Uniknya Pokok Gaharu

0

Labels:

Pokok karas atau gaharu, memang satu kejadian alam yang unik. Pembentukan gaharu yang terjadi didalam pokoknya tiada siapa yang boleh pastikan kuantiti dan kualitinya, semuanya menjadi rahsia sehinggalah pokok tersebut ditebang dan hasilnya diperolehi. Inilah uniknya pokok gaharu. Penuh misteri dan tanda tanya.

Kerana gaharu bernilai tinggi dan pembentukannya yang misteri, kita mula menjalankan kajian demi kajian untuk merungkaikan segala persoalan. Kini, daripada perolehan daripada hutan semulajadi, kita sudah beralih kepada pnenaman gaharu secara perladangan. Ramai semakin yakin dengan penanaman gaharu apabila wujudnya inokulan yang dipercayai mampu mengaruhkan pembetukan gaharu yang berharga didalam pokok gaharu. Penantian yang lama kini semakin singkat, pembentukan yang tidak pasti kini semakin dipastikan.

Sumber : Presentasi Gaharu Indonesia Jateng

Secara alaminya, jika kita menanam apa-apa pokok dengan baik dan pokok membesar dengan baik, tentulah hasil yang akan diperolehi akan baik. Pembajaan, penyiraman, kawalan penyakit di jaga rapi bagi memastikan penghasilan yang maksimum. Namun kerana keunikan pokok gaharu ini, menjaga pokok dengan baik sahaja tidak menjamin penghasilan gaharu yang terbaik kerana semulajadinya pembetukan gaharu terjadi dalam keadaan stress lalu membentuk resin yang berharga.

Kerana keadaan stress daripada persekitaran (angin, kilat, hujan dll) tidak dapat dikawal oleh keupayaan manusia maka inokulan diwujudkan berdasarkan kepada kajian mikrob yang dipercayai merupakan agen yang membantu pembentukan resin dalam pokok gaharu. Namun begitu, adakah dengan hanya tekanan yang diberikan oleh inokulan mampu menghasilkan gaharu yang bergred tinggi seperti yang kita inginkan? Hanya masa yang akan menentukan.

Suatu masa dulu, penanaman gaharu sinomin dengan konsep 4T - Tanam, Tinggal, Tengok (sekali sekala), Tuai. Namun dengan konsep ini, pertumbuhan pokok gaharu menjadi sangat minimum. Pertumbuhan sangat lambat dibandingkan dengan pokok yang ditanam dan dijaga dengan baik. Namun adakah kebenarannya konsep 4T itu? Mungkin apabila kurang diberikan perhatian, pokok karas mengalami stress seterusnya berusaha untuk memastikan ia terus hidup. Dengan keadaan yang stress begini, mungkin pembentukan gaharunya kelak akan menjadi lebih berkualiti bergabung tenaga dengan teknologi inokulan. :)

Walaupun mungkin kaedah 4T merupakan satu kaedah yang baik bagi meningkatkan kualiti gaharu yang terhasil kelak, namun yang pasti jangka masa yang diperlukan akan bertambah kerana pokok membesar dengan lambat. Macam keadaannya didalam hutan semulajadi yang tidak diberi perhatian. Ia tetap akan hidup dan membesar namun masa yang diambil mungkin semakin lama. Apabila dilakukan secara perladangan bagi tujuan pelaburan, pastilah penanam mahukan hasil yang boleh cepat dituai dan memberikan pulangan yang tinggi. Jika bagi tujuan pemuliharaan didalam hutan, maka mungkin isu ini tidaklah menjadi satu isu yang perlu diberikan perhatian.


Saya menjemput para penanam untuk berkongsi pengalaman anda dengan para pembaca. Semoga ia dapat menjadi panduan untuk penanam baru.

Ok setakat ini dulu. Wasalam.

