Harga Kayu Gaharu

Labels:

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua,

Industri gaharu semakin mendapat perhatian ramai kerana harga pasarannya yang sangat lumayan. Pasaran yang masih tidak dapat dipenuhi juga masih besar menyebabkan banyak pihak cuba mengambil peluang ini untuk terlibat dalam industri gaharu.Peluang dalam industri ini masih banyak, namun kita sendiri yang menentukan untuk mengambil peluang tersebut atau melepaskan ia pergi begitu sahaja.

Graf dibawah menunjukkan harga bagi kayu gaharu Gred A bagi tahun 1972-1990 dan 1991-2008 di Semenanjung Malaysia.Saya memperolehi maklumat ini dari Laporan yang dikeluarkan oleh FRIM. Sumber maklumat tersebut diperolehi daripada pedagang iaitu 2 di Perak, 1 di Kelantan, 1 di Terengganu dan 1 di Pahang.



Berdasarkan graf di atas, pada tahun 1972 harga bagi gaharu Gred A ialah RM500 bagi setiap kg. Harga gaharu menunjukkan peningkatan yang baik dari tahun ke setahun. Pada tahun 1990, harga gaharu meningkat sehingga hampir 4 kali ganda iaitu RM 1967 bagi setiap kg.

Harga gaharu terus meningkat dengan mendadak kerana permintaan yang tinggi tetapi keupayaan pengeluaran yang rendah memandangkan pokok gaharu yang semakin diancam kepupusan. Pada tahun 2008, harga gaharu yang dicatatkan ialah RM 14333 bagi setiap kg. Peningkatan dari tahun ke tahun menunjukkan potensi industri gaharu dalam menjana ekonomi individu, syarikat seterusnya Negara.

Namun begitu, Gred A bagi gaharu tidaklah begitu mudah untuk diperolehi. Ia mengambil masa yang agak lama untuk menghasilkan gaharu yang betul-betul berkualiti dan seterusnya dikelaskan dalam Gred A. Teknologi inokulasi yang sering diwar-warkan sehingga ke saat ini masih tidak berjaya untuk menghasilkan gaharu bergred A. Mungkin ada kes-kes terpencil yang dapat menghasilkan gaharu Gred A, namun jumlahnya masih tidak banyak. Usaha keras perlu dilakukan bagi mendalami kajian terhadap inokulan yang digunakan untuk pembentukan gaharu agar hasil yang berkualiti tinggi dapat diperolehi.

Tidak dapat dinafikan kewujudan inokulan telah meningkatkan industri gaharu ke tahap yang lebih baik dari sebelumnya. Gaharu yang terbentuk masih dapat dikelaskan dalam Gred yang lain seperti B, C dan sebagainya dan juga bagi gred yang rendah digunakan untuk penyulingan minyak gaharu. Harga pasaran bagi gaharu gred selain A dan minyak gaharu juga tidak kurang lumayan. Masih sangat berbaloi untuk diusahakan.

Semoga kita sama-sama dapat terus meningkatkan mutu dan kualiti industri gaharu Malaysia ke tahap yang lebih tinggi seterusnya dapat meningkatkan ekonomi penduduk. Kajian yang berterusan dan sokongan padu dari pihak kerajaan mampu merealisasikan hasrat untuk menjadikan Malaysia hub perdagangan gaharu suatu hari nanti. InsyaAllah.

Sekian, Salam Hormat.

Aminah Saad

Comments (2)

Terima kasih. Maklumat yg sangat berguna. Saya merupakan peminat gaharu dan daripada pemerhatian saya, kebanyakan inokulan yang ada di pasaran kebanyakannya tidak menghasilkan kualiti kayu gaharu seperti yang diperbesarkan. daripada pemerhatian saya selama beberapa tahun, budidaya gaharu di negara ini masih tidak menunjukkan kemajuan yang membanggakan. kebanyakan budidaya yang dilakukan lebih banyak memburukkan batang pokok berbanding menghasilkan kayu yang berkualiti. Daripada pemerhatian dan percubaan yang saya lakukan terhadap pokok gaharu menggunakan cecair tertentu buatan sendiri, saya dapati penghasilan kayu gaharu yang berkualiti bermula dengan pengumpulan cecair dalam pokok di sesuatu kawasan batangnya (tempat suntikan inokulan dilakukan. pada permulaannya cecair yang berkumpul ini akan menghasilkan satu warna kehijauan yang semakin hari warnanya akan semakin gelap dan kecoklatan seterusnya kehitaman. saya percaya, sekiranya dalam masa beberapa minggu selepas suntikan dilakukan, tidak mungkin warna batang pokok gaharu akan pantas bertukar menjadi warna coklat kehitaman sepertimana yang sering dipaparkan dalam laman2 web mahupun blog2 yang menjalankan perniagaan anak gaharu, inokulan mahupun servis budidaya gaharu. Batang poko yang bertukar warna dengan pantas sebenarnya menandakan ia mula merepun dan bukan menghasilkan kayu gaharu.

Anonymous,

Terima kasih kerana berkongsikan pengalaman yang sangat berguna dan dapat memberi manfaat kepada pembaca. Saya selalu mengharapkan komen-komen sebegini agar kita dapat berkongsi-kongsi ilmu.

Saya bersetuju dengan komen Tuan, namun begitu kita perlu cuba memahami keadaan industri gaharu ini. Pelbagai kajian dilakukan dan ia mengambil masa yang agak panjang. Walaupun masih di tahap awal, saya lihat perkembangan industri gaharu semakin baik dari segi penghasilan teras, inokulan dan sebagainya. Walaupun belum ditahap yang membanggakan tapi jangan menidakkan bahawa terdapat banyak peningkatan berbanding beberapa tahun yang lepas.

Tidak dinafikan terdapat begitu banyak "penipu" dalam industri ini. Ada yang sengaja ingin mengambil kesempatan atas keterujaan orang berkenaan dengan industri gaharu yang kononnya menjanjikan pulangan yang sangat lumayan. Hanya memikirkan pulangan untuk jangka masa singkat. Tidak bertanggungjawab terhadap perkhidmatan yang telah diberikan.

Terima kasih.

Post a Comment