Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua.
Semoga sihat dan dapat menjalani hidup dengan baik. Masa
berlalu dengan begitu cepat, dan entri saya pada hari ini merupakan entri yang
ke-100 sejak gaharuinfo wujud. Walaupun bukanlah semua entri yang ditulis
berkaitan gaharu, namun kebanyakkannya ada menyentuh berkenaan pokok gaharu
ini.
Di Malaysia, terdapat ramai penanam gaharu sama ada yang
menanam secara kecil-kecilan atau besar-besaran. Ada yang menanam spesis A,
spesis B, spesis C dan sebagainya. Semuanya terpulang kepada kecenderungan
masing-masing dan sumber maklumat yang diperolehi. Walau spesis apa pun yang
anda tanam, setiap satunya pasti mempunyai kelebihan dan kekurangan
masing-masing. Macam manusia juga, tiada yang sempurna. Ada yang membesar
dengan persekitaran yang baik dan cukup segala segi, manakala ada juga yang membesar dikawasan yang miskin dan kebuluran.
Output bagi keduanya pasti berbeza, yang membesar dalam persekitaran yang susah
pasti mempunyai kekuatan menghadapi cabaran yang lebih tinggi.
Begitu juga dengan pokok gaharu. Terdapat pelbagai spesis
dengan ciri-ciri tersendiri. Sukar untuk kita sendiri menentukan spesis manakah
yang terbaik. Pertumbuhan yang baik pasti menjadi salah satu ukuran kepada
penentuan spesis yang baik. Namun begitu, secara keseluruhannya pertumbuhan
pokok bergantung kepada 2 faktor utama iaitu genetik pokok dan juga persekitaran pertumbuhannya. Kita boleh mengetahui faktor
awalan kesesuaian pokok terhadap kawasan yang bakal diduduki berdasarkan
taburan semulajadi spesis tersebut.
TABURAN
A.malaccencis - Di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak kecuali Kedah dan Perlis
A.microcarpa - Johor dan kawasan bakau
A.beccariana - Kebanyakkan tumbuh di bahagian Selatan ( Johor)
A.hirta - Sepanjang pantai timur. Terengganu, Pahang dan Johor
A.rostrata - Pahang ( Gunung Tahan)
Jika kita lihat kepada salah satu spesis yang mungkin telah
pupus (pendapat sesetengah pihak) iaitu Aquilaria rostrata. Jika dilihat kepada
taburan semulajadinya, ia merupakan spesis yang hidup diatas gunung. Walaupun
pokoknya tidaklah besar, namun kualiti gaharu yang dihasilkan sangatlah
dicari-cari. Disebabkan penyesuaiannya yang begitu, ia tidak sesuai ditanam di kawasan rendah. Jadi kita tidak akan dapat
melihat penanaman secara perladangan dilakukan menggunakan spesis ini.
Kecualilah jika anda ingin membuat ladang gaharu dikawasan tempat tinggi. :P
Namun begitu, jika diteliti spesis yang paling banyak ditanam secara perladangan ialah spesis sub-integra dan sinensis yang juga bukan habitat semulajadinya di Malaysia. Sub-integra berasal daripada Thailand manakala sinensis didapati
di China namun ramai pihak yang menanam spesis ini mendapati pertumbuhan bagi
spesis ini sangat menggalakkan berbanding spesis-spesis yang lain. Seperti yang
saya nyatakan diawal entri ini setiap spesis pasti mempunyai kelebihan dan
kekurangan masing-masing. Berdasarkan ranking, A.sinensis merupakan spesis
ke-16. Sesetengah pihak menyatakan A.sinensis hanya bersesuaian
bagi tujuan pembuatan teh sahaja atau mungkin untuk kayu racik bagi
menghasilkan minyak. Kita masih baru dengan spesis ini jadi kita perlu tunggu
hasilnya daripada perladangan yang telah dibangunkan.
Bagi sub-integra pula, promosi yang melampau pihak Thailand
menjadikan kita lebih familiar dengan spesis ini. Saya sendiri juga memilih
untuk menanam spesis ini diawal penglibatan. Kurangnya maklumat dari tanah air
sendiri mungkin menjadi punca kita merujuk kepada Negara-negara jiran yang
dianggap lebih maju dan kehadapan dalam bidang ini. Namun, perladangan bagi
spesis sub-integra telah terbukti berjaya di Thailand. Dan mungkin 2,3 tahun
akan datang kita akan melihat hasil-hasil daripada perladangan di Malaysia.
Bagi spesis malaccencis iaitu spesis tempatan yang paling
luas taburannya di Malaysia, ramai pihak yang mendakwa pertumbuhan bagi spesis
ini amatlah perlahan dibandingkan dengan spesis lain. Namun jika kita merujuk
kepada ranking bagi gaharu, spesis malaccencis merupakan spesis no.1 menewaskan sub-integra di tangga kedua. Lagi susah untuk didapati
lagilah berharga sesuatu benda tersebut kan??
Apapun, setiap satunya Allah jadikan dengan keistimewaan
tersendiri. Terpulang kepada kita untuk memilih. Masih banyak rahsia yang tersembunyi disebalik pokok gaharu ini. Semakin kita mengkaji semakin banyak yang kita tidak tahu. Apa kata anda kongsikan pendapat dan pengalaman anda :)
"Sudah Gaharu Cendana Pula..."
Akhir kata, jangan berputus asa. Kejayaan pasti akan tiba juga :)
Ikhlas,
Aminah Saad
Comments (0)
Post a Comment