Ikhlas,
Aminah Saad

Kesesuaian Tanah Untuk Tanaman Karas

0

Labels:

Kesesuaian tanah adalah sangat penting bagi pertumbuhan pokok yang baik. Bukan sahaja pokok karas, namun setiap tumbuhan memerlukan penyesuaian tanah yang tertentu bagi memenuhi keperluan pertumbuhannya. Kesuburan tanah bergantung kepada banyak faktor seperti sifat fiziknya, sifat kimia dan sifat-sifat biologi tanah. Tanah terbina daripada 3 komposisi utama iaitu clay (liat), silt (kelodak), dan sand (pasir). Jika tanah itu banyak liat dan mengandungi sedikit pasir, ia dinamakan liat berpasir. Manakala jika liat, berpasir dan kelodak didapati bersama, ia disebut loam. Rajah dibawah menunjukkan carta tekstur tanah yang boleh menentukan jenis tekstur tanah bergantung kepada komposisinya. Di Malaysia, terdapat banyak siri tanah yang telah dikenalpasti untuk memudahkan kita merujuk bagi tujuan pemilihan tanah yang sesuai untuk tanaman yang akan kita usahakan. Anda boleh download panduan siri tanah disini untuk mengetahui lebih lanjut tentang siri tanah yang terdapat di Semenanjung Malaysia.


Rajah 1 : Carta tekstur tanah

Antara tanah yang sesuai untuk perladangan karas ialah Siri Bungor atau hampir kepada Siri Serdang iaitu tanah lempong liat (clay loam) iaitu tanah yang tidak bertakung air dengan kandungan pasir antara 25%-35%, mengandungi kandungan organik yang tinggi, dengan pH sedikit berasid antara 4.0 - 6.0. Dalam keadaan tertentu jika terdapat kekangan lain terhadap jenis tanah yang anda miliki (ketidaksesuaian tanah), masih terdapat beberapa kaedah yang boleh dilakukan untuk menyesuaikan tanah tersebut dengan tanaman karas. Namun begitu, kos pastilah akan meningkat dan mungkin terdapat masalah lain dikemudian hari yang memerlukan rawatan yang lain. Topik ini mungkin akan kita bincangkan di entri yang lain.

Jenis Tanah dan Spesis Karas

1) Acrisols - A.beccariana. A.hirta, A.rostrata
2) Fluvisol - A.hirta
3) Alluvial - A.malaccencis, A.microcarpa, A.rostrata
4) Gleysols - A.microcarpa

p/s: maaf kerana sangat jarang mengemaskini blog.


Ikhlas,
Aminah Saad





Sumbangan Fusarium sp. kepada Pembentukan Gaharu

0

Labels:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua,

Pada hari ini saya ingin menulis berkenaan Fusarium sp. iaitu salah satu fungi yang dikatakan membantu dalam pembentukan gaharu. Adakah ia benar?

 File:Fusarium verticillioides 01.jpg

Daripada satu kajian yang dilakukan dari Aceh hingga ke Papua, sebanyak 54 spesis fusarium telah ditemui yang dipercayai mampu membantu pembentukan gaharu. Namun begitu, kajian masih sedang dilakukan ke atas kesan pembentukan gaharu terhadap kehadiran fungi ini. Daripada penemuan ini, 8 isolat telah digunakan bagi tujuan kajian terhadap sumbangannya kepada pembentukan gaharu dan keputusan yang diperolehi positif. Ini bermakna fusarium merupakan salah satu agen "invisible" yang dapat membantu pokok karas membentuk gaharu. 

Namun, kita masih tidak tahu spesis yang manakah yang dapat membantu itu.

Daripada satu kajian lain yang dilakukan, fusarium juga mampu menggalakkan pembentukan akar. Dengan pembentukan akar yang baik, pokok akan membesar dengan lebih baik. Jadi kelihatannya fusarium memberikan sumbangan yang baik kepada Aquilaria sp sebagai pokok penghasil gaharu.

