Assalamualaikum dan Salam Jumaat buat semua,
Semoga anda semua dalam keadaan sihat sejahtera. Gembira dengan hidup yang dijalani. Dan jauh dari keserabutan. Adatlah dalam kehidupan berbagai cabaran dan dugaan datang melanda tetapi walau sesukar manapun permasalahan tersebut, semoga kita berjaya menghadapinya dengan penuh ketabahan.
Sejak akhir-akhir ini, saya pun sebenarnya agak serabut dengan pelbagai perkara yang perlu diuruskan. Tapi Alhamdulilah semuanya berjaya di atasi dengan baik (walaupun tidaklah pada tahap yang terbaik). Pengalaman setiap orang itu berbeza, dan daripada pengalaman hidup seseorang itulah yang mengajar kita bagaimana mendepani sesuatu masalah. Walaupun umur sama, tidak semestinya si A dapat menghadapi permasalahan yang sama dengan si B. Sesuatu yang kita anggap masalah belum tentu menjadi masalah kepada orang lain. Jadi kita perlulah berfikiran positif dan matang, bahawa setiap permasalahan pasti ada penyelesaian. Bukan kita orang pertama yang menghadapinya :)
Walaupun sangat penat tetapi saya sangat-sangat menghargai segala apa yang saya miliki sekarang. belum mencapai pada satu tahap yang kita mahukan, cubalah kita bersyukur dengan segala apa yang kita miliki. Jika kita lihat apa yang kita tiada, pasti kita tidak mempunyai apa-apa. Sebaliknya lihatlah pada apa yang kita miliki, ya kita sudah memiliki segala-galanya. Alhamdulilah syukur :)
Walaupun saya dalam bidang gaharu, namun saya juga punya minat dalam bidang lain. Iyelah, waktu kecil macam-macam impian yang ingin dicapai (gaharu tiada dalam list impian waktu kecil..Hehe). Jadi kadang kala apabila teringat kembali impian2 waktu kecil saya, saya selalu memikirkan bagaimana untuk menjadikan ia sebagai realiti. Kebanyakkan saya fikirkan dalam bentuk perniagaan. Idea banyak (rasanya semua orang pun begitu). Walaupun saya tak adalah nak buat semua perkara tersebut, tetapi saya suka tuliskan dalam buku "DREAM" saya (mana tau satu hari nanti boleh buat kan?) dan juga ceritakan pada mak. Mesti mak dah penat mendengar macam-macam idea dari anak dia ni. Haha.
Suatu hari tu mak ada juga cakap yang saya ni tak fokus. Semua benda nak buat. Haha. Memang betul pun cakap mak tu. Tapi saya memang dah macam itu. Mungkin suatu hari nanti saya akan berubah. Walaupun saya sedar ia adalah kelemahan diri namun saya tetap berfikir secara positif. Formula A mungkin berkesan pada si A tetapi mungkin tidak sama dengan si B. Jadi sangat anggap saya sedang membina formula saya sendiri. Jadi jika ia tidak sama dengan kebiasaan saya perlulah bersabar. Kan sekarang orang bukan setakat "think outside the box" tetapi dah bertukar "think without the box". Dunia tanpa sempadan la katakan.
Saya jawab pada mak, sekarang saya sedang membina dusun buah-buahan. Jadi saya kena tanam pelbagai jenis buah-buahan. Ada durian, ada rambutan, ada manggis, ada anggur, epal dan berbagai-bagai jenis lagi. Sekarang saya perlu bersabar sebab saya baru menanam. Memang penat, semua pokok nak di baja dan dijaga. Saya juga perlu sabar sebab saya pun tak tahu pokok mana yang akhirnya akan menghasilkan buah yang sedap, manis dan lebat. Tapi saya perlu berusaha agar semua pokok-pokok ini berhasil suatu hari nanti. Saya yakin ia akan menghasilkan buah tetapi saya tak tahu pokok mana yang paling lebat boleh menghasilkan buah. Dan saya perlu buat persedian supaya, apabila durian tidak berbuah, saya masih boleh lepak2 dalam kebun makan buah lain. Mungkin makan manggis yang sedang masak ranum. Jadi sepanjang tahun saya boleh menikmati hasil buah-buahan saya. Mungkin ada juga tanaman sayur sedikit untuk keperluan harian.Biarlah berpenat-penat sekarang.
Dan dusun buah tersebut bukan untuk saya seorang. Untuk dinikmati semua. Iya, untuk semua. Andai kata saya telah tiada nanti, saya berharap ia masih memberikan manfaat kepada orang-orang disekitarnya. Paling tidak ia menyumbangkan oksigen kepada manusia.
Apa yang anda tanam sekarang??Iahanyalah simbolik. Bukan bermakna anda kena menanam pokok. Tetapi apa yang anda lakukan sekarang untuk hari mendatang. Mungkin pada suatu masa di saat kita pun sudah tidak mampu bekerja. InshaAllah, masing-masing ada perancangan masing-masing. Semoga apa yang kita usahakan membuahkan hasil suatu hari nanti.
Jika anda menanam nangka, janganlah berharap pokok tersebut menghasilkan durian :)
Ok, saya undur diri dulu.
Petani Dusun,
Aminah Saad