Urusan Yang Hampir Selesai

Labels: ,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Apa khabar semua? Masih dalam mood raya ye. Jalan jalan raya lagi kan? Saya memang tak adalah beraya ke mana sangat. Rumah kawan-kawan pun masih banyak yang tak sempat menjengah. InshaAllah ada kelapangan nak juga beraya ke rumah kawan-kawan. Baru mula puasa 6 semalam, habiskan puasa 6 ni boleh la sambung beraya balik. Hehe.



Hari ni, saya nak sambung entri berkenaan dengan proses melepaskan kayu gaharu yang ditahan oleh pihak kastam jika tidak mempunyai dokumen yang lengkap disini merujuk kepada import permit. Saya perlu tulis disini supaya saya tidak lupa. Dan juga untuk rujukan kawan-kawan diluar sana.

Kronologi Kisah Penahanan (Tiada IP)

1) Anda ingin import gaharu daripada luar. Anda bawa masuk melalui LCCT. Disebabkan anda tidak mempunyai dokumen yang lengkap maka kayu gaharu anda ditahan.

2) Barang dikuarantin di MAQIS. Anda perlu membuat permohonan rayuan ke Jabatan yang berkenaan bergantung kepada dokumen anda yang tidak lengkap. Jika tiada import permit maka anda boleh buat permohonan ke Jabatan Pertanian, dan jika tiada CITES maka anda perlu merujuk kepada MTIB sebagai management authority (MA).

3) Proses kelulusan rayuan mengambil masa 3 hari bekerja. Mereka akan menghubungi anda apabila surat kelulusan rayuan tersebut sudah dikeluarkan. Boleh ambil di pejabat atau mereka akan faks kepada anda. Pastikan anda menyimpan surat tersebut untuk rujukan.

4) Setelah mendapat kelulusan, anda perlu membuat permohonan import permit. Seperti yang telah saya tulis disini.  Edagang ini banyak kelebihannya bagi pengimport dan pengeksport tidak kira anda terlibat dengan apa jua barangan pun.

5) Bagi peringkat permulaan, anda mungkin menghadapi sedikit kesukaran ketika mengisi maklumat-maklumat yang diperlukan untuk permohonan IP. Saya sendiri mengisi sehingga 4 kali dan masih salah. Alhamdulilah dengan bantuan pegawai-pegawai daripada Pertanian akhirnya saya berjaya mengisi maklumat tersebut dengan betul. Semuanya dijalankan secara ONLINE.

6) Setelah menghantar permohonan tersebut, ia akan disahkan oleh OGA (Other Government Agencies) yang terlibat. Cthnya dalam kes ini, Jabatan Pertanian akan membuat approval. Dalam masa sehari, jika tiada sebarang masalah borang permohonan akan akan diluluskan oleh OGA.

7) Kemudian, anda perlu menunggu selama 5 hari untuk proses pengesahan daripada pihak Kastam. Setelah diluluskan oleh pihak Kastam, Import permit anda akan dikeluarkan. Anda akan menerima notification di email yang menyatakan bahawa IP akan telah disahkan. Dan anda boleh mencetak daripada dagangnet.

8) Bawa IP yang telah dicetak kebahagian MAQIS bagi membuat tuntutan barang anda yang telah ditahan. Namun begitu, sebelum dilepaskan rawatan perlu dilakukan kepada barang yang telah ditahan. Pihak MAQIS akan menghubungi fumigator yang akan menjalankan rawatan buat anda. Tempoh rawatan adalah dalam tempoh 24 jam.



9) Selesai. Anda boleh membawa pulang barang anda yang ditahan. Yeay !!

10) Jika anda membuat kesalahan buat kali kedua, mungkin barang anda akan dihantar semula ke negara asal atau dimusnahkan.

Rasanya setakat ini dulu entri saya pada hari ini. Kepada sesiapa yang ingin mendaftar Edagang atau memohon import/eksport permit saya menyediakan perkhidmatan ini. Mungkin ada tidak mempunyai masa untuk membuat pendaftaran sendiri. Saya akan bantu anda menyelesaikan permasalahan anda ini. Sila emailkan ke aminah.mdsaad@gmail.com untuk pertanyaan lanjut.

Ikhlas,
Aminah Saad

Comments (0)

Post a Comment