Menghormati Nilai Masa Orang Lain

Labels:

Assalamualaikum dan Salam Jumaat buat semua,

Semoga kita dapat memulakan pagi Jumaat ini dengan lebih bersemangat, yakin dan juga penuh kesyukuran. Tanpa menghargai setiap masa yang Allah kurniakan kepada kita, pasti ia akan berlalu begitu saja tanpa di manfaatkan dengan sebaiknya. Ya Allah, jauhkanlah kami dari menjadi hambamu yang rugi.


Selain menghargai masa yang Allah kurniakan kepada kita, pastikan kita juga menghormati nilai masa orang lain. Janganlah kita menganggap hanya masa kita sahaja berharga. Adatlah terlewat sekali dua, namun jika pertemuan yang diatur kerap berakhir dengan pembatalan di saat akhir saya rasa bukanlah suatu yang beretika. Walaupun kita hanya berurusan dengan orang yang tidak penting, apabila kita sudah berjanji maka cubalah sedaya mungkin untuk menepati. Jika kita sangsi untuk berjanji, janganlah berjanji kan?

Menjadi orang kecil dan tidak dihargai memang sangat menyakitkan hati. Namun bagi saya, orang yang berjaya ialah orang yang mampu berkomitmen apabila menyatakan sesuatu. Jika beberapa kali pembatalan dilakukan pada saat akhir TANPA notis, diam tanpa berita maka disitu kita mendapat kesimpulan bahawa orang tersebut bukanlah orang yang wajar kita berurusan. Biarpun digembar gembur orang tersebut hebat serata alam. Kita juga punya MASA berharga yang perlu dihormati. InshaAllah setakat ini saya sentiasa cuba  yang terbaik untuk menghormati masa orang lain. Tolong ingatkan saya jika saya terlupa.

Buangkanlah perkataan "Janji Melayu" dalam kamus hidup kita. Malu saya rasa dengan perkataan tersebut. Kerana segelintir manusia yang tidak menepati janji, maka keseluruhan bangsa itu dilabel sedemikian rupa. Memang tidak adil kan. Kerana misterinya perkataan tersebut, kita lebih suka melewatkan sesuatu temujanji demi tidak mahu menjadi orang yang awal datang. Rugi masa datang awal dan terpaksa menunggu yang lain. Jika berterusan begini maka tidak akan majulah kita. Kelewatan dengan alasan yang wajar mungkin boleh dimaafkan namun manusia memang bijak mencipta alasan yang WAJAR kan sehingga sampai bila pun sentiasa nampak kewajaran datang lewat.

Mulalah terapkan dalam keluarga kecil kita untuk setiap individu menghormati masa di antara satu sama lain. Kebiasaan itu akan menjadikan ia sesuatu tabiat yang inshaAllah akan diterapkan pada generasi yang akan datang. Mainkan peranan sendiri. Tidak perlu mengubah dunia , ubahkan perlahan-lahan dalam lingkungan kecil kita dahulu. Pekerja kita. Rakan-rakan perniagaan kita. Pelanggan dan bakal pelanggan kita. Dan masa yang terurus dengan baik di dalam organisasi (syarikat) pasti memberikan pulangan yang lebih baik. Keuntungan bukan sahaja dikira dari segi wang ringgit, penjimatan masa juga merupakan satu keuntungan yang tidak ternilai.


Peringatan ini untuk diri saya sendiri. Semoga lebih menghargai masa yang tidak boleh dinilai oleh apa pun.

Salam Jumaat,
Aminah Saad

Comments (0)

Post a Comment