Maklumat Yang Tepat

Labels:

Apabila rakyat Malaysia mula didedahkan dengan nilai lumayan bagi pokok karas, semakin ramai yang mula berminat untuk menanam pokok karas secara perladangan komersial atau secara kecil-kecilan. Ini merupakan satu perkembangan positif bagi industri gaharu di Malaysia. Kesedaran tentang potensi pokok karas ini dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi Negara. Namun pendedahan yang lebih tepat perlu dilakukan oleh badan-badan kerajaan yang terlibat agar maklumat yang diperoleh oleh individu yang berminat adalah tepat, tidak meragukan dan dapat menjalankan penanaman gaharu secara betul.
Adakah demam gaharu sudah melanda Malaysia?
Ya mungkin juga Malaysia sudah dilanda demam gaharu. Walaupun masih ramai yang tidak mendapat maklumat tepat namun apabila gaharu dikaitkan dengan nilai RM yang lumayan, maklumat yang tepat adalah menjadi perkara yang tidak penting lagi. Bagi sesetengah individu, inilah peluang bagi mereka untuk menambahkan satu lagi pelaburan dalam hidup mereka. Mereka tidak mendapat maklumat yang tepat dan hanya dengar-dengar di kedai kopi. Mereka mula yakin dengan desas desus di kedai kopi bahawa pokok gaharu boleh buat duit.
“Aku mesti tanam juga. Lagipun aku ada modal, duit dan juga tanah. Tapi di mana ya aku nak dapatkan anak pokok gaharu ini? Siapa yang menjual?”
Beberapa persoalan mula menerjah ke fikiran. Jika tidak bernasib baik dan berjumpa dengan penjual yang hanya ingin mengambil kesempatan, mereka ini mudah menjadi mangsa. Semangat untuk terlibat dengan industri gaharu menggunung tinggi namun apabila ditipu dengan individu yang tidak bertanggungjawab maka semangat yang dulu menggunung mula kecundang.
Saya mencadangkan kepada sesiapa yang berminat dalam industri gaharu agar menghubungi agensi kerajaan yang dipercayai seperi FRIM, MARDI atau Jabatan Pertanian untuk mendapatkan maklumat yang tepat. FRIM sendiri telah menjalankan penyelidikan berkaitan pokok gaharu ini bermula tahun 1992, jadi pasti banyak maklumat yang boleh anda perolehi jika bertanya terus ke FRIM. Jika anda tidak mendapat maklumat yang diharapkan, minta jabatan-jabatan ini memberikan contact number bagi usahawan yang terlibat dengan industri ini. InsyaAllah, ini dapat mengurangkan kadar anda mendapat maklumat yang tidak tepat. Selain itu, dapatkan maklumat daripada beberapa sumber agar anda boleh membandingkan maklumat yang diperolehi. Anda juga boleh melayari internet bagi mendapatkan maklumat berkaitan, namun di internet terlampau banyak informasi yang kadang-kala menambahkan kekeliruan bagi yang baru ingin bermula.
Kepada yang baru bermula, Semoga Berjaya.
Satu Perkongsian,

Comments (0)

Post a Comment