Minyak Gaharu Beri Hasil Lumayan

0

Labels:

PEKAN, MALAYSIA: Perusahaan menghasilkan minyak daripada pokok gaharu atau karas (Aquilaris Malascenses) yang digunakan untuk membuat pewangi sebelum ini, ternyata begitu asing bagi penduduk negara ini.

Bagaimanapun, perusahaan itu kini mula bercambah walaupun tidak terlalu menyerlah kerana kesukaran mendapatkan bahan utama iaitu teras pokok karas yang dijual antara RM1,000 hingga RM18,000 sekilogram.

Teras pokok karas berwarna hitam hanya diperoleh daripada pokok matang dan proses mengambilnya memerlukan kepakaran yang boleh dilakukan oleh individu terlatih saja.

Menyedari pulangan lumayan daripada perusahaan itu, Sarina Hussem, 27, dan suaminya, Sakree Salaemae, 39, mengusahakan pengeluaran minyak karas sejak 12 tahun lalu.

Sarina yang mempunyai dua kilang memproses minyak gaharu iaitu di Pekan, Pahang dan Kemboja berkata, kilangnya di Malaysia mampu mengeluarkan kira-kira 10 kilogram minyak gaharu gred A, sebulan.

“Untuk menghasilkan minyak, teras gaharu perlu diracik dan dihancurkan menggunakan mesin sebelum diperam selama seminggu.

“Habuk kayu yang diperam kemudian diasingkan sebelum diwapkan selama seminggu sehingga mengeluarkan minyak,” katanya.

Beliau berkata, warna minyak yang dihasilkan bergantung kepada kualiti kayu gaharu yang diperoleh, warna hitam adalah yang terbaik berbanding jernih kekuningan.

Sarina berkata, beliau menggunakan tiga pekerja untuk menguruskan dan melakukan semua proses di kilangnya dan minyak yang dihasilkan akan dihantar ke pejabatnya di Kuala Lumpur.

"Sehingga kini permintaan terhadap minyak gaharu yang dihasilkan mendapat permintaan menggalakkan daripada pengeluar minyak wangi di Arab Saudi, Dubai, Qatar, Bahrin dan Kuwait.

"Saya hanya mampu mengeluarkan kira-kira 10 kilogram sebulan minyak gaharu gred A yang dijual pada harga RM350 bagi 12 gram atau tola istilah digunakan peniaga Arab Saudi," katanya.

Katanya, permintaan minyak gaharu begitu menggalakkan, tetapi pihaknya tidak dapat memenuhi berikutan bekalan kayu gaharu yang terhad.

Petikan dari akhbar berita harian, 8 Jun 2009.

Kaedah Pemprosesan Minyak Gaharu

1

Labels:

Salam buat semua,

Pada hari ini saya ingin berkongsi info berkaitan kaedah pemprosesan minyak gaharu menggunakan kaedah penyulingan. Minyak gaharu diperoleh apabila kayu gaharu racik diperah melalui proses penyulingan. Di Malaysia, kaedah ini merupakan kaedah yang digunakan secara meluas.


a) Gambar kilang pemprosesan minyak gaharu


b) Kaedah penyulingan minyak gaharu




c) Kaedah penyulingan minyak gaharu

Langkah-langkah kaedah penyulingan :

1) Kepingan kayu racik di hancurkan menjadi debu menggunakan mesin penghancur.

2) Kemudian, kayu gaharu yang telah hancur menjadi debu dimasukkan ke dalam tong untuk diperam selama 3 hari 3 malam.

3) Hasil peraman di dalam tong dimasukkan ke dalam periuk dandang ( boiler) yang mengandungi air. Periuk dipanaskan di atas dapur yang menggunakan bahan pembakaran seperti kayu api selama 5 hari atau mungkin sehingga seminggu.



4) Bintik-bintik campuran wap air dan minyak akan terjadi dan disalurkan melalui paip ke kondenser yang dialirkan air sejuk melalui paip air.