Fusarium sp. merupakan spesis yang patogen kepada tumbuhan dan banyak menyebabkan penyakit kepada tumbuhan.Mungkin spesis yang memberi kemusnahan kepada tumbuhan yang lain, tetapi memberi kebaikan kepada tumbuhan yang lainnya. Namun, jika kita tersalah pilih mungkin kita akan memberikan kesan negatif kepada pokok kita. 

sumber : diagnostic manual for plant diseases in Vietnam

Gambar di atas menunjukkan kesan patogenik fusarium kepada tumbuhan seperti pokok pisang. Ia akan menyerang daun, batang dan juga akar. Selain itu, tomato, pokok bunga, tembikai dan lain-lain juga menerima kesan buruk dengan kehadiran fusarium ini. Namun seperti yang saya katakan sebelum ini, terdapat begitu banyak spesis fusarium, contoh spesis yang memberikan kesan buruk kepada pokok pisang ini ialah F. oxysporum. Apabila disuntik ke dalam batang pokok karas, fusarium masih memberikan kesan patogenik kepada pokok ini menyebabkan pokok bertindakbalas dengan menghasilkan mekanisma pertahanan bagi meneruskan hidup maka terhasilkan teras yang berharga ini. Kehadiran fusarium ini menganggu fungsi alami pokok menyebabkan ia menghasilkan resin.

Ia merupakan salah satu mekanisma pertahanan (imun sistem) bagi pokok ini. Jadi pada peringkat awal apabila disuntik dengan fusarium ini, anda mungkin boleh memperhatikan kesan-kesan seperti daun gugur, daun kekuningan dan kulit pokok mengering. Ini disebabkan sistem asal pokok terganggu. Namun kerana kehebatan yang telah Allah rancangkan, sakitnya pokok ini menghasilkan sesuatu yang sangat bernilai. Macam manusia juga, Allah berikan ujian sakit untuk menghapuskan dosa-dosa kita, kan penuh hikmah segala yang berlaku :)

Namun begitu, pembentukan gaharu yang berlaku secara semulajadi dan yang diaruhkan pasti berbeza dari segi kualitinya. Namun begitu, dengan usaha yang berterusan kita pasti mampu menghasilkan sesuatu yang lebih baik. Setakat ini, kualiti teras gaharu yang terhasil daripada proses inokulasi masih ditahap yang rendah. Kualiti teras yang menggunakan inokulan masih jauh untuk menyamai yang terbentuk secara semulajadi. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana pembentukan secara semulajadi mengambil masa yang lama dan sudah semestinya lebih baik. Dari segi komposisi kimia juga masih jauh berbeza.

Ok, saya rasa cukup dulu entri pada hari ini. Saya agak sibuk dengan studi yang sudah banyak tertinggal gara-gara sebulan saya berada dirumah (atas urusan keluarga). Itulah salah satu sebab blog ini juga jarang diupdate. Ok, doakan saya :)


Sekian.

Aminah Saad







Peruntukan Buka Ladang Gaharu Di Kawasan Orang Asli

0

Labels:

Assalamualaikum,

Semoga dalam keadaan sihat dan gembira dalam menjalankan kehidupan seharian. Saya agak sibuk kebelakangan ini jadi tidak sempat untuk menulis sesuatu di blog ini. Semoga segala usaha kita akan Allah permudahkan. Pagi ini saya membaca serba sedikit berita, blog, posting di FB berkenaan gaharu nampaknya industri kita semakin berkembang. Alhamdulilah. Walaupun masih tampak kekurangan namun saya melihat ia sebagai perkembangan yang positif. Saya yakin dalam beberapa tahun akan datang kita pasti akan dapat duduk dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara yang telah mendahului dalam usaha ini. InsyaAllah.

Petikan dari mstar, 1 April 2012.


