Kursus Gaharu Mei 2012

0

Labels:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua,

Untuk makluman semua, satu kursus hands-on gaharu akan diadakan pada pertengahan bulan Mei ini (19 Mei 2012) bertempat di Klang. Kursus ini akan dijalankan kawasan tanaman gaharu bertempat di Sungai Serdang, Klang. Kursus sehari ini akan memberikan satu pengalaman baru kepada individu baru tentang keadaan sebenar bergelar seorang "penanam gaharu".

Jika anda mengharapkan satu kursus yang berlangsung di dewan berhawa dingin, ini bukanlah kursus yang sesuai untuk anda. Kami menganjurkan kursus hands-on iaitu kursus diadakan dikawasan tanaman pokok karas. Rasai sendiri pengalaman sebagai bakal penanam baru bermula dari menanam sehingga ke suntikan inokulan.





Yuran kursus ini adalah RM 200 untuk program sehari dan hanya terhad kepada 8 orang sahaja. Walaupun kursus tidak dijalankan dengan slide presentation, namun kami akan membekalkan manual rujukan untuk anda rujuk apabila pulang. Dan sebarang pertanyaan anda masih boleh berhubung dengan kami melalui email.

Kepada yang berminat boleh membuat pendaftaran dan pembayaran kepada Aminah Md Saad ( 158109209521- Maybank) dan emailkan maklumat diri dan pembayaran anda ke aminah.mdsaad@gmail.com

Semoga berjumpa nanti :)


Ikhlas,
Aminah Saad

Uniknya Pokok Gaharu

0

Labels:

Pokok karas atau gaharu, memang satu kejadian alam yang unik. Pembentukan gaharu yang terjadi didalam pokoknya tiada siapa yang boleh pastikan kuantiti dan kualitinya, semuanya menjadi rahsia sehinggalah pokok tersebut ditebang dan hasilnya diperolehi. Inilah uniknya pokok gaharu. Penuh misteri dan tanda tanya.

Kerana gaharu bernilai tinggi dan pembentukannya yang misteri, kita mula menjalankan kajian demi kajian untuk merungkaikan segala persoalan. Kini, daripada perolehan daripada hutan semulajadi, kita sudah beralih kepada pnenaman gaharu secara perladangan. Ramai semakin yakin dengan penanaman gaharu apabila wujudnya inokulan yang dipercayai mampu mengaruhkan pembetukan gaharu yang berharga didalam pokok gaharu. Penantian yang lama kini semakin singkat, pembentukan yang tidak pasti kini semakin dipastikan.

Sumber : Presentasi Gaharu Indonesia Jateng

Secara alaminya, jika kita menanam apa-apa pokok dengan baik dan pokok membesar dengan baik, tentulah hasil yang akan diperolehi akan baik. Pembajaan, penyiraman, kawalan penyakit di jaga rapi bagi memastikan penghasilan yang maksimum. Namun kerana keunikan pokok gaharu ini, menjaga pokok dengan baik sahaja tidak menjamin penghasilan gaharu yang terbaik kerana semulajadinya pembetukan gaharu terjadi dalam keadaan stress lalu membentuk resin yang berharga.

Kerana keadaan stress daripada persekitaran (angin, kilat, hujan dll) tidak dapat dikawal oleh keupayaan manusia maka inokulan diwujudkan berdasarkan kepada kajian mikrob yang dipercayai merupakan agen yang membantu pembentukan resin dalam pokok gaharu. Namun begitu, adakah dengan hanya tekanan yang diberikan oleh inokulan mampu menghasilkan gaharu yang bergred tinggi seperti yang kita inginkan? Hanya masa yang akan menentukan.

