Import-Eksport Gaharu

Labels:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Semoga kita semua terus bersemangat menjalankan ibadah puasa ini hingga ke akhirnya. Dua tiga hari ini saya banyak menghabiskan masa dirumah sahaja. Dihadapan laptop berpuluh jam. Memandangkan aktiviti luar dikurangkan sempena Ramadhan ini :)

Ok, pada entri yang lepas saya ada menyebut untuk menulis berkenaan dengan proses yang perlu dilalui bagi tujuan import dan eksport gaharu. Kepada yang pernah melalui pengalaman ini harap boleh dikongsikan dibahagian komen. Mudah-mudahan ia dapat memberikan maklumat tambahan kepada pembaca diluar sana disamping entri saya pada hari ini.

Apabila kita ingin mengimport gaharu iaitu membawa kayu gaharu daripada luar Negara masuk ke Malaysia terdapat beberapa prosedur yang perlu dipatuhi.



Prosedur Import 

1) Import permit (IP) perlu diperolehi daripada Badan Berkuasa di Malaysia ( merujuk kepada Bahagian Import Permit di Jabatan Pertanian). Permohonan dilakukan secara atas talian menggunakan dagangnet. Proses pengeluaran import permit mengambil masa selama 5 hari. IP boleh digunakan dalam tempoh 3 bulan. Satu IP hanya valid untuk satu konsaimen.

2) Satu salinan (IP) perlu diberikan kepada pengeksport untuk dihantar bersama dengan konsaimen (consignment). IP perlu dihantar kepada pengeksport sebagai rujukan berkenaan rawatan yang perlu dilakukan sebelum konsaimen dibawa masuk ke Negara tertentu.

Terdapat 3 jenis rawatan iaitu :

Pilihan 1

Fumigasi dengan menggunakan :
a) metyl bromide (MB) pada 48g/m3 pada kadar lebih daripada 24jam dan pada suhu minimum 21oC.
b) phosphine pada 4g/m3 untuk tempoh berterusan selama 120jam dan pada suhu minimum 21oC.

Pilihan 2
Rawatan pemanasan (heat treatment) untuk tempoh minima selama 4 jam pada suhu 70oC.

*Jenis rawatan yang dikenakan bergantung kepada IP yang dikeluarkan oleh Bahagian Import Permit, Jabatan Pertanian.

3) Phytosanitary certificate (PC) dan juga sijil rawatan kuarantin perlu ada bersama dengan barang yang dibawa masuk. Rawatan kuarantin yang dilakukan beserta no. rujukan bagi Import Permit perlu dinyatakan dalam PC. Dan konsaimen  perlu dieksport dalam tempoh 14 hari daripada tarikh PC dikeluarkan.

4) Konsaimen perlu bebas daripada tanah, penyakit, perosak dan kontiminasi dengan bahan-bahan yang tidak sepatutnya.

5) Konsaimen akan diperiksa oleh Bahagian Kuarantin (MAQIS) sebelum masuk ke Malaysia bagi memastikan konsaimen mengikut peraturan yang ditetapkan.

DOKUMEN PENTING SEBELUM IMPORT

1) Import Permit
2) Phytosanitary Certificate
3) CITES bagi kedua-dua Negara

Jika kita pula yang bertindak sebagai pengimport, maka proses adalah berlawanan. Contohnya kita ingin mengeksport ke China maka kita perlu mendapatkan IP daripada pembeli kita di China untuk mengetahui apakah rawatan yang perlu dilakukan sebelum kita mengimport konsaimen kita ke sana. Ini kerana setiap Negara mempunyai kaedah atau rawatan yang mungkin berbeza dengan apa yang kita praktikkan di Malaysia. Setelah menerima IP daripada Negara tersebut barulah kita menjalankan rawatan dan mengeluarkan PC. Juga pastikan sijil CITES ada bersama.

Di Malaysia yang mengeluarkan Import Permit dan CITES ialah :

Bahagian Import Permit
Jabatan Pertanian
Tingkat 1-3, Wisma Tani
Jalan Sultan Salahuddin
50632 Kuala Lumpur.

Selain itu sijil CITES juga dikeluarkan oleh :

Malaysia Timber Industry Board (MTIB)
Bangunan PGRM
Cheras

Jika kita ditahan kerana tidak mempunyai dokumen seperti yang dinyatakan, barang kita mungkin akan dimusnahkan atau dihantar pulang ke Negara asal yang mana kos adalah ditanggung oleh kita. Semoga dengan perkongsian ini kita dapat menjadikan satu panduan jika ingin menjalankan import-eksport gaharu.

Nanti saya sambung lagi berkenaan dengan rawatan yang dikenakan secara lanjut. Yang pasti ia tidak memberikan kesan yang tidak baik kepada bahan tersebut dan juga kesan yang tidak baik kepada manusia. 

Terima kasih. 

Aminah yang menulis

*Kenapa ya lately saya tidak boleh view blog ini. Login dan masuk ke blogger boleh cuma nak view memang tak dapat :(

Comments (0)

Post a Comment