GUA MUSANG: Kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk membuka ladang kayu gaharu di kawasan perkampungan Orang Asli di Gua Musang dalam masa terdekat ini, kata Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Tengku Razaleigh berkata peruntukan permulaan itu diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau mengunjungi Perdana Menteri di pejabatnya di Putrajaya Ahad lepas (25 Mac).
"Saya menemui Perdana Menteri sebelum saya datang ke majlis ini supaya apa yang saya cadangkan untuk membuka ladang kayu gaharu menjadi kenyataan," katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Penutup Kembara Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas 2012, di Padang Awam Pos Brooke, dekat sini, Ahad.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Datuk Mohd Sani Mistam, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas Ab Aziz Yusof dan Pegawai Pembangunan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) Cawangan Gua Musang, Muhamad Shukri Ab Aziz.
Tengku Razaleigh juga Ketua Umno bahagian itu berkata peruntukan itu sebagai permulaan projek dan menyerahkan perkara itu kepada JAKOA untuk mengadakan perbincangan dengan jabatan serta agensi berkaitan. Beliau berkata JAKOA juga perlu mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi mendapatkan kelulusan tanah untuk tujuan itu.
Ladang kayu gaharu belum dapat ditentukan keluasannya kerana masih dalam kajian bersama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Risda bagi menentukan lokasi terbaik berhampiran penempatan Orang Asli, katanya.
"Kita berbuat demikian kerana tidak mahu kaum itu terus hidup terpinggir disebabkan hilang punca pendapatan selepas hasil hutan pupus dengan kegiatan pembalakan dan pembukaan peladangan," katanya.
Beliau yakin apabila ladang itu menjadi kenyataan, ia mampu memberi pulangan hasil lumayan kepada setiap Orang Asli yang menjadi ahli koperasi yang akan ditubuhkan nanti dengan setiap orang diberi pemilikan satu saham.
"Kita sudah membuat penelitian mengenai perkara itu dan beberapa syarikat luar negara sudah menunjukan minat untuk membeli kayu gaharu dengan rawaran harga yang tinggi," katanya. - BERNAMA


Tidak sempat menulis panjang, insyaAllah diberi jika diberi kesempatan kelak saya akan menulis lagi. Semalam ketika ke pameran MIHAS di KLCC, saya telah mencuba gaharu madu yang dikeluarkan syarikat AAFT Premier Sdn Bhd berlokasi di Perak. Semoga lebih banyak lagi produk-produk berasaskan gaharu yang akan dikeluarkan oleh pengusaha-pengusaha tempatan. Mungkin selepas ini, saya akan menulis berkenaan dengan produk-produk hasil gaharu yang dikeluarkan oleh pengusaha tempatan.

Sekian.

Ikhlas,
Aminah Saad

Aquilaria Hirta

2

Labels:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Selamat bercuti kepada semua yang sedang bercuti dan Selamat bekerja kepada yang sedang bekerja. Saya dalam mode keduanya : bercuti sambil bekerja :P

Sejak akhir-akhir ini saya tidak sempat meluangkan masa untuk menulis. Beberapa topik yang perlu ditulis sudah berada dalam senarai namun masih tidak bekesempatan untuk mengarang entri berkaitan. Hari ini saya luangkan sedikit masa di pagi hari menulis berkenaan satu spesis yang juga terdapat di Malaysia tetapi sebarannya agak berkurang berbanding spesis yang lain. Di Malaysia, taburan A.hirta ialah di Terengganu, Pahang dan Johor.Selain itu, ia juga merupakan spesis yang tumbuh dikawasan lereng bukit.

A.hirta juga dikenali sebagai candan bagi sesetengah pihak. Pokoknya tidak besar seperti A.malaccencis, namun dari sumber-sumber tertentu menyatakan bahawa spesis ini dapat menghasilkan teras dengan sendiri tanpa memerlukan aruhan daripada inokulan. Kualiti teras yang terhasil juga bernilai tinggi. Seperti yang pernah saya tuliskan sebelum ini, semakin sukar ia dijumpai semakin tinggi harga teras tersebut.