5) Minyak air akan menitik dan terkumpul di dalam balang tadahan.

6) Minyak dipisahkan dari air.

7) Minyak disimpan dalam balang kaca.

Proses penyulingan tamat.


Ikhlas,



Perintis Usahawan Gaharu Malaysia


Kaedah Suntikan Pokok Gaharu

0

Labels:

Apa kata hari ini kita saksikan satu video yang saya ambil dari youtube berkenaan kaedah suntikan pokok gaharu. Kaedah ini penting bagi menghasilkan resin yang sangat bernilai. Tanpa resin, pokok gaharu adalah tidak bernilai dari segi komersial.





Selamat Menonton !!

Ikhlas,




Perintis Usahawan Gaharu Malaysia

Kaedah Penjagaan Anak Pokok Gaharu

1

Labels:


Salam ceria buat semua,

Pada hari ini saya ingin menulis berkenaan kaedah penjagaan anak pokok gaharu. Saya ada juga menerima persoalan tentang tahap kesukaran menjaga anak pokok gaharu yang baru dipindahkan dari polybag ke ladang.

"Tahap kesukaran menjaga anak pokok gaharu?"

A. Kacang je
B. Boleh tahan la
C. Susah giler...

Anda rasa manakah jawapan yang mungkin anda pilih.

Secara jujurnya, sebagai seorang yang baru dalam bidang ini saya rasa penjagaan anak pokok gaharu adalah tidak begitu rumit. Jadi jawapan saya adalah B. :P

Kaedah Penjagaan Anak Pokok

1. Pindahkan anak pokok dari polybag ke tanah. Jangan tanam terlampau dalam. Pastikan anda masih boleh melihat tanah dalam polybag sebelum itu.

2. Gunakan baja organik atau baja kimia bagi tujuan pembesaran anak pokok gaharu.

3. Jadual pembajaan bagi baja organik

Tahun 1-2 : 3 bulan sekali dengan kadar 400g baja sepokok
Tahun 3-4 : 6 bulan sekali dengan kadar 500g baja sepokok
Tahun 4-5 : sekali sahaja

4. Pastikan anak pokok selamat dari banjir ( jika berlaku banjir pindahkan anak pokok dalam masa 3 hari jika tidak anak pokok akan mati)

5. Anak pokok mestilah memperolehi 70% cahaya matahari. Oleh itu elakkan penanaman anak pokok di kawasan yang menerima cahaya matahari kurang dari 70%.


Ikhlas,




Perintis Usahawan Gaharu Malaysia

Perniagaan Yang Sedang Bermula

1

Labels:

Salam ceria buat semua,

Hari ini saya ingin kongsikan dengan semua tentang perniagaan gaharu saya yang baru bermula. Penglibatan saya dalam industri ini bermula dengan penanaman anak pokok gaharu disekitar kawasan perumahan, tanah-tanah kosong di kawasan kampung dan juga penjualan anak pokok gaharu. Pada awal penglibatan saya iaitu Ogos 2009, agak susah untuk meyakinkan penduduk kampung tentang potensi industri gaharu ini seterusnya menggalakkan penanaman pokok ini. Ketika ingin membuat permohonan pinjaman (untuk membuat penanaman skala yang besar), saya juga menghadapi masalah kerana tidak wujud satu pinjaman yang bersesuaian dengan industri gaharu ini (menurut kata pegawai tersebut), pulangan yang sangat lambat, dan juga pelbagai alasan lagi menyebabkan saya tidak memperolehi pinjaman tersebut.

Namun saya masih meneruskan projek ini secara perlahan-lahan. Saya yakin bidang ini mempunyai potensi yang cukup luas. Kini setelah hampir 9 bulan menjalankan perniagaan ini, saya mula dikenali. Lebih ramai penduduk kampung yang mula yakin dengan tanaman ini dan membuat belian pokok dari syarikat saya. Dan tanaman pokok saya juga semakin bertambah. Saya rasa sangat gembira dan bersyukur. Saya rasa perniagaan saya baru bermula.

