Bagaimanakah meningkatkan penghasilan gaharu?

Labels: ,

Assalamualaikum wbt,

Daripada kajian yang dilakukan menyatakan hanya 20% daripada pokok gaharu yang matang dengan diameter 20 cm ke atas mampu menghasilkan gaharu (La Frankie, 1994) manakala Soeharto, 1997 menyatakan penghasilan gaharu yang terbaik terhasil daripada pokok gaharu yang berusia lebih 50 tahun. Namun begitu, dengan kajian demi kajian kini pada usia seawal 8 tahun kita sudah boleh diaruhkan bagi pembentukan gaharu.

sumber : facebook

Dengan penciptaan inokulan yang mampu mengaruhkan pembentukan gaharu membolehkan kaedah perladangan gaharu dilaksanakan dengan lebih meluas. Namun begitu, daripada hasil-hasil kajian yang dijalankan terhadap hasil daripada peroleh perladangan masih ditahap yang kurang memuaskan.  Mengikut anggaran daripada pihak FRIM, pokok pada usia 8 tahun akan menghasilkan gaharu bergred C sebanyak 600g dengan anggaran harga RM 1000/kg. Oleh yang demikian, jika pekebun kecil menanam pokok gaharu pada keluasan 1 ekar dengan jumlah pokok 1000 pokok maka penghasilan selepas 8 tahun ialah RM 600,000. Namun begitu pengiraan masih tidak termasuk keseluruhan pokok yang mungkin masih boleh digunakan sebagai kayu racik bergred rendah bagi penyulingan minyak. Dianggarkan setiap pokok boleh menghasilkan 60kg dengan harga RM 10 sekilo. Hasil daripada kayu racik ini ialah RM 600. Oleh itu, anggaran penghasilan bagi setiap pokok selepas 8 tahun ialah RM 1200.

Manakala daripada satu kajian lain yang dijalankan oleh FORDA pada pokok berusia 5 tahun dengan 3 kategori diameter pokok menunjukkan pada usia 6 tahun hasil minimum yang boleh diperolehi antara RM 429.30 sehingga RM 683.70 iaitu selepas setahun proses inokulasi dilakukan. Manakala jika dibiarkan selama 3 tahun, iaitu menjadikan pokok berusia 8 tahun maka hasil yang diperolehi antara RM 2687.10 sehingga RM 3482.10. Jika dilakukan perbandingan antara kedua kajian ini, kajian kedua menunjukkan peningkatan sebanyak 62%.

Dalam kajian kedua menunjukkan faktor diameter pokok mempengaruhi jumlah penghasilan gaharu yang terbentuk. Oleh yang demikian, penjagaan dan pembesaran pokok perlu dipentingkan agar pertumbuhan pokok tidak menghadapi sebarang masalah. Jika pokok dapat tumbuh dengan segala keperluan yang mencukupi, pokok dapat membesar dengan baik dan kita dapat meningkatkan penghasilannya kelak.

Kita dapat meningkatkan penghasilan gaharu jika kita dapat memberikan perhatian kepada pertumbuhan pokok yang baik dengan memastikan segala keperluan mencukupi. Masalah-masalah pokok yang diakibatkan oleh persekitaran, tanah, suhu dan keperluan nutrien merupakan faktor utama yang menyumbang kepada permasalahan pokok. Serangan penyakit, ulat, serangga adalah merupakan faktor sampingan yang akan menyerang pokok apabila pokok lemah (disebabkan oleh faktor yang pertama). Oleh itu, apabila pokok kita kelihatan bermasalah maka kita perlu mengambil langkah segera agar ia tidak menarik masalah-masalah lain seperti penyakit pokok, serangga, bakteria dan lain-lain.

Walaupun pembentukan gaharu boleh diaruh secara perladangan namun banyak pandangan yang menyatakan bahawa sumber gaharu yang diperolehi daripada perladangan ini masih jauh kualitinya berbanding dengan yang diperolehi secara semulajadi. Tapi tidaklah hairankan kerana ia pastilah berbeza dengan yang Allah jadikan secara semulajadi, tambahan pula sesetengahnya berusia puluhan tahun dan mungkin juga ada yang ratusan tahun. Namun begitu tidak mustahil dengan usaha gigih pengkaji inokulan dan kajian-kajian yang berkaitan mampu meningkatkan kualiti hasil gaharu daripada ladang ini, walaupun mungkin masih tidak sama sekurang-kurangnya kualitinya semakin baik.

Success is the sume of small efforts, repeated day in and day out 
- Robert Collier -


Apa kata anda kongsikan pendapat anda pula?

Sabda Rasullulah SAW,
" Apabila mati seseorang anak adam itu, maka akan terhentilah segala amalannya kecuali 3 perkara iaitu sedekah, ilmu yang memberi guna dan doa anak-anak yang soleh"

Pengalaman anda yang sedikit mungkin anda rasa tidak bernilai, namun ia mungkin merupakan ilmu yang tidak ternilai kepada yang lain. Jadi apa kata disamping anda membaca blog ini, anda kongsikan pendapat anda, pengalaman, atau apa-apa sahaja yang berkaitan industri ini. Selagi wujudnya blog ini, selagi itulah ilmu yang anda kongsikan akan memberi manfaat kepada pembaca. Pembaca itu mungkin seseorang yang anda sendiri tidak kenal :)

Ikhlas,
Aminah Saad


Comments (2)

satu artikel terbaik. harga mungkin berbeza mengikut kategori pembeli

Tidak sebaik penulisan tuan. Sy juga ada membaca tulisan tuan di FB.

Post a Comment