*Gambar ketika lawatan ke Hutan Ladang Merchang, Terengganu. Hanya ada satu pokok yang terdapat disini dan ia merupakan yang semulajadi bukan ditanam 

Daun A.hirta berbulu dibelakang daun dan daunnya agak lebar jika dibandingkan dengan spesis karas yang lain. Kita tidak melihat orang memilih spesis ini sebagai spesis pilihan untuk ditanam secara perladangan mungkin kerana persekitaran yang diperlukan agak berbeza daripada spesis karas yang lain dan juga peratus  hidup bagi spesis ini jika ditanam adalah sangat rendah. Masih banyak misteri candan ini yang kita tidak ketahui dan perlu kita kaji lebih mendalam.

"The most exciting part in science is discovery"

Setakat ini dulu entri ringkas saya. Terima kasih kerana membaca !!

Ikhlas,
Aminah Saad

Bagaimanakah meningkatkan penghasilan gaharu?

2

Labels: ,

Assalamualaikum wbt,

Daripada kajian yang dilakukan menyatakan hanya 20% daripada pokok gaharu yang matang dengan diameter 20 cm ke atas mampu menghasilkan gaharu (La Frankie, 1994) manakala Soeharto, 1997 menyatakan penghasilan gaharu yang terbaik terhasil daripada pokok gaharu yang berusia lebih 50 tahun. Namun begitu, dengan kajian demi kajian kini pada usia seawal 8 tahun kita sudah boleh diaruhkan bagi pembentukan gaharu.

sumber : facebook

Dengan penciptaan inokulan yang mampu mengaruhkan pembentukan gaharu membolehkan kaedah perladangan gaharu dilaksanakan dengan lebih meluas. Namun begitu, daripada hasil-hasil kajian yang dijalankan terhadap hasil daripada peroleh perladangan masih ditahap yang kurang memuaskan.  Mengikut anggaran daripada pihak FRIM, pokok pada usia 8 tahun akan menghasilkan gaharu bergred C sebanyak 600g dengan anggaran harga RM 1000/kg. Oleh yang demikian, jika pekebun kecil menanam pokok gaharu pada keluasan 1 ekar dengan jumlah pokok 1000 pokok maka penghasilan selepas 8 tahun ialah RM 600,000. Namun begitu pengiraan masih tidak termasuk keseluruhan pokok yang mungkin masih boleh digunakan sebagai kayu racik bergred rendah bagi penyulingan minyak. Dianggarkan setiap pokok boleh menghasilkan 60kg dengan harga RM 10 sekilo. Hasil daripada kayu racik ini ialah RM 600. Oleh itu, anggaran penghasilan bagi setiap pokok selepas 8 tahun ialah RM 1200.

Manakala daripada satu kajian lain yang dijalankan oleh FORDA pada pokok berusia 5 tahun dengan 3 kategori diameter pokok menunjukkan pada usia 6 tahun hasil minimum yang boleh diperolehi antara RM 429.30 sehingga RM 683.70 iaitu selepas setahun proses inokulasi dilakukan. Manakala jika dibiarkan selama 3 tahun, iaitu menjadikan pokok berusia 8 tahun maka hasil yang diperolehi antara RM 2687.10 sehingga RM 3482.10. Jika dilakukan perbandingan antara kedua kajian ini, kajian kedua menunjukkan peningkatan sebanyak 62%.

Dalam kajian kedua menunjukkan faktor diameter pokok mempengaruhi jumlah penghasilan gaharu yang terbentuk. Oleh yang demikian, penjagaan dan pembesaran pokok perlu dipentingkan agar pertumbuhan pokok tidak menghadapi sebarang masalah. Jika pokok dapat tumbuh dengan segala keperluan yang mencukupi, pokok dapat membesar dengan baik dan kita dapat meningkatkan penghasilannya kelak.

Kita dapat meningkatkan penghasilan gaharu jika kita dapat memberikan perhatian kepada pertumbuhan pokok yang baik dengan memastikan segala keperluan mencukupi. Masalah-masalah pokok yang diakibatkan oleh persekitaran, tanah, suhu dan keperluan nutrien merupakan faktor utama yang menyumbang kepada permasalahan pokok. Serangan penyakit, ulat, serangga adalah merupakan faktor sampingan yang akan menyerang pokok apabila pokok lemah (disebabkan oleh faktor yang pertama). Oleh itu, apabila pokok kita kelihatan bermasalah maka kita perlu mengambil langkah segera agar ia tidak menarik masalah-masalah lain seperti penyakit pokok, serangga, bakteria dan lain-lain.