Walaupun kadang-kadang kita rasa perniagaan kita tidak menunjukkan kemajuan namun dengan usaha yang berterusan saya yakin Allah akan berikan ganjaran dari usaha kita itu. Yang penting kita mulakan. Jika ditakdirkan itu bukanlah perniagaan yang sesuai dengan kita dan menemui kegagalan, saya pasti kegagalan itu adalah permulaan kepada kejayaan yang lebih besar lagi. Jangan wujudkan pelbagai alasan yang menghalang kita untuk terus mencapai impian kita.

Semoga sama-sama berjaya.

Ikhlas,


Perintis Usahawan Gaharu Malaysia

Kegunaan Gaharu Dalam Industri

0

Labels:

Salam ceria buat semua,

Pada hari ini saya ingin berkongsi maklumat berkenaan kegunaan gaharu dalam industri. Mungkin masih ada yang tidak mengetahui bagaimanakah produk gaharu dan apakah kegunaannya dalam industri. Saya bahagikan topik pada hari ini kepada 2 bahagian iaitu bentuk produk gaharu dan juga kegunaan gaharu.

1. Bentuk Produk Gaharu

* Bahagian tunggul dan dahan kayu
* Bongkah atau kepingan kayu beresin
* Kayu racik
* Serbuk dan abu
* Minyak gaharu

2. Kegunaan

* Ubat-ubatan
* Wangian ( Perfumes)
* Setanggi
* Buat kotak perhiasan

Pada hari ini saya kongsikan secara umum dan insyaAllah pada post akan datang kita akan membincangkan dengan lebih spesifik tentang bentuk produk gaharu dan kegunaannya.

Salam Ceria dari saya,




Perintis Usahawan Gaharu Malaysia

Kaedah Pengecaman Pokok Gaharu Part I

1

Labels:

Penanaman Gaharu secara perladangan Monokultur dan Selingan kini mula mendapat tempat di hati para peminat bidang pertanian. Menyedari industri ini mempunyai potensi yang cukup lumayan, kini telah ramai yang beralih kepada penanaman pokok gaharu ini. Bukan setakat peminat bidang pertanian, bahkan pihak-pihak lain yang menyedari tentang potensinya sudah mula berminat untuk membuat pelaburan dalam industri gaharu ini.

Namun begitu, hasil bagi perladangan ini yang mengambil masa purata 5-7 tahun ini menyebabkan para pengilang produk gaharu perlu mencari sumber-sumber lain dahulu sementara hasil dari perladangan Gaharu ini boleh dituai. Di Malaysia, hasil-hasil gaharu di hutan di cari oleh penduduk asli pribumi dan di jual kepada para pengilang ini. Walaupun tidak mempunyai teknik khas, namun mereka mempunyai kepakaran dalam mengenalpasti Gaharu liar di hutan.

Di Sarawak contohnya, kaum penan menjadi pembekal utama Gaharu kepada pemborong kaum China. Konsep asas pembentukan Gaharu digunakan iaitu menjadikan pokok sakit ( stress) maka terbentuklah teras pada bahagian yang terluka atau sakit itu. Bagi mereka, pokok di takik dan dibiarkan sehingga teras yang dikehendaki terbentuk. Mereka cukup arif tentang pokok yang sudah mempunyai gaharu atau tidak.

Objektif penulisan saya pada hari ini adalah untuk berkongsi sedikit tentang kaedah pengecaman Gaharu liar yang terdapat di dalam hutan, ladang getah atau tempat-tempat yang boleh ditumbuhinya. Sebenarnya saya masih dalam proses belajar dan pada hari ahad yang lepas saya telah mengikuti En Shuib (selaku mentor saya) dan beberapa rakan lain untuk belajar mengenali pokok Gaharu liar di hutan.Team kami telah pergi ke sebuah kampung di Seri Iskandar, Perak. Walaupun masih tidak mahir namun saya rasa mungkin boleh saya kongsikan disini atau sekadar nota untuk saya rujuk semula pada masa akan datang.

