Selamat Hari Raya AidilFitri

Labels:

Assalamualaikum dan Salam Lebaran buat semua yang meraikannya. 1 Syawal merupakan tanda kemenangan bagi umat islam setelah sebulan kita berpuasa. Menjauhi daripada perkara-perkara yang dilarang dan memperbanyakkan amalan untuk saham di akhirat. Alhamdulilah syukur Ya Rab. Walaupun dah raya ke 7 namun sebenarnya saya dah menulis entri ini sejak raya pertama lagi. Teruk kan dah raya ke berapa baru nak ucapkan selamat hari raya buat semua. Hehe.

Aidilfitri kali ini banyak mengingatkan saya kembali ke masa lampau. Banyak memori yang masih segar dalam ingatan dan tak mungkin untuk melupakannya. Kesusahan yang dilalui suatu ketika dulu menjadi kenangan terindah untuk diingati. Ya, semuanya sudah berlalu namun saya tetap mengingatinya.

Teringat ketika emak masih mengambil tempahan baju, keadaan selalu kelam kabut apabila ada tempahan yang tidak sempat siap. Memang setiap tahun ada je yang tak siap. Hehe. Orang silih berganti datang di pagi raya untuk mengambil baju atau kuih raya. Untuk persiapan raya keluarga sendiri memang ala kadar apa adanya. Dan kami adik beradik pun seolah-olah telah terbiasa tidak sesibuk keluarga lain menyediakan pelbagai juadah raya. Kuih muih juga apa yang dibuat untuk jual, emak pasti buatkan lebih untuk kuih raya sendiri. Memang kadang-kala sampai sudah tak lalu nak makan kuih didepan mata kerana dari kecil itulah kuih yang ada. Adik beradik pula masing-masing belum punya pendapatan sendiri jadi segala perbelanjaan tergalas di bahu emak. Kesian emak. Hari raya pun masih bertungkus lumus menyiapkan tempahan. Mungkin pada emak tiada istilah raya. Yang penting mencari sumber pendapatan untuk keluarga.

Baju raya kami adik beradik pun selalu tidak siap. Kadang kala tengkuk baju kurung tidak dijahit kerana tidak sempat. Tapi kerana pakai tudung OKlah kan. Saya walaupun hari2 lihat mak menjahit namun tetap tak pandai menjahit sampai sekarang. Waktu kanak-kanak, saat yang paling menggembirakan ialah apabila mendapat baju baru. Gembira bukan kepalang. Kerana jarang-jarang dapat baju baru. Mungkin setahun sekali. Saya dari keluarga yang susah. Adik beradik ramai. Arwah ayah hanya bekerja sebagai peneroka. Emak pula mengambil tempahan menjahit dan membuat kuih. Tapi alhamdulilah, semuanya mampu diatasi dengan baik kerana Allah menguji hambanya pada suatu tahap yang mampu dihadapi oleh hambanya. Kadang kala tidak semestinya kesenangan dari segi material menjadikan kita lebih bahagia, hidup dengan penuh kasih sayang adalah kebahagian yang tidak dapat dijual beli.

Saya ketika berusia 6 tahun sudah puasa penuh. Kawan-kawan selalu bercerita berkenaan dengan duit raya atau ganjaran yang diperolehi apabila mereka berpuasa penuh. Tapi saya hairan ayah tak pernah pula menawarkan apa-apa jika kami adik beradik berpuasa penuh. Walaupun kurang faham, tetapi masing-masing tidak pula menyuarakan kepada ayah. Redha barangkali. Sekali sekala apabila ada kelebihan ayah berikan kami duit raya, duit syiling sahaja tetapi cukup bermakna. Betapa tingginya rasa syukur ketika itu. Ujian melalui kesusahan selalu menjadikan kita orang yang lebih bersyukur. Menghargai setiap yang diperolehi dengan penuh keikhlasan.

Saya juga teringat apabila orang sibuk bermain mercun atau bunga api, kami memang teringin sangat berbuat begitu. Tapi untuk meminta ayah belikan memang tidaklah. Kami selalu tumpang-tumpang ke rumah jiran paling tidak melihat mereka bermain bunga api. Seronoknya. Perasaan yang tidak dapat dijelaskan. Tapi kini, mercun dan bunga api tidak lagi menampaknya kegembiraan apabila sering dikaitkan dengan perkara-perkara yang tidak baik. Tangan putus, rumah terbakar dan bermacam-macam lagi. Kini, sudah 7 tahun arwah ayah tiada bersama. Semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Dikesempatan ini saya ingin mengucapakan Selamat Hari Raya AidilFitri. Maaf Zahir dan Batin buat semua. Semoga syawal ini memberikan makna yang besar untuk kita syukuri. Syukur kepada Allah atas anugerah Allah kerana masih dikelilingi orang-orang yang masih menyayangi diri ini. Perasaan yang paling sedih dalam hidup ini adalah menjadi orang yang tidak penting dalam hidup orang yang paling penting dalam hidup kita. Jadi hargailah orang-orang yang menyayangi diri kita.

My big family 

My sister and my dear nephew 

Tahun ni tak berapa banyak tangkap gambar pun. Jadi tak dapatlah kongsi lebih banyak gambar disini. Oklah, setakat ini saja. 

Perlu mencari semangat semula untuk bekerja balik. Semangat Semangat Semangat !!!!



Comments (0)

Post a Comment