Suatu masa dulu, penanaman gaharu sinomin dengan konsep 4T - Tanam, Tinggal, Tengok (sekali sekala), Tuai. Namun dengan konsep ini, pertumbuhan pokok gaharu menjadi sangat minimum. Pertumbuhan sangat lambat dibandingkan dengan pokok yang ditanam dan dijaga dengan baik. Namun adakah kebenarannya konsep 4T itu? Mungkin apabila kurang diberikan perhatian, pokok karas mengalami stress seterusnya berusaha untuk memastikan ia terus hidup. Dengan keadaan yang stress begini, mungkin pembentukan gaharunya kelak akan menjadi lebih berkualiti bergabung tenaga dengan teknologi inokulan. :)

Walaupun mungkin kaedah 4T merupakan satu kaedah yang baik bagi meningkatkan kualiti gaharu yang terhasil kelak, namun yang pasti jangka masa yang diperlukan akan bertambah kerana pokok membesar dengan lambat. Macam keadaannya didalam hutan semulajadi yang tidak diberi perhatian. Ia tetap akan hidup dan membesar namun masa yang diambil mungkin semakin lama. Apabila dilakukan secara perladangan bagi tujuan pelaburan, pastilah penanam mahukan hasil yang boleh cepat dituai dan memberikan pulangan yang tinggi. Jika bagi tujuan pemuliharaan didalam hutan, maka mungkin isu ini tidaklah menjadi satu isu yang perlu diberikan perhatian.


Saya menjemput para penanam untuk berkongsi pengalaman anda dengan para pembaca. Semoga ia dapat menjadi panduan untuk penanam baru.

Ok setakat ini dulu. Wasalam.

Ikhlas,
Aminah Saad

Kesesuaian Tanah Untuk Tanaman Karas

0

Labels:

Kesesuaian tanah adalah sangat penting bagi pertumbuhan pokok yang baik. Bukan sahaja pokok karas, namun setiap tumbuhan memerlukan penyesuaian tanah yang tertentu bagi memenuhi keperluan pertumbuhannya. Kesuburan tanah bergantung kepada banyak faktor seperti sifat fiziknya, sifat kimia dan sifat-sifat biologi tanah. Tanah terbina daripada 3 komposisi utama iaitu clay (liat), silt (kelodak), dan sand (pasir). Jika tanah itu banyak liat dan mengandungi sedikit pasir, ia dinamakan liat berpasir. Manakala jika liat, berpasir dan kelodak didapati bersama, ia disebut loam. Rajah dibawah menunjukkan carta tekstur tanah yang boleh menentukan jenis tekstur tanah bergantung kepada komposisinya. Di Malaysia, terdapat banyak siri tanah yang telah dikenalpasti untuk memudahkan kita merujuk bagi tujuan pemilihan tanah yang sesuai untuk tanaman yang akan kita usahakan. Anda boleh download panduan siri tanah disini untuk mengetahui lebih lanjut tentang siri tanah yang terdapat di Semenanjung Malaysia.


Rajah 1 : Carta tekstur tanah

Antara tanah yang sesuai untuk perladangan karas ialah Siri Bungor atau hampir kepada Siri Serdang iaitu tanah lempong liat (clay loam) iaitu tanah yang tidak bertakung air dengan kandungan pasir antara 25%-35%, mengandungi kandungan organik yang tinggi, dengan pH sedikit berasid antara 4.0 - 6.0. Dalam keadaan tertentu jika terdapat kekangan lain terhadap jenis tanah yang anda miliki (ketidaksesuaian tanah), masih terdapat beberapa kaedah yang boleh dilakukan untuk menyesuaikan tanah tersebut dengan tanaman karas. Namun begitu, kos pastilah akan meningkat dan mungkin terdapat masalah lain dikemudian hari yang memerlukan rawatan yang lain. Topik ini mungkin akan kita bincangkan di entri yang lain.

Jenis Tanah dan Spesis Karas

1) Acrisols - A.beccariana. A.hirta, A.rostrata
2) Fluvisol - A.hirta
3) Alluvial - A.malaccencis, A.microcarpa, A.rostrata
4) Gleysols - A.microcarpa

p/s: maaf kerana sangat jarang mengemaskini blog.