Panduan Pengecaman Pokok Karas/Depu/Gaharu Liar :


1) Daunya berbentuk runcing dan bujur

2) Apabila di takik, kulit pokok tidak putus. Boleh ditarik sehingga ke pangkal pokok.

3) Pokok berketinggian sehingga 40 meter dan lilitan batang sehingga 60 cm.

4) Apabila ada pokok yang tumbang, kaedah pengecaman ialah membakar sedikit kayu tersebut dan jika ia mengeluarkan bau yang agak wangi maka ia adalah pokok gaharu

Namun begitu, spesis yang berbeza mungkin mempunyai kaedah dan ciri-ciri yang berbeza. Semoga mendapat sesuatu dari perkongsian saya ini.


Ikhlas,



Perintis Usahawan Gaharu Malaysia

National Seminar & Exhibition of Gaharu 2010

0

Labels:


Salam ceria buat semua,

Ketika saya sedang mencari maklumat berkaitan gaharu saya telah menemui satu laman blog berkaitan " National Seminar & Exhibition of Gaharu 2010" yang seminarnya baru berlangsung pada 22-23 Mac 2010 yang lepas di Universiti Putra Malaysia, Serdang. Walaupun sudah terlepas seminar gaharu ini, saya pasti seminar-seminar ini akan dilaksankan lagi pada masa hadapan. Semoga kita diberikan kelapangan untuk menyertai majlis ilmu sebegini terutamanya bagi usahawan-usahawan gaharu yang baru bermula. Tidak rugi melaburkan duit untuk ilmu kerana ilmu itu tidak ternilai.


Kelebihan Menyertai Seminar Gaharu

1) Menambahkan ilmu pengetahuan dalam industri gaharu dan juga potensi di masa hadapan.

2) Mendapatkan maklumat yang tepat daripada Pakar bidang tersebut. Bukan mudah untuk mereka meluangkan masa jika tidak menghadiri seminar seperti ini kerana masing-masing punya tanggungjawab tersendiri.

3) Membina networking sebagai usahawan Gaharu

4) Menambahkan kenalan yang mempunyai minat yang sama iaitu dalam industri penanaman pokok gaharu.

5) Mendapat pandangan yang lebih jelas daripada beberapa kelompok pakar seperti academician, pengusaha, pembekal dan pelanggan.

6) Memperkenalkan diri dalam industri ini...:)


Setakat ini dulu perkongsian saya. Semoga kita mendapat sesuatu daripada perkongsian ini. Yang penting adalah berapa peratus yang boleh di ambil dan diaplikasikan.

Salam Ceria.



Perintis Usahawan Gaharu Malaysia

Teknik Tanaman Gaharu

0

Labels: ,

Petikan dari Utusan Malaysia (19/03/2010) ;

