Kaedah Mengesan Gaharu

Labels:

Assalamualaikum dan Salam Maal Hijrah buat semua,

Musim cuti sekolah telah tiba dan pastinya banyak agenda kenduri-kendara mula memenuhi perancangan hujung minggu. Saya juga tidak terkecuali dan menyebabkan otak sy agak beku untuk menulis di gaharuinfo. :)

Pada hari ini, saya ingin berkongsi dengan anda semua berkenaan dengan kaedah mengesan gaharu. Ia dipetik dari buku " Industri Gaharu Malaysia- Cabaran dan Prospek" yang dikeluarkan oleh MTIB. Kepada yang telah membaca alhamdulilah, dan kepada yang belum semoga perkongsian ini bermanfaat kepada anda.

Kehadiran gaharu memang sukar untuk diramal kerana pembentukan terhasil didalam pokok gaharu yang kita sendiri tidak boleh melihatnya dengan mata kasar. Kepada para pengutip gaharu liar yang berpengalaman, hal ini mungkin bukanlah satu isu yang besar bagi mengenalpasti sama ada gaharu telah terbentuk atau tidak didalam pokok. Dengan pengalaman yang digarap dari tahun ke tahun, pasti mudah untuk mengesan gaharu pada pokok liar.

Antara Kaedah-kaedah Mengesan Kehadiran Gaharu

1) Pokok akan diketuk dengan kapak atau parang, jika berbunyi lampung maka ini menunjukkan pokok tersebut telah pun menghasilkan teras gaharu.

2) Kulit pokok dikopak dengan kapak atau parang bagi melihat isi kayunya, jika warna kayunya kekuningan, ia menunjukkan pokok telah menghasilkan teras gaharu.

3) Pangkal pokok perlu ditebuk sedikit bagi melihat kayunya. Jika ternampak kesan lubang semut dan lubang air, maka pokok tersebut telah menghasilkan teras gaharu.

4) Semasa pangkal pokok ditebuk dan kelihatan teras gaharu berbentuk lurus, ini menunjukkan gaharu telah terbentuk dengan banyaknya. Jika kesan teras gaharu berbentuk melintang ini menunjukkan kuantiti gaharu didalamnya sedikit dan untuk mendapatkan gaharu yang berkualiti agak sukar.

5) Sekiranya terdapat banyak kesan lubang semut dibawah kulit pokok, menunjukkan pembentukan gaharu yang banyak. Ini kerana semut merupakan ejen utama penghasilan gaharu secara semulajadi.





6) Batang pokok kelihatan telah berlumut dan berbonggol, daunnya mula menguning dan luruh. Dahan dan rantingnya mula kering, kulit batang yang pecah serta mudah dikupas dan disertai tanda-tanda pokok akan mati.

7) Kulit pokok tebal dan tidak putus semasa dikopek menunjukkan pokok masih belum menghasilkan gaharu.


Selain pentingnya kaedah mengesan gaharu, kaedah mengesan jumlah gaharu yang terhasil juga merupakan satu topik penting yang perlu kita pelajari juga. Ini penting bagi memaksimumkan pembentukan gaharu dalam pokok karas tersebut. Buat masa ini, saya sendiri tidak tahu kaedah mengesan jumlah gaharu yang terbentuk. Cuma yang sering dimaklumkan "gaharu yang banyak" atau "gaharu yang sedikit", secara spesifiknya kita tidak tahu ukuran banyak atau sedikit yang dimaksudkan. Diharap teknologi mengesan jumlah gaharu yang terbentuk dalam pokok karas dapat kita perolehi tidak lama lagi. Atau mungkin saya yang ketinggalan tidak mengetahuinya.

Kepada anda yang mengetahui, apa kata anda kongsikan pengetahuan anda disini. Mungkin anda punya pelbagai kaedah lagi untuk menentukan kewujudan gaharu didalam pokok karas serta anggaran kuantiti yang terbentuk.

Sekian, Salam Maal Hijrah.

Ikhlas,
Aminah Saad




Comments (0)

Post a Comment