Ikhlas,
Aminah Saad





Sumbangan Fusarium sp. kepada Pembentukan Gaharu

0

Labels:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua,

Pada hari ini saya ingin menulis berkenaan Fusarium sp. iaitu salah satu fungi yang dikatakan membantu dalam pembentukan gaharu. Adakah ia benar?

 File:Fusarium verticillioides 01.jpg

Daripada satu kajian yang dilakukan dari Aceh hingga ke Papua, sebanyak 54 spesis fusarium telah ditemui yang dipercayai mampu membantu pembentukan gaharu. Namun begitu, kajian masih sedang dilakukan ke atas kesan pembentukan gaharu terhadap kehadiran fungi ini. Daripada penemuan ini, 8 isolat telah digunakan bagi tujuan kajian terhadap sumbangannya kepada pembentukan gaharu dan keputusan yang diperolehi positif. Ini bermakna fusarium merupakan salah satu agen "invisible" yang dapat membantu pokok karas membentuk gaharu. 

Namun, kita masih tidak tahu spesis yang manakah yang dapat membantu itu.

Daripada satu kajian lain yang dilakukan, fusarium juga mampu menggalakkan pembentukan akar. Dengan pembentukan akar yang baik, pokok akan membesar dengan lebih baik. Jadi kelihatannya fusarium memberikan sumbangan yang baik kepada Aquilaria sp sebagai pokok penghasil gaharu.

Fusarium sp. merupakan spesis yang patogen kepada tumbuhan dan banyak menyebabkan penyakit kepada tumbuhan.Mungkin spesis yang memberi kemusnahan kepada tumbuhan yang lain, tetapi memberi kebaikan kepada tumbuhan yang lainnya. Namun, jika kita tersalah pilih mungkin kita akan memberikan kesan negatif kepada pokok kita. 

sumber : diagnostic manual for plant diseases in Vietnam

Gambar di atas menunjukkan kesan patogenik fusarium kepada tumbuhan seperti pokok pisang. Ia akan menyerang daun, batang dan juga akar. Selain itu, tomato, pokok bunga, tembikai dan lain-lain juga menerima kesan buruk dengan kehadiran fusarium ini. Namun seperti yang saya katakan sebelum ini, terdapat begitu banyak spesis fusarium, contoh spesis yang memberikan kesan buruk kepada pokok pisang ini ialah F. oxysporum. Apabila disuntik ke dalam batang pokok karas, fusarium masih memberikan kesan patogenik kepada pokok ini menyebabkan pokok bertindakbalas dengan menghasilkan mekanisma pertahanan bagi meneruskan hidup maka terhasilkan teras yang berharga ini. Kehadiran fusarium ini menganggu fungsi alami pokok menyebabkan ia menghasilkan resin.

Ia merupakan salah satu mekanisma pertahanan (imun sistem) bagi pokok ini. Jadi pada peringkat awal apabila disuntik dengan fusarium ini, anda mungkin boleh memperhatikan kesan-kesan seperti daun gugur, daun kekuningan dan kulit pokok mengering. Ini disebabkan sistem asal pokok terganggu. Namun kerana kehebatan yang telah Allah rancangkan, sakitnya pokok ini menghasilkan sesuatu yang sangat bernilai. Macam manusia juga, Allah berikan ujian sakit untuk menghapuskan dosa-dosa kita, kan penuh hikmah segala yang berlaku :)

Namun begitu, pembentukan gaharu yang berlaku secara semulajadi dan yang diaruhkan pasti berbeza dari segi kualitinya. Namun begitu, dengan usaha yang berterusan kita pasti mampu menghasilkan sesuatu yang lebih baik. Setakat ini, kualiti teras gaharu yang terhasil daripada proses inokulasi masih ditahap yang rendah. Kualiti teras yang menggunakan inokulan masih jauh untuk menyamai yang terbentuk secara semulajadi. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana pembentukan secara semulajadi mengambil masa yang lama dan sudah semestinya lebih baik. Dari segi komposisi kimia juga masih jauh berbeza.