Kini usaha penanaman pokok karas sedang giat dilakukan oleh beberapa agensi yang ada di beberapa tempat di negara ini. Pada umumnya terdapat dua spesies pokok yang menghasilkan gaharu iaitu pokok karas (Aquilaria spp.) dan cendana (Gyrinops spp.).
Proses terjadinya gaharu apabila pokok yang mengalami luka atau diserang penyakit dan kulat yang menjangkiti pokok tersebut merebak ke dalam jaringan pembuluh kayu (vesel). Untuk terus hidup, kulat tersebut akan menggunakan cairan sel dalam saluran pokok sebagai sumber tenaganya atau makanannya secara perlahan-lahan sehingga menyebabkan kurang atau terhentinya penghantaran makanan kepada daun.
Sel-sel yang isinya sudah dimakan oleh kulat akan membentuk suatu kumpulan sel mati pada jaringan pembuluh kayu. Hasil tindak balas kimia dalam kayu tersebut akan menghasilkan resin atau damar wangi yang dinamakan gaharu dan apabila dibakar akan mengeluarkan aromanya yang tersendiri.
Pokok karas yang mengeluarkan gaharu adalah dari famili Thymelaeceae yang mana terdapat 25 spesies Aquilaria dijumpai di seluruh dunia. Di Malaysia terdapat lima spesies utama iaitu; A. malaccensis, A. hirta, A. beccariana, A. rostrata, A. microcarpa.
Terdapat tiga spesies kurang dikenali termasuk A. brachyanta, A. cumingiana dan A. crassna. Menurut Pensyarah Fizik Kayu, Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Madya Dr. Mohd Zin Jusoh, beberapa faktor harus dipertimbangkan dalam usaha penanaman pokok karas secara perladangan.
"Antaranya adalah, pemilihan anak benih, jarak tanaman, kaedah penanaman, kaedah suntikan dan pasaran.
"Ia juga harus dinilai untuk meminimumkan risiko yang ada bertujuan mendapat hasil yang maksimum selepas tujuh tahun penanaman," katanya.
Pertama, dari segi pemilihan anak benih sering menjadi persoalan.
Terdapat dakwaan bahawa spesies A lebih baik dari spesies B dan ada yang sebaliknya kerana ia lebih cepat membesar dan lebih mahal.
"Kita seharusnya meneliti semula kawasan penanaman kerana pokok karas memerlukan habitat yang unik berbanding dengan pokok lain," katanya.
Katanya, pokok yang sihat dan membesar dengan cepat biasanya menghasilkan gaharu yang sedikit berbanding pokok yang sakit, 'stres' dan cedera.
"Ia sebenarnya selari dengan kejadian semulajadi gaharu di dalam hutan, pokok yang berada di kawasan berbatu dan mengalami tindakbalas kecederaan yang teruk menghasilkan gaharu yang lebih bermutu.
"Kita juga harus melihat kepada permintaan pasaran dan spesies yang menjadi pilihan pembeli dan mempunyai harga yang tinggi.
Spesies Aquilaria malaccensis merupakan salah satu spesies yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.
"Manakala kaedah penanaman, jarak penanaman 6 kaki x 6 kaki atau 10 kaki x 10 kaki menghasilkan jumlah tanaman pada 430 pokok atau 1,000 pokok seekar," ujarnya.
Tambah beliau, penanaman secara integrasi adalah lebih meminimumkan risiko, malahan memberi pulangan jangka pendek yang boleh menampung kos keseluruhan.
Jelas Mohd. Zin, ia boleh dilakukan dengan tanaman herba dan tanaman kontan dan jarak tanaman harus sesuai dengan keadaan tanah.
Selepas pokok karas mencapai usia lima tahun, suntikan sejenis enzim dilakukan untuk merangsang penghasilan gaharu dan dibiarkan selama dua tahun sebelum mendapat hasil yang optimum.
"Tanpa pendekatan ini pokok karas tidak mampu membentuk gaharu di dalamnya kerana dalam keadaan dengan semulajadi, gaharu terbentuk apabila pokok mencecah usia 20 - 40 tahun melalui kecederaan fizikal atau serangan mikro organisma," katanya.
Menurut Mohd. Zin, pokok karas sesuai ditanam di kawasan dataran rendah dan pergunungan pada ketinggian antara 0 dan 750 meter (m) dari aras laut.
"Purata taburan hujan kurang dari 2000 sentimeter (sm) setahun dan suhu paling sesuai adalah antara 27-32 darjah Celsius dan cahaya matahari antara 45-70 peratus.
"Pertumbuhan pokok mampu mencapai ketinggian antara 25 dan 40 meter dan diameter antara 60-80 sm pada ukur lilit," katanya.
Tanah yang sesuai bagi penanaman pokok karas adalah dari jenis lempung dan liat berpasir dan pH tanah antara 4. - 6 pH. Penanaman boleh dijalankan di tanah persendirian, hutan simpan dan tanah kerajaan melalui dua kaedah tanaman iaitu;
Kaedah Monokultur
Tanaman ini dilaksanakan dengan jarak tanaman 3 x 3m dengan jumlah sebanyak 1000-13000 pokok sehektar. Ada juga yang ditanam dengan jarak tanaman 2 meter x 2 meter dengan jumlah yang boleh mencapai 1600 batang pokok sehektar.
Kaedah tanaman Selingan
Pokok karas juga boleh ditanam di bawah pokok-pokok yang lain yang berumur antara 5-8 tahun seperti di ladang kelapa sawit, ladang getah, ladang Kopi, ladang Acacia secara tanaman berselang.