Walaupun pembentukan gaharu boleh diaruh secara perladangan namun banyak pandangan yang menyatakan bahawa sumber gaharu yang diperolehi daripada perladangan ini masih jauh kualitinya berbanding dengan yang diperolehi secara semulajadi. Tapi tidaklah hairankan kerana ia pastilah berbeza dengan yang Allah jadikan secara semulajadi, tambahan pula sesetengahnya berusia puluhan tahun dan mungkin juga ada yang ratusan tahun. Namun begitu tidak mustahil dengan usaha gigih pengkaji inokulan dan kajian-kajian yang berkaitan mampu meningkatkan kualiti hasil gaharu daripada ladang ini, walaupun mungkin masih tidak sama sekurang-kurangnya kualitinya semakin baik.

Success is the sume of small efforts, repeated day in and day out 
- Robert Collier -


Apa kata anda kongsikan pendapat anda pula?

Sabda Rasullulah SAW,
" Apabila mati seseorang anak adam itu, maka akan terhentilah segala amalannya kecuali 3 perkara iaitu sedekah, ilmu yang memberi guna dan doa anak-anak yang soleh"

Pengalaman anda yang sedikit mungkin anda rasa tidak bernilai, namun ia mungkin merupakan ilmu yang tidak ternilai kepada yang lain. Jadi apa kata disamping anda membaca blog ini, anda kongsikan pendapat anda, pengalaman, atau apa-apa sahaja yang berkaitan industri ini. Selagi wujudnya blog ini, selagi itulah ilmu yang anda kongsikan akan memberi manfaat kepada pembaca. Pembaca itu mungkin seseorang yang anda sendiri tidak kenal :)

Ikhlas,
Aminah Saad


Faktor Pembentukan Gaharu

0

Labels:

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera buat semua,

Wah semuanya masih mood bercuti ya? Esok akan mula bertugas kembali. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan "Salam Maulidur Rasul" kepada semua yang beragama Islam. Semoga kita terus mencontohi Rasulullah S.A.W dalam kehidupan seharian kita. 

Pada hari ini saya ingin menulis sedikit berkenaan dengan faktor yang mempengaruhi pembentukan gaharu. Banyak faktor yang mempengaruhi pembentukan gaharu sehinggakan ia menjadi satu komoditi yang sangat berharga. Pastilah usaha yang bersusah payah hasilnya juga lumayan kan? Jika mahu senang, mungkin hasilnya juga kurang :)


Pembentukan teras/gaharu dilihat sangat berkait rapat dengan jenis inokulan yang digunakan. Jadi tidaklah menjadi suatu yang pelik jika kebanyakkan pengusaha gaharu sangatlah berminat terhadap topik ini. Dan bertambah tidak pelik jika wujud berbagai jenis inokulan sama ada yang tulen atau tiruan untuk mengaburi para pembeli. Penjual itu hanya mengambil kesempatan atas keghairahan orang-orang kita mencari inokulan bagi membuat suntikan pada pokok mereka. Mereka lebih mengambil kesempatan apabila kesan pembentukan gaharu ini bukanlah overnight proses jadi setelah servis dan bayaran dibuat, mereka menghilangkan diri. Jadi atau tidaknya teras tersebut mereka sudah tidak ambil peduli.

