Program Gaharu Lestari bersama Komuniti FELDA

0

Labels:

Assalamualaikum dan Selamat Hari Isnin,

Mulakan permulaan minggu ini dengan semangat dan minda yang positif. Mudah-mudahan sepanjang minggu ini akan berjalan lancar. Pagi ini pun saya dapat memulakan urusan dengan mood yang lebih baik apabila orang yang perlu saya berurusan pagi ini memberikan tindakbalas yang baik. Mungkin sebelum ini staf yang mewakilkan saya dan kelihatan tindakbalas yang diberikan agak dingin. Jadi pagi ini saya ambil keputusan untuk bersemuka dan berbincang secara langsung dengan beliau, alhamdulilah semuanya berjalan lancar. Aura positif hari isnin.


Pada 08 Mei 2014 ini, Gaharu Lestari Resources akan menganjurkan satu program bersama komuniti di Felda Trolak Utara. Sebelum ini saya pernah menguar-uarkan berkenaan program ini di blog namun atas kekangan masa program tersebut terpaksa ditunda. Mudah-mudahan kali ini program ini menjadi kenyataan. Program ini bertujuan memberikan peluang kepada penduduk tempatan untuk terlibat secara langsung sebagai pembekal bahan mentah projek pembangunan produk gaharu  yang di bangunkan di kawasan Felda Trolak Utara ini. Pihak GLR akan mengagihkan pokok gaharu dan herba kepada penduduk setempat, dan penduduk setempat akan menjualkan semula hasil daripada pokok tersebut kepada syarikat. Ini merupakan salah satu projek menjana ekonomi masyarakat setempat untuk jangka pendek dan juga jangka panjang. Selain itu, kita juga ingin memberikan kesedaran tentang potensi penanaman pokok gaharu di kalangan penduduk setempat agar mereka lebih memahami berkenaan projek yang akan kita lancarkan nanti.


Program yang akan melibatkan seluruh penduduk setempat dengan anggaran penyertaan sebanyak 450 buah rumah ini akan dirasmikan oleh Pengurus Felda Trolak Utara sendiri sebagai mewakili ketua diperingkat tertinggi di kawasan ini. Selain pengagihan pokok gaharu, syarikat juga akan memberikan anak pokok herba iaitu misai kucing dan pecah beling dalam program ini. Di harap para peserta program komuniti ini akan mendapat manfaat yang maksimum daripada program ini. InshaAllah.

Kepada anda-anda diluar sana yang berminat untuk bersama-sama memeriahkan program ini, saya dengan senang hati menjemput kehadiran anda ke program ini. InshaAllah, setelah selesai program setengah hari ini kita akan peruntukan masa untuk sesi penerangan, perbincangan dan sebagainya dengan pihak-pihak yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan yang ditawarkan selain mendapatkan info-info gaharu kepada yang baru mula berjinak dengan industri gaharu ini. Anda boleh mendapatkan undangan daripada pihak Gaharu Lestari dengan SMS [gaharukomuniti][nama][alamat]  anda ke 0134335541. Kami akan mengirimkan kad jemputan kepada anda. Ini bagi memudahkan pihak syarikat membuat anggaran jumlah audience yang akan hadir pada program tersebut. Namun begitu, pengagihan anak pokok secara percuma hanya kepada Penduduk Felda Trolak Utara. Cabutan bertuah terbuka kepada semua pengunjung. 



Semoga usaha yang cuba direalisasikan oleh Gaharu Lestari Resources ini dipermudahkan dan mendapatkan keberkatan daripada Yang Maha Esa. Kepada yang berkesempatan untuk hadir pada hari tersebut, Gaharu Lestari Resources menjemput anda dengan rasa berbesar hati. Semoga kehadiran anda akan lebih memeriahkan majlis tersebut. InshaAllah.

Sekian, terima kasih.

