Kedai kayu gaharu jadi tumpuan Minggu Karnival 1Malaysia Best

Labels:




RABAT 19 Dis.- Percayakah anda bahawa kayu gaharu seberat satu gram dijual pada harga 90 Euro (RM371.70) di Maghribi.

Tidak hairanlah gerai menjual kayu gaharu yang diusahakan oleh Kedaik Agarwood Sdn. Bhd., di Minggu Karnival 1Malaysia Best di pekarangan pasar raya Aswak Assalam di sini menjadi tumpuan pengunjung.

Difahamkan, golongan pertengahan dan atasan masyarakat di negara ini sememangnya suka kepada bau-bauan harum daripada kayu gaharu.

Minyak pati kayu gaharu Malaysia seberat 1 gram dijual pada harga AS$30 dolar (RM112) manakala kayu gaharu pula sebanyak AS$45 dolar (RM144) di karnival ini.

Pada masa ini, kayu gaharu itu dicari oleh masyarakat Orang Asli di dalam hutan sekitar Terengganu, Johor dan Pahang sebelum dihantar di kilang milik Kedaik Agarwood, di Rompin, Pahang.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Datuk Mohd. Sani Mistam (gambar) berkata, industri kayu gaharu mempunyai potensi untuk dimajukan dan meneroka pasaran global kerana pati kayu gaharu ini boleh diproses kepada pelbagai bauan minyak wangi.

"Minyak gaharu ini kemudiannya dicampur dengan campuran buah-buahan dan bunga dengan pelbagai haruman supaya kewangiannya kekal lama," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Dengan adanya industri kayu gaharu ini, beliau yakin ia boleh memberi peluang kepada komuniti Orang Asli menambah pendapatan mereka selain mencari buah-buahan hutan lain untuk menampung kehidupan seharian.
Melihat akan potensi itu, Jakoa telah menanam 4,500 batang pokok gaharu dalam kebun getah di perkampungan Orang Asli Belihoi, dekat Seremban untuk mengembangkan lagi industri tersebut.

Mohd. Sani memberitahu, pihaknya juga bercadang untuk menanam pokok gaharu di beberapa lagi kawasan perkampungan Orang Asli di seluruh negara dan tempoh matang pokok tersebut ialah sekitar 8 hingga 10 tahun.

Comments (0)

Post a Comment