Program Gaharu Lestari bersama Komuniti FELDA

Labels:

Assalamualaikum dan Selamat Hari Isnin,

Mulakan permulaan minggu ini dengan semangat dan minda yang positif. Mudah-mudahan sepanjang minggu ini akan berjalan lancar. Pagi ini pun saya dapat memulakan urusan dengan mood yang lebih baik apabila orang yang perlu saya berurusan pagi ini memberikan tindakbalas yang baik. Mungkin sebelum ini staf yang mewakilkan saya dan kelihatan tindakbalas yang diberikan agak dingin. Jadi pagi ini saya ambil keputusan untuk bersemuka dan berbincang secara langsung dengan beliau, alhamdulilah semuanya berjalan lancar. Aura positif hari isnin.


Pada 08 Mei 2014 ini, Gaharu Lestari Resources akan menganjurkan satu program bersama komuniti di Felda Trolak Utara. Sebelum ini saya pernah menguar-uarkan berkenaan program ini di blog namun atas kekangan masa program tersebut terpaksa ditunda. Mudah-mudahan kali ini program ini menjadi kenyataan. Program ini bertujuan memberikan peluang kepada penduduk tempatan untuk terlibat secara langsung sebagai pembekal bahan mentah projek pembangunan produk gaharu  yang di bangunkan di kawasan Felda Trolak Utara ini. Pihak GLR akan mengagihkan pokok gaharu dan herba kepada penduduk setempat, dan penduduk setempat akan menjualkan semula hasil daripada pokok tersebut kepada syarikat. Ini merupakan salah satu projek menjana ekonomi masyarakat setempat untuk jangka pendek dan juga jangka panjang. Selain itu, kita juga ingin memberikan kesedaran tentang potensi penanaman pokok gaharu di kalangan penduduk setempat agar mereka lebih memahami berkenaan projek yang akan kita lancarkan nanti.


Program yang akan melibatkan seluruh penduduk setempat dengan anggaran penyertaan sebanyak 450 buah rumah ini akan dirasmikan oleh Pengurus Felda Trolak Utara sendiri sebagai mewakili ketua diperingkat tertinggi di kawasan ini. Selain pengagihan pokok gaharu, syarikat juga akan memberikan anak pokok herba iaitu misai kucing dan pecah beling dalam program ini. Di harap para peserta program komuniti ini akan mendapat manfaat yang maksimum daripada program ini. InshaAllah.

Kepada anda-anda diluar sana yang berminat untuk bersama-sama memeriahkan program ini, saya dengan senang hati menjemput kehadiran anda ke program ini. InshaAllah, setelah selesai program setengah hari ini kita akan peruntukan masa untuk sesi penerangan, perbincangan dan sebagainya dengan pihak-pihak yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan yang ditawarkan selain mendapatkan info-info gaharu kepada yang baru mula berjinak dengan industri gaharu ini. Anda boleh mendapatkan undangan daripada pihak Gaharu Lestari dengan SMS [gaharukomuniti][nama][alamat]  anda ke 0134335541. Kami akan mengirimkan kad jemputan kepada anda. Ini bagi memudahkan pihak syarikat membuat anggaran jumlah audience yang akan hadir pada program tersebut. Namun begitu, pengagihan anak pokok secara percuma hanya kepada Penduduk Felda Trolak Utara. Cabutan bertuah terbuka kepada semua pengunjung. 



Semoga usaha yang cuba direalisasikan oleh Gaharu Lestari Resources ini dipermudahkan dan mendapatkan keberkatan daripada Yang Maha Esa. Kepada yang berkesempatan untuk hadir pada hari tersebut, Gaharu Lestari Resources menjemput anda dengan rasa berbesar hati. Semoga kehadiran anda akan lebih memeriahkan majlis tersebut. InshaAllah.

Sekian, terima kasih.

Aminah Saad

Comments (0)

Post a Comment