Aminah Saad

Gaharu & Emosi

0

Labels:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua,

Semoga anda semua sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera. Saya alhamdulilah sihat walaupun aktiviti yang sangat-sangat padat. Memandangkan tersangatlah rindu pada blog ini maka saya curi -curi masa update blog. Tulis secara ringkas sahaja.

Dalam keadaan yang begitu penat, emosi sangatlah memainkan peranan yang penting. Dan saya sendiri kurang pandai menguruskan emosi sendiri apabila berhadapan dengan tekanan kerja yang tinggi. Iya itu saya mengaku. Kerana kita ingin memberikan yang terbaik dalam apa jua tugasan yang diberikan maka sedikit sebanyak ia memberikan tekanan kepada kita.Namun begitu saya yakin dalam keadaan tekanan tersebut, kita akan menjadi insan yang lebih kretif. Berfikir pelbagai cara untuk merealisasikan sesuatu yang telah dipertanggungjawabkan. Saya sedaya upaya akan membuat yang terbaik dalam setiap tugasan yang di amanahkan. Bukan tangkap muat atau cincai sahaja.

Pada hari ini, saya diberikan tugasan untuk membuka satu tapak pameran berhampiran pejabat di Trolak Utara. Satu program anjuran Felda sedang diadakan. Memandangkan pempamer yang sepatutnya mempamerkan produk mereka telah menarik diri, pihak FELDA telah memberikan peluang kepada kami untuk membuat pameran tersebut. Dan saya menerimanya dengan berbesar hati dan penuh tanggungjawab. Walaupun saya tidak bersedia. Pagi tadi sebelum program bermula, saya dan team bekerja keras untuk memastikan booth kami cantik dan sedap mata memandang. Alhamdulilah dalam waktu yang singkat dan persediaan yang kurang, kami mampu memberikan pameran yang sangat memuaskan hati.



*Krew yang sedang membantu untuk setup booth



Walaupun program ini kelihatannya kurang mendapat sambutan  kerana promosi yang tidak meluas tetapi saya menerima dan memandang secara positif. Daripada program ini saya dapat mengenali pekerja-pekerja saya di Trolak dengan lebih dekat. Secara lebih personal apabila saya banyak masa untuk bersembang dan mereka bercerita tentang latar belakang kehidupan mereka. Sebelum ini kerana kekangan masa dan juga jarang berada di Trolak (jika ada pun memang sibuk dengan kerja) maka saya tidak mempunyai peluang untuk mengenali secara lebih dekat (walaupun pekerja baru sedikit, kalau ramai tak tahulah macam mana..Haha). Pentingnya hubungan emosi antara majikan dan pekerja, pekerja dengan pekerja dan antara rakan kongsi perniagaan. Masing-masing akan lebih memahami antara satu sama lain. Menghormati dan menghargai.

Setiap perancangan yang Allah aturkan pasti mempunyai hikmah tersendiri. Sama ada kita dapat membacanya atau tidak. Mungkin ini caranya Allah berikan saya peluang untuk lebih mengenali insan-insan sekeliling saya yang banyak memberikan sokongan selama ini.

Dan dalam minggu ini saya mendapat begitu banyak perkhabaran yang gembira. Walaupun dalam keadaan yang penat, terasa segala usaha selama ini berbaloi. Saya yakin bahawa Allah akan berikan apa yang kita usahakan cuma tergantung masa sahaja. Antara cepat atau lambat. Saya yakin saya akan berjaya jika saya dapat meningkatkan usaha dan bekerja lebih gigih. Saya doakan anda juga berjaya. Sama-sama kita berjaya ya.

Sebenarnya saya banyak sangat nak menulis. Blog tempat saya meluahkan rasa. Gembira, sedih, tertekan, kecewa. Bila menulis di sini saya dapat mengurangkan tekanan saya. Lebih baik merepek-repek di blog sendiri daripada meroyan di mana-mana yang tidak berkaitan dengan kita. Oklah, dah nak kena masuk shift jaga booth.

