan akan terus menjadi idea.
Walaupun ia idea yang baik namun tetap tidak dapat menandingan idea teruk yang dilaksanakan.

Saya tidak pernah memberikan satu harapan bahawa tanamlah 1000 pokok gaharu pada hari ini, dan 7 tahun lagi anda akan berpeluang menjadi seorang jutawan. Pada saya, lakukan apa sahaja yang anda lakukan sekarang ini dengan bersungguh-sungguh, sabar, yakin, tidak berputus asa dan insyaAllah anda pasti mampu menjadi kaya juga.

Kaya dengan pengalaman.
Kaya dengan kesabaran.
Kaya dengan keyakinan.
Kaya dengan pengharapan kepada Yang Esa.

Bukan hanya duit menjadi ukuran kekayaan. Jika kita menjadi kaya dengan perkara-perkara diatas, apabila Allah uji dengan mengambil harta material yang kita miliki maka kita mampu untuk bangun berkali ganda dari sebelumnya kerana kita telah kaya dengan sikap-sikap seorang usahawan.

Walaupun berusaha dengan gigih, Allah berkuasa untuk menjadikan usaha kita sebaliknya. Setelah 7tahun menanti dengan pelaburan yang tinggi tahun ke tahun,

Ladang gaharu kita ditimpa musibah banjir. Adakah kita masih mampu bertahan?

Pokok gaharu kita mati secara serentak kerana diserang sejenis serangga yang tidak diketahui. Mampukah kita bersabar?

Pokok yang  telah kita suntik dicuri orang tanpa dapat dikesan. Masihkan kita percaya pada rezeki yang Allah aturkan?

Jadilah orang yang kaya budi pekertinya apabila berhadapan dengan ujian Allah. Sabar dan terima dengan redha segala yang telah ditentukan.

“Allah turunkan hujan ditengahri rupanya ingin menghadiahkan kita pelangi”

Akhir kalam,
Jom Jadi Kaya


Ikhlas,
Aminah Saad

Comments (0)

Post a Comment