Ok, saya rasa cukup dulu entri pada hari ini. Saya agak sibuk dengan studi yang sudah banyak tertinggal gara-gara sebulan saya berada dirumah (atas urusan keluarga). Itulah salah satu sebab blog ini juga jarang diupdate. Ok, doakan saya :)


Sekian.

Aminah Saad







Peruntukan Buka Ladang Gaharu Di Kawasan Orang Asli

0

Labels:

Assalamualaikum,

Semoga dalam keadaan sihat dan gembira dalam menjalankan kehidupan seharian. Saya agak sibuk kebelakangan ini jadi tidak sempat untuk menulis sesuatu di blog ini. Semoga segala usaha kita akan Allah permudahkan. Pagi ini saya membaca serba sedikit berita, blog, posting di FB berkenaan gaharu nampaknya industri kita semakin berkembang. Alhamdulilah. Walaupun masih tampak kekurangan namun saya melihat ia sebagai perkembangan yang positif. Saya yakin dalam beberapa tahun akan datang kita pasti akan dapat duduk dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara yang telah mendahului dalam usaha ini. InsyaAllah.

Petikan dari mstar, 1 April 2012.


GUA MUSANG: Kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk membuka ladang kayu gaharu di kawasan perkampungan Orang Asli di Gua Musang dalam masa terdekat ini, kata Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Tengku Razaleigh berkata peruntukan permulaan itu diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau mengunjungi Perdana Menteri di pejabatnya di Putrajaya Ahad lepas (25 Mac).
"Saya menemui Perdana Menteri sebelum saya datang ke majlis ini supaya apa yang saya cadangkan untuk membuka ladang kayu gaharu menjadi kenyataan," katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Penutup Kembara Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas 2012, di Padang Awam Pos Brooke, dekat sini, Ahad.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Datuk Mohd Sani Mistam, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas Ab Aziz Yusof dan Pegawai Pembangunan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) Cawangan Gua Musang, Muhamad Shukri Ab Aziz.
Tengku Razaleigh juga Ketua Umno bahagian itu berkata peruntukan itu sebagai permulaan projek dan menyerahkan perkara itu kepada JAKOA untuk mengadakan perbincangan dengan jabatan serta agensi berkaitan. Beliau berkata JAKOA juga perlu mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi mendapatkan kelulusan tanah untuk tujuan itu.
Ladang kayu gaharu belum dapat ditentukan keluasannya kerana masih dalam kajian bersama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Risda bagi menentukan lokasi terbaik berhampiran penempatan Orang Asli, katanya.
"Kita berbuat demikian kerana tidak mahu kaum itu terus hidup terpinggir disebabkan hilang punca pendapatan selepas hasil hutan pupus dengan kegiatan pembalakan dan pembukaan peladangan," katanya.
Beliau yakin apabila ladang itu menjadi kenyataan, ia mampu memberi pulangan hasil lumayan kepada setiap Orang Asli yang menjadi ahli koperasi yang akan ditubuhkan nanti dengan setiap orang diberi pemilikan satu saham.
"Kita sudah membuat penelitian mengenai perkara itu dan beberapa syarikat luar negara sudah menunjukan minat untuk membeli kayu gaharu dengan rawaran harga yang tinggi," katanya. - BERNAMA


Tidak sempat menulis panjang, insyaAllah diberi jika diberi kesempatan kelak saya akan menulis lagi. Semalam ketika ke pameran MIHAS di KLCC, saya telah mencuba gaharu madu yang dikeluarkan syarikat AAFT Premier Sdn Bhd berlokasi di Perak. Semoga lebih banyak lagi produk-produk berasaskan gaharu yang akan dikeluarkan oleh pengusaha-pengusaha tempatan. Mungkin selepas ini, saya akan menulis berkenaan dengan produk-produk hasil gaharu yang dikeluarkan oleh pengusaha tempatan.

Sekian.

Ikhlas,
Aminah Saad