Yang suka merepek,
Aminah Saad

Bicara Santai & Kerja Menanam

0

Labels: ,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Semoga semuanya dalam keadaan sihat dan baik-baik sahaja. Saya seperti biasa meneruskan hari-hari biasa dengan aktiviti-aktiviti berkaitan Gaharu. Daripada menanam pokok, menguruskan urusan produk, menghadiri mesyuarat dan temujanji. Setiap hari saya perlu merancang sehabis baik perkara-perkara yang perlu saya selesaikan. Jika tersalah percaturan mungkin seharian tidur di rumah. Maklumlah tiada "punch card", memang kenalah inisiatif sendiri. Kadang kala pula langsung tiada cuti. Kerja 7 hari seminggu tanpa rehat. Alhamdulilah setakat ini saya sangat menyukainya. Kerana saya dapat belajar banyak perkara-perkara baru. Cuma kadang kala pastilah ada perasaan stress, down dan sebagainya bila berhadapan dengan perkara baru, kesilapan di sana sini, berulang-ulang dan boleh menyebabkan hati mahu berhenti separuh jalan :)

*tapak yang sedang dibersihkan untuk penanaman gaharu

*tapak yang sedang dibersihkan untuk penanaman gaharu

*my superman, my bodyguard :)


Sebagai manusia biasa, kita pastilah sentiasa mahu meningkatkan diri menjadi lebih baik dari hari ke hari. Tak kanlah mahu jadi lebih teruk kan. Dulu saya bukanlah jenis orang yang berani untuk berjumpa dan bercakap dengan orang yang saya tidak kenali, saya lebih suka mengadap laptop atau TV. Tetapi apabila mula berkecimpung dalam perniagaan, sy cuba latih diri untuk lebih berani berhadapan dengan orang ramai. Berbual dan bertanya khabar. Dulu mak selalu cakap saya ni kera sumbang (eh, skrg ni pun masih lagi rasanya). Dan saya tidak pernah terbayang untuk terlibat dalam industri gaharu. Sebelum terlibat dengan gaharu, satu pokok pun saya tak pernah tanam. Serius saya bukanlah orang yang mesra alam. Jenis kera sumbang duduk dalam rumah. Bila saya mulakan operasi produk gaharu di Trolak, ramai yang tak tahu saya ni anak siapa (walaupun saya duduk trolak sudah 29 tahun). Dan lebih teruk saya pun memang tak kenal orang-orang yang tidak kenal saya tu. Kadang-kala rasa serba salah bila pakcik2 famous di kampung datang tapi saya tak kenal. Saya cuba belajar untuk lebih mengambil tahu tentang masyarakat disekeliling saya. Nasib baik PA saya sangatlah ramah tamah dan mesra alam, semua pakcik makcik dan belia dia kenal. Selamat daku :)

Di kesempatan ini, saya ingin menjemput pembaca-pembaca sekalian jika berkesempatan lalu di sekitar trolak ni jemputlah datang. Anda boleh cuba minuman-minuman berasaskan gaharu secara PERCUMA. Welcome Drink. Alamat kami ialah :

No.1, Bangunan PIRF
Felda Trolak Utara
35600 Sungkai, Perak.
(Berhadapan dengan Dewan Orang Ramai Felda Trolak Utara)

*lawatan ladang gaharu 1 (N9)

*lawatan ladang gaharu 1 (N9)

*lawatan ladang gaharu 2 sambil buat tambahan pokok 

*pekerja sedang membuat lubang untuk menanam 

(Gambar dan cerita sangatlah tidak synchronize)


Untuk pertanyaan lanjut berkenaan dengan penanaman gaharu, penyulingan minyak, suntikan, dan juga produk-produk gaharu anda bolehlah menghubungi kami di 05-4321002 (Pejabat)/ 0134335541 (Puan Rina) atau email ke gaharulestary@gmail.com.


Salam di Hari Sabtu,
Aminah Saad