Gaharu dan Syukur

Labels:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua,

Selamat berhujung minggu kepada semua yang sedang bercuti pada hari ini. Kepada yang bekerja selamat berkerja. Semoga kita semua sentiasa dalam keredhaan Allah dalam setiap usaha yang dilaksanakan. InshaAllah.

Dalam industri gaharu ini, banyak pancaroba dan cabaran yang perlu kita lalui sebelum tiba ke destinasinya. Bermula daripada peringkat membuat keputusan membangunkan ladang atau membuat keputusan untuk terlibat dalam bidang ini memerlukan satu kekuatan dalam diri. Ramai yang bersemangat waja pada awalnya, tidak sampai pun pertengahan jalan sudah mengaku kalah. Kerana dia gagal semua orang tidak boleh berjaya. Industri gaharu tiada masa depan. Industri gaharu ini menyusahkan. Tidak boleh mendatangkan hasil yang lumayan. Dan 1001 alasan lagi. Salah satu sebabnya kerana niat kita menanam untuk cepat kaya. Jadi jutawan gaharu. Ghairah dengan perkataan jutawan sehingga kurang persediaan dari segala segi untuk menghadapi satu perjalanan menuju jutawan yang pastinya bukan semudah yang disangka. Kita diuji dahulu sebelum Allah berikan ganjaran tersebut.

Beberapa hari lepas, ketika membuat satu lawatan ke ladang pokok gaharu yang ditanam di sebuah kawasan pemilik pokok tersebut menunjukkan beberapa batang pokok yang telah disuntik hampir 2 tahun yang lepas. Saya bertanya berkenaan kewujudan kesan positif pembentukan gaharu pada pokok yang disuntik tersebut, beliau menyatakan bahawa beliau tiada kekuatan diri untuk melihat kesan kerana takut kecewa apa yang diharapkan tidak menjadi. Kebetulan saya datang, maka beliau pun mengambil keputusan untuk menakik pokok tersebut. Kesan negatif. Tiada tanda pembentukan gaharu dan batang pokok mereput. Nampak sedikit raut kecewa diwajahnya namun saya yakin beliau seorang yang sangat tabah apabila beliau mencelah,

" Allah akan uji kita dahulu sebelum diberikan sesuatu yang berharga. Saya yakin jika itu memang rezeki saya pasti saya akan mendapatnya. Jika memang bukan rezeki saya maka saya redha"


Kata-kata memang mempengaruhi perasaan, emosi dan fikiran kita. Jika apa yang dilafazkan adalah perkara yang baik, pasti secara automatiknya kita akan menjadi lebih bersyukur dan redha atas setiap percaturan yang Allah tetapkan untuk kita. Kita tidak perlu marah-marah kerana semuanya telah ditentukan. Lihatlah sesuatu dengan pandangan yang positif dan letakkan keyakinan sesuatu yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya.

Sepanjang saya terlibat dengan industri gaharu ini saya rasa bersyukur kerana saya dapat mempelajari banyak perkara daripada orang-orang yang saya jumpa. Syukur alhamdulilah, saya ditakdirkan untuk berjumpa dengan orang-orang yang baik, hebat dan baik budi pekerti. Mustahillah jika saya katakan semuanya baik, tetapi saya rasa berjumpa seorang yang baik dan jujur dapat mengatasi perasaan saya berjumpa dengan sepuluh orang yang sebaliknya. Alhamdulilah, saya yakin segala yang berlaku telah dirancang sebaik-baiknya oleh Yang Maha Berkuasa.

Jika kita berniat jahat kepada orang, maka kita akan menarik orang yang berniat jahat juga. Jadi betulkan niat, agar Allah bantu kita. Permudahkan segala urusan kita. Namun walaupun kita telah berniat baik dan ikhlas dan masih berjumpa dengan orang-orang yang sebaliknya, pasti ada sesuatu yang perlu kita belajar daripada pengalaman tersebut. Allah datangkan sesuatu perkara untuk kita berfikir dan bermuhasabah diri, bukan terus menyalahkan satu sama lain. Tanpa kejatuhan kita tidak belajar untuk bangun semula.

Oklah, lain yang hendak ditulis lain pula yang ditulis. Tiba-tiba saya menulis entri ini kerana saya rasa sangat sangat bersyukur kerana mengenali anda semua dan masih diberikan kekuatan untuk terus menulis disini.

Wslm.

Aminah Saad

Comments (0)

Post a Comment