Jika saban hari, perkara inilah yang berlaku maka makin kurangkan individu atau kumpulan yang ingin melibatkan diri dengan industri ini. Oleh itu, jadilah pengusaha yang lebih bertanggungjawab terhadap segala perkhidmatan yang telah kita tawarkan. Janganlah menghilangkan diri setelah menerima bayaran. Ohh, terpanjang pulak saya menulis tentang inokulan ni. Ok berbalik kepada topik asal yang ingin kita bincangkan iaitu faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukan gaharu ialah :

1) Spesis penghasil gaharu - setiap spesis mempunyai keupayaan dan ciri-ciri yang berbeza. Oleh itu, setiap spesis akan menghasilkan teras yang berbeza kualiti, kuantiti dan tempoh pembentukannya. Pendapat tentang gaharu yang terbentuk dalam pokok spesis penghasil gaharu ini juga berbeza-beza. Dengan kajian yang lebih mendalam kita akan mendapatkan maklumat yang lebih tepat.

2) Jenis tanah - faktor tanah juga penting dalam pembentukan teras gaharu. Seperti yang kita ketahui ciri-ciri tanah berbeza dan pastilah ia memberi kesan terhadap pembentukan gaharu. Nutrien pada tanah, jenis mikrob, kondisi tanah dan sebagainya. Ada juga yang kita perhatikan pokok pada kawasan yang sama, spesis yang sama tapi penghasilan gaharu masih berbeza, mungkin faktor lain telah mengambil tempat :)


3) Keadaan pokok (umur, kesuburan, pertumbuhan) - keadaan pokok juga mempengaruhi pembentukan teras. Bagi perladangan, amalan silvikultur yang baik akan menghasilkan pokok yang berkualiti. Pertumbuhan yang baik dapat menghasilkan pokok yang boleh dituai dengan lebih awal. Ia dapat mengurangkan kos seterusnya meningkatkan turnover bagi setiap pokok. 

4) Inokulan yang digunakan - ini sudah semestinya tidak dapat dinafikan lagi :)

5) Teknik inokulan (kaedah suntikan, jumlah dos yang digunakan dll) - selain jenis inokulan yang baik, teknik yang digunakan mempengaruhi pembentukan teras. Kini, kita lihat pelbagai teknik digunakan dari membuat satu lubang hingga membuat banyak lubang hingga ke atas pokok. Jumlah dos yang digunakan juga pasti berbeza antara pokok perladangan dengan pokok yang tumbuh secara semulajadi. Sy rasa masih banyak gap yang perlu kita selidiki bagi mendapatkan satu formula standard bagi memudahkan penanam pada masa akan datang.

6) Tempoh inokulasi - semakin lama tempoh inokulasi semakin tinggi kualiti teras yang terbentuk. Namun begitu, jika tujuan utama ialah bagi pemprosesan minyak saya rasa tidak perlulah tunggu begitu lama. Jangan sampai dapur tak berasap pula :P

7) Cuaca dan persekitaran

Ok, saya rasa setakat ini perkongsian saya. Jemput sahabat2 sekalian berkongsi ilmu yang anda tahu. Kita sama-sama berkongsi ilmu agar industri kita akan lebih baik dari masa ke semasa. Jangan kita risaukan ilmu kita akan berkurangan apabila dikongsi kerana insyaAllah ilmu yang dikongsi akan menjadi lebih berkat.

Semoga berjumpa lagi.

"If we do not plant knowledge when young, it will give us no shade when we are old"

Ikhlas,
Aminah Saad

****************************************************************************************
Tarikh : 25 Februari 2012
Masa : 8 pagi - 5.30 petang
Tempat : Auditorium 2, UITM Jengka, Pahang
Yuran : RM 250
Hubungi : Pn Nazariah (019-9963397)

*Pembayaran boleh dibuat kepada Nazariah Zainal Abidin - Maybank (151306735784) / CIMB (14300073652520)
* Atau atas nama syarikat : Gaharu Lestari Resources (1-00-5511-00005525-8) - Agrobank
*Kepada peserta yang jauh, kami boleh menguruskan penginapan anda mengikut jenis penginapan yang ada (sewa penginapan tidak termasuk dalam kadar yuran yang dikenakan).
*Untuk peserta yang telah mendaftar, jika anda ingin membatalkan penyertaan, anda boleh refund yuran yang telah dibayar jika pembatalan dibuat 10 hari sebelum tarikh kursus.

******************************************************************************************