Semoga perkongsian ini memberikan anda maklumat yang lebih jelas tentang pokok gaharu atau juga dikenali sebagai pokok karas.

Ikhlas,



Perintis Usahawan Gaharu Malaysia

Seminar Gaharu

0

Labels: ,


Pada 3 April 2010 yang lepas, saya telah menghadiri satu kursus yang dianjurkan oleh Jundi Resources bertempat di Hotel Seri Alam. Seminar ini berlangsung dari jam 9.00 pagi sehingga 4 petang. Kehadiran saya di sini atas cadangan Mentor perniagaan Gaharu saya iaitu En.Mohd Shuib Bin Yatim.

Seminar ini disampaikan oleh Dr Rosli bin Yaakop seorang ahli ekonomi dan juga seorang ahli perniagaan. Saya bertolak dari rumah ke tempat seminar dalam jam 7 pagi kerana mengambil masa lebih kurang 2 jam. Dan sampai ke tempat seminar pada jam 8.45 pagi, kelihatan sudah ada beberapa peserta yang sudah mendaftarkan diri. Setiap peserta yang mendaftar untuk seminar ini mendapat sebuah buku tulisan Dr.Rosli Bin Yaakop bertajuk " Gaharu : Wang Tumbuh Di Atas Pokok".

Dalam seminar ini peserta didedahkan dengan pelbagai informasi yang sangat berguna berkaitan dengan industri gaharu. Saya amat teruja dengan ilmu-ilmu yang dikongsikan disini kerana saya amat memerlukan pengisian seperti ini. Saya selalu mencari melalui internet namun maklumat yang saya perolehi daripada seminar ini sangat bermanfaat.

Terdapat juga perkongsian tentang kaedah penanaman anak pokok gaharu di ladang dan cara penjagaannya. Walaupun telah membuat penanaman secara kecil-kecilan, namun saya tidak pernah mengetahui tentang tips dan kaedah penanaman tersebut. Alhamdulilah, saya diberi kesempatan untuk menyertai seminar ini sehingga ke akhirnya.

Sedikit Tip Penanaman Anak Pokok Gaharu

1) Tidak perlu menggali lubang yang dalam untuk menanam pokok gaharu. Biarkan nampak tanah yang terdapat dalam polibeg.

2) Penggunaan baja organik adalah lebih baik berbanding baja kimia. Di cadangkan baja tahi kambing, tahi ayam dll.

3) Ikatkan anak pokok pada panjang (penyokong) untuk mengelakkan ia terbuai-buai di tiup angin.

4) Pastikan anak pokok gaharu tidak terlalu banyak dahan, pruning dahan supaya makanan akan terus pergi ke batang utama.

5) Elakkan kawasan air bertakung untuk penanaman anak pokok gaharu.

Untuk hari ini saya kongsikan 5 tips penanaman anak pokok gaharu, mungkin di lain hari kita akan berkongsi ilmu yang lebih hebat lagi.

Ikhlas,



Perintis Usahawan Gaharu Malaysia

Penglibatan Dalam Industri Gaharu

1

Labels:

Assalamualaikum,

Hari ini saya ingin berkongsikan sesuatu dengan anda semua tentang penglibatan saya secara langsung dengan industri gaharu. Walaupun baru diperingkat permulaan, namun mungkin boleh dijadikan perkongsian pengalaman dan panduan kepada sesiapa yang berminat untuk menceburi bidang ini dengan kadar pengetahuan berkaitan gaharu zero.

Saya mula mengenali dan mengetahui tentang kewujudan pokok gaharu apabila abang saya meminta pertolongan saya untuk mencari maklumat berkaitan dengan pokok gaharu, pembekal di sekitar kawasan tempat tinggal saya ( Sungkai, Perak) dan juga tentang potensi penglibatan dalam bidang ini. Pada permulaannya saya agak acuh tak acuh kerana secara jujur saya tidak pernah mendengar tentang pokok gaharu ini ( juga disebut pokok karas atau depu disesetengah tempat di Malaysia). Namun apabila abang saya kerap bertanya tentang "pertolongan" yang di minta, saya jadi tidak senang jika membiarkan dia terus dengan persoalan tersebut di samping menganggu kerja harian saya.

Pada awal bulan Ogos 2009, saya mula membuat sedikit kajian berkenaan dengan industri ini. Kelihatan isu ini memang telah dibincangkan di forum-forum perniagaan. Ada sesetengah maklumat yang diperolehi kelihatan seperti tidak logik dan saya yakin saya perlu berjumpa secara one to one session dengan pengusaha atau pembekal pokok gaharu ini untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat.

Berdasarkan beberapa website yang dikunjungi, saya telah memilih untuk menghubungi salah seorang pembekal anak pokok gaharu yang paling hampir dengan tempat tinggal saya (itupun memakan masa selama 2 jam.hoho). Namun demi niat menyiapkan tugasan ini maka saya perlu teruskan misi berjumpa dengan pembekal tersebut.

Pada hari yang dijanjikan ( khamis, 1.30 tghri, Aug 2009) saya bersama abang telah pergi ke Klang untuk berjumpa dengan pembekal tersebut seterusnya berharap boleh mendapatkan maklumat yang tepat tentang industri gaharu secara lebih meluas. Al maklumlah saya sendiri memang sangat kurang arif berkaitan dengan bidang ini. ( Jadi kita perlu meluangkan masa untuk bertanya kepada yang lebih pakar).

Saya dan abang tiba di Klang agak lewat kerana tidak berapa arif dengan jalan di Klang dan juga menghadapi masalah untuk mencari rumah pembekal tersebut. Namun kami bernasib baik kerana tiba di sana pada jam 3 petang walaupun sudah agak lewat dan mungkin menganggu appoitment yang telah di atur. Saya memohon maaf atas kelewatan kami sampai ditempatnya. Namun secara jujurnya, saya amat lega kerana disambut baik oleh beliau walaupun kami telah lewat.

Perbincangan pada petang itu sungguh berkesan dan saya mendapat maklumat yang jelas tentang industri gaharu walaupun tidak secara terperinci. Saya dan abang pulang dengan membeli 10 anak pokok sebagai percubaan untuk ditanam disekitar kawasan rumah kami.

Jadi panduan kepada yang ingin melibatkan diri dalam industri Gaharu :

1) Cuba buat kajian sedikit daripada internet untuk mendapatkan maklumat secara kasar

2) Pilih pembekal/ pengusaha yang mempunyai kredibiliti untuk bertanya dengan lebih lanjut tentang pokok gaharu

3) Jika anda mempunyai masa yang agak lapang, relakan diri untuk bertemu dengan beberapa orang yang berpengalaman dalam bidang ini sebagai proses pengumpulan maklumat

4) Menyertai kursus penanaman pokok Gaharu ( boleh search melalui google atau melalui bahagian iklan di dalam akhbar harian)

Ok, saya rasa cukup dulu perkongsian berkenaan permulaan penglibatan saya dalam bidang ini.


Tulisan,




Perintis Usahawan